web analytics

Temubual Eksklusif Bersama Tuan Suffian Sulaiman – Rakan Cop

29 March 2010

Eksklusif Dari KDN

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru orang ramai untuk menyertai Rakan Cop. Agar orang ramai mendapat maklumat menyeluruh mengenai Rakan cop ini, Team Berita iKDN telah menemubual Pegawai Turus Rakan Cop, Tuan Suffian Sulaiman.

Soalan 1:
Sepanjang lima (5) tahun Rakan Cop ditubuhkan, adakah PDRM telah mencapai motif penubuhan Rakan Cop?

Jawapan:
Pada dasarnya, Rakan Cop adalah program di mana orang ramai boleh bersama-sama PDRM untuk bersama menyumbang kepada keamanan dan ketenteraman. Jika diliht dari itu memang Rakan Cop telah mencapai objektifnya. Hingga kini kita ada seramai 319, 132 orang ahli di seluruh Malaysia. Di Kuala Lumpur, kita ada 79, 511 orang yang mendaftar sebagai ahli Rakan Cop. Kita mementingkan maklumat dari orang ramai maka tidak semestinya aduan atau maklumat dari pengadu berdaftara sahaja akan diterima. Kita menerima semua maklumat tatapi kalau kita mendaftar sebagai Rakan Cop, kelebihannya ialah caj RM 1 pendafataran yang akan dicaj dari bil talian telefon. Jadi, sebelum mendaftar, perlu dipastikan bahawa baki kredit adalah RM 1 atau ke atas. Sebabnya, syarikat telekom akan menolak jumlah tersebut dari baki kredit sedia ada. Proses pendaftarannya juga mudah. Cuma memerlukan telefon bimbit. Tidak menyusahkan atau tidak perlu ke mana-mana balai polis. Menggunakan telefon bimbit semata-mata. Maknanya, syarat utama untuk mendaftar adalah mempunyai telefon bimbit. Sebabnya, semua urusan dibuat menggunakan SMS (pesanan ringkas). Dan, setiap SMS yang dihantar selepas pendaftaran adalah percuma. Berbeza dengan yang tidak mendaftar, setiap SMS akan dikenakan caj. Walaupun tujuan sms dihantar adalah untuk membantu pihak polis. Lagipun, apabila mendaftar sebagai Rakan Cop, kita akan lihat ahli yang aktif memberi maklumat, dan apabila satu-satu kes berjaya diselesaikan berdasarkan maklumat yang diberikan, PDRM akan beri menghargaan kepada mereka yang memberi pengiktirafan.

Soalan 2:
Apakah bentuk pengiktirafan yang diberikan?

Jawapan:
Pihak PDRM akan memberi sijil penghargaan, ataupun kadangkala ada sumbangan daripada NGO. Contohnya pernah ada ahli Rakan Cop menerima penghargaan berbentuk wang ringgit daripada NGO kerana jasa dalam menyelesaikan kes-kes tertentu.

Soalan 3:
Tuan, bagaimanakah timbulnya idea untuk mewujudkan Rakan Cop ini? Adakah kerana PDRM melihat peningaktan kadar jenayah?

Jawapan:
Konsep Rakan Cop ialah maklumat dari orang ramai. Memang pada awal penubuhan PDRM lagi, memang ada maklumat dari orang ramai. Bezanya Rakan Cop ini lebih advance kerana ia menggunakan kemudahan ICT. Itu sahaja, ataupun dengan kata lain, caranya telah diperbaharui. Sebabnya, pada sekitar tahun 2003 dan 2004, kes-kes ragut memberi trauma kepada masyarakat di Malaysia, khasnya di ibu kota. Jadi, berdasarkan kes tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur pada masa itu telah memanggil NGO untuk sesi brainstorming berbincang berkenaan isu ini. Kami berbincang bagaiman informasi dari orang ramai dapat dipertingkatkan dan bagaimana untuk melibatkan masyarakat dalam membanteras jenayah. Sudah tentu juga, kita sedia maklum bahawa keanggotaan polis sedia ada adalah tidak mencukupi untuk ditempatkan di semua lokasi. Jadi, kita memerlukan maklumat orang ramai. Hasil daripada perbincangan ini, muncullah satu kaedah yang dipanggil sebagai Rakan Cop.

Soalan 4:
Pernahkah pengurusan PDRM membuat satu analisis atau Post-Mortem tentang pencapaian Rakan Cop ini dari segi keberkesanannya? Kerana, selepas lima tahun ia (Rakan Cop) ditubuhkan, kita masih mengalami kes jenayah jalanan yang tinggi.

Jawapan:
Secara emperikalnya, memang tidak ada dibuat. Tetapi, dari segi keberkesananya, untuk kita (PDRM) di Kuala Lumpur memang ada. Kerana, setiap bulan, kita akan menerima feedback dari orang ramai. Cumanya, tidak secara kuantitatif. Ia lebih kepada pendapat ataupun kualitatif dan secara data. Ataupun, keduanya, kita lihat dari segi pertambahan ahli. Dan ketiganya, kita melihat dari segi peningkatan informasi yang diterima. Dari situ, kita mengandaikan program ini memberikan kesan yang baik. Sebabnya, saban hari, jumlah ahli semakin meningkat, begitu juga dengan jumlah maklumat yang kita terima. Begitu juga dengan komen-komen positif yang kita terima, semakin meningkat. Ada juga yang beri cadangan kepada kita.

Soalan 5:
Tidakkah struktur Rakan Cop dan Community Policing (CP) ini bercanggah antara satu sama lain?

Jawapan:
Tidak sama sekali. Sebenarnya, CP telah dilancarkan sejak tahun lepas lagi. CP boleh dikatakan sebagai organisasi yang berstruktur. Contohnya, kita menubuhkan CP di kawasan A. Jadi, ketua polis balai di kawasan itu berperanan untuk melantik secara rasmi semua jawatankuasa di kawasan tersebut. Ahli jawatankuasa mungkin terdiri daripada wakil syarikat perbandaran, ketua masyarakat, wakil-wakil agensi seperti Kemas, Jabatan Kesihatan, RELA dan sebagainya, apa-apaelemen yang ada akan dilantik secara rasmi. Oleh itu, program yang dijalankan oleh CP juga perlu diwartakan secara rasmi. Peruntukan juga diberi. Maknanya, kertas kerja perlu dibuat secara rasmui. Begitu juga dengan perancangan tahunan. Tidak seperti program Rakan Cop. Pada dasarnya, kita tidak perlu kenal siapa ahli kita atau siapa yang melaporkan. Sebab itu, dinyatakan dalam pamphlet kita, mereka (ahli Rakan Cop) boleh menggunakan nama samaran atau nama sebenar. Jadi, mereka boleh gunakan apa saja nama. Yang penting ialah maklumat tersebut. Itu sahaja.

Soalan 6:
Bagaimana caranya untuk tuan memastikan setiap maklumat itu benar, bukannya maklumat palsu?

Jawapan:
Telefon bimbit saya akan menerima kesemua mesej yang dberikan oleh ahli Rakan Cop setiap hari. Setiap mesej yang diberikan mempunyai nombor pengirim. Jadi, walaupun pada dasarnya, saya tidak perlu kenal ahli Rakan Cop. Tetapi, jangan kerana saya tidak perlu mengenali mereka, mereka boleh menghantar maklumat palsu. Sebabnya, dihujung setiap mesej mempunyai nombor pengirim dan kita boleh kesan semula jika terdapat maklumat palsu. Contohnya, semasa kes adik Nurin Jazlin, kita menerima maklumat palsu daripada seorang pembantu rumah di Nilai, Negeri Sembilan dan kita dapat kesan dan tangkap pembantu rumah tersebut.

Untuk berkongsikan sejarah SMS Rakan Cop, saya pernah berhujah kenapa Rakan Cop tidak menggunakan nombor 999 sebaliknya, nombor 32728 (DAPAT). Sebabnya, kita telah berusaha sedaya upaya memberikan mind set nombor 32728 dengan Rakan Cop. Untuk menukar nombor tersebut kepada 999, agak tidak praktikal.

Soalan 7:
Apakah kaedah publisiti yang dibuat oleh Rakan Cop di Kuala Lumpur supaya lebih ramai masyarakat yang menggunakan khidmat PDRM ini?

Jawapan:
Setiap tahun, PDRM memang ada perancangan untuk mempromosikan program kita ini. Supaya ianya dapat dikembangkan lagi, seperti publisiti di media massa (televisyen dan radio), setiap minggu. Sebabnya, kita di IPK Kuala Lumpur kita dah buat pakej. Contohnya, setiap Sabtu kita akan adakan kempen balik kampung (pencegahan jenayah) , akan ada slot Rakan Cop. Begitu juga dengan mana-mana aktiviti/ kempen pencegahan jenayah, kita mesti selitkan program ini untuk menggalakkan masyarakat. Kita juga mengagihkan pamplet untuk masyarakat. Dan, satu pendekatan baru, kita buat pameran di pasar malam khasnya di Kuala Lumpur.

Soalan 8:
Setakat ini, Tuan puas hati atau tidak dengan pencapaian Rakan Cop di Kuala Lumpur?

Jawapan:
Untuk setakat ini dan kebelakang, saya rasa memang telah mencapai sasaran kita; itu untuk tahun 2009 dan kebelakang. Tetapi, untuk tahun 2010 ini, kayu pengukur kita ialah, kita telah menetapkan lima (5) peratus peningkatan ahli Rakan Cop setiap bulan. Hingga kini, kita masih belum menerima laporan tentatng sasaran tersebut. Sebabnya, kita akan bermula pada bulan Februari atau Mac untuk penilaiannya.

Soalan 9:
Tadi, tuan ada nyatakan bahawa rakan Cop turun ke pasar malam. Jadi apakah kaedah publisiti yang dibuat di pasar malam ini?

Jawapan:
Kita buat pameran, kita juga buka kaunter pertanyaan kalau-kalau ade yang ingin bertanya tentang Rakan Cop. Kita juga memberikan pamphlet dan sebagainya untuk bacaan. Pameran ini bukan sahaja khusus kepada program ini. Malah juga berkenaan narkotik dan apa sahaja yang berkaitan bengan tugasan polis.

Soalan 10:
Dari konteks Kuala Lumpur, di manakah letak duduk ataupun peranan Rakan Cop. Sebanya, kita tahu, Kuala Lumpur sebagai antara empat hotspot. Adakah ia telah menyumbang, dan jika ia menyumbang, mengapa Kuala Lumpur masih tergolong dalam hotspot?

Jawapan:
Kuala Lumpur adalah salah satu kawasan perintis hotspot. Hotspot ini memang dibuat berdasarkan statistik. Dan perlu diingatkan bahawa program ini bukan sahaja untuk penyaluran informasi berkaitan jenayah semata-mata. Kita perlu ingat ini. Rakan Cop ini, apabila perkataan “rakan”, segala maklumat dihantar kepada kita. Contoh isu lain termasuklah kesesakan jalan, kecemasan, kebersihan (berkaitan perbandaran) termasuklah juga aduan kes-kes khalwat. Ini bermakna, dalam informasi yang diterima, bukan sahaja berkenaan jenayah dan narkotik. Sebab itu, bagi saya, keberkesanan Rakan Cop dan penglibatan orang ramai bukan sahaja untuk jenayah dan dadah. Jadi, untuk mengukur soalan puan tadi, agak sukar. Sebabnya, isu yang dihantar tidak terhad. Bila kita kata kawan, semua maklumat kita terima. Selepas kita terima maklumat selain jenayah dan narkotik, kita akan majukan kepada badan berkaitan. Maksudnya, sistem ini sebagai one-stop-centre Bagi saya keberkesanan Rakan Cop ini melampaui mana-mana sistem oleh agensi lain. Walaupun maklumat tersebut tidak berkaitan, kita akan salurkan juga. Motifnya, untuk kesejahteraan bandar kita.

Soalan 11:
Daripada jawapan tersebut, kita boleh lihat bahawa publik salah faham tentang peranan Rakan Cop. Tidakkah ingin mewar-warkan fungsi sebenar Rakan Cop?

Jawapan:
Sebenarnya, Rakan Cop memang menerima apa saja maklumat walaupun tidak berkaitan dengan jenayah dan narkotik. Memang dasar Rakan Cop menerima semua maklumat bukan sahaja berkenaan jenayah dan narkotik, demi kesejahteraan bandar.

Soalan 12:
Tuan ada apa-apa yang perlu ditambah mengenai Rakan Cop tuan?

Jawapan:
Jika di Kuala Lumpur, apa yang kita janji ialah, respon kita pantas. Iaitu, tidak lebih daripada 12 minit kita akan respon ke atas apa-apa maklumat ataupun keperluan yang utama. Contohnya kes-kes ragut, samun dan kes-kes yang besarlah. Untuk kes yang serius, memang itu janji kita, 12 minit. Pada mula pelancaran pada tahun 2004, janji kita 15 minit. Tapi kita memperbaiki. Jadi, kini, 12 minit.

Soalan 13:
Pada penglihatan saya, Rakan Cop dan Community Policing kelihatan bertindih antara satu sama lain. Adakah kita perlu menyusun semula sistem Rakan Cop dan Community Policing?

Jawapan:
Seperti yang telah saya katakan tadi, konsep Rakan Cop adalah terdiri daripada ahli bebas. Dan kita (PDRM) tidak perlu mengenali ahli Rakan Cop. Oleh itu, tiada struktur organisasi yang rasmi. Kita (PDRM) pun memang tidak mengenali mereka. Mungkin, pendaftaran dibuat di Kuala Lumpur, tetapi orang tersebut bekerja di Johor. Jadi, apabila terdapat maklumat di Johor, ia tetap diterima. Rakan Cop ini tidak dikhususkan kepada satu-satu kawasan. Maksudnya, Rakan Cop ini bergerak bebas. Cuma, Rakan Cop menggunakan mata dan telinga mereka. Jadi, Rakan Cop boleh dikatakan satu sistem yang tidak formal. Sedangkan, Community Policing, ataupun CP merupakan sistem yang formal. Terdapat struktur, pelantikan, jawatankuasa yang tertentu, didaftar dengan PDRM serta mempunyai minit mesyuarat. CP juga memerlukan mesyuarat bulanan yang dipengerusikan oleh Ketua Polis kawasan terbabit. Serta elemen dalam jawatankuasa termasuklah orang awam, PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), DBKL, RELA, JPAM serta PDRM. Maksudnya, pelaksanaan CP adalah formal sepenuhnya. Manakala, Rakan Cop, apatah lagi nak buat perjumpaan, kita (PDRM) langsung tidak mengenali ahli Rakan Cop. Ini kerana, pendaftaran boleh dibuat dengan nama samaran.

Soalan 14:
Untuk menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai ahli Rakan Cop, adakah pihak PDRM mengeluarkan sebarang produk publisiti seperti T-shirt?

Jawapan:
T-shirt dan topi Rakan Cop memang kita (PDRM) buat. Setiap kali kempen, memang akan kita buat T-shirt dan topi. Tetapi, bukan untuk semua. Ia agak terhad kepada majlis yang besar sahaja. Saya di sini memang selalu berhadapan dengan NGO yang ingin membantu kita. Bahkan ada yang mencadangkan untuk membuat pemetik api Rakan Cop. Namun, jika difikirkan, ada sesetengah produk kurang relevan untuk dijadikan cenderahati Rakan Cop.

Soalan 15:
Pendapat saya, Rakan Cop boleh dijadikan satu imej komersil. Pendapat tuan?

Jawapan:
Memang betul Tetapi keberkesanannya perlu dinilai. Contohnya informasi yang diperolehi juga pelbagai. Bahkan ada ahli Rakan Cop yang mengadu kes tidak berkaitan dengan jenayah dan narkotik. Malah, ada juga yang inginkan senjata api dan uniform polis. Lucunya, ada juga yang meminta tambah nilai. Sebabnya, kita “rakan”.

–team berita ikdn