“Program malam ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan saya ke lapangan untuk melihat sendiri bagaimana masyarakat setempat terlibat untuk mengurangkan jenayah dalam bentuk sukarela khususnya melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN),” kata Tuan Jelaing Anak Mersat yang turun padang meronda di Kg. Malaysia Raya. Sebelum ini turun padang meronda bersama penduduk dibuat oleh Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 17 Mac 2010 bertempat di Bandar Baru Sentul.

Menurut Tuan Jelaing program ini merupakan satu ciri omnipresence untuk membanteras jenayah. Ianya merupakan salah satu daripada 52 inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal NKRA Mengurangkan Jenayah. Inisiatif ini dilaksanakan bagi mempertingkatkan penglibatan orang awam dalam aktiviti sukarela sekali gus memberi kesempatan kepada mereka untuk terlibat dalam usaha menangani jenayah dan memelihara keselamatan setempat.

“Saya percaya dengan adanya 4,557 unit Rukun Tetangga dan 1,860 skim Rondaan Sukarela yang dianggar melibatkan seramai 75,000 orang awam menjalankan rondaan melalui program SRS, kadar jenayah dan keselamatan setempat akan dapat diminima. Kita perlu sedar bahawa meskipun tanggungjawab hakiki dalam soal keselamatan adalah di bawah pihak polis namun peranan masyarakat adalah elemen penting dan paling berkesan untuk memastikan kejayaannya,” katanya.

Menurut beliau lagi menerusi pendekatan SRS ini maklumat lengkap mengenai latar belakang sosio komuniti seperti jumlah penduduk, masalah sosial dan jenayah akan dapat diperkemaskan. SRS juga boleh membantu menjadi penyalur maklumat dan ini amat berguna untuk digunakan oleh polis bagi merangka pelan pencegahan dan tindakan.

Tuan Jelaing yakin kemudahan dan kewujudan tempat perjumpaan bersama masyarakat seperti Pusat Rukun Tetangga boleh digunakan oleh pihak polis sebagai tempat perjumpaan antara pegawai-pegawai polis dengan kepimpinan Jawatankuasa Rukun Tetangga / SRS dalam mendapatkan maklumat serta menyalurkan maklumat terus kepada masyarakat melalui mesyuarat, aktiviti dan sebagainya dari semasa ke semasa.

“Saya amat berharap untuk melihat penyertaan lebih aktif masyarakat terutamanya golongan muda di dalam SRS. Saya juga berharap selain menyumbangkan tenaga menjalankan rondaan akan ada pihak yang tampil kehadapan untuk memberikan pelbagai sumbangan lain yang bersesuaian untuk mempertingkatkan prestasi setiap SRS,” katanya.
–team berita ikdn


















27 March 2010
KDN Sana Sini