Temubual Eksklusif Bersama SUPT Rasdi Bin Ramli (RR)

Berkaitan Bahasa Filem & Pantang Larang PDRM
S1 : Mengapakah kita perlu ada satu garis panduan lain untuk menerbitkan sesuatu filem/drama berkisarkan polis?
RR: Garis panduan kita bukan garis panduan baru atau tidak menggunakan pakai garis panduan yang telah ditetapkan oleh kementerian (KDN). Cuma kita beri penekanan dari kacamata profesion polis. Ia akan memberi panduan kepada penerbit, pelakon, produser…agar watak-watak yang berlandaskan kerjaya polis tidak lari dari kenyataan sebenar.
Kalau satu-satu produksi berniat untuk membuat pengambaran sama ada drama , dokumentari yang berkisarkan dunia polis maka mereka perlu menghantar skrip kepada kita 2 minggu lebih awal untuk kita lihat sama ada jalan cerita dalam skrip itu sesuai dengan kita atau tidak. Kadangkala watak/perlakuan yang dibawa bertentangan dengan disiplin dan etika PDRM.
Nak bawa watak polis tidak boleh rembat sebarang kerana ia akan memberi kesan kepada PDRM meskipun itu hanyalah cerita semata-mata. Kalau berlawanan dengan etika PDRM, peraturan, disiplin yang PDRM gariskan, akhirnya membawa imej yang buruk kepada PDRM. Baik kita sediakan garis panduan daripada kita terbeban dengan membaik pulih imej yang dirosakkan melalui filem. Penonton di Malaysia ni lain sedikit. Mereka mudah mempercayai apa yang mereka tonton walaupun itu hanyalah cereka semata-mata.
Lalu itulah timbulnya garis panduan cerita polis mesti ikut peraturan polis. Soal pemakaian uniform polis yang turut disertai dengan aksesori lain, letak duduk lencana, senget topi dan sebagainya semua itu perlu diberi perhatian.
Ambil contoh kes Norman – Abby. Bukan nak mengungkit tetapi ketika kes itu hangat kami menerima panggilan telefon dari penonton yang marah-marah kenapa pelakon itu jadi begitu. Mereka mintak agar pelakon itu jangan diambil berlakon. Sampai ke situ tahap emosional penonton Malaysia. Mereka sangat prihatin.
Dari pandangan polis pula kita tak nak watak-watak polis dilakonkan sewenang-wenangnya. Kalu kita tengok drama polis sesetengah negara di mana pagi naik pangkat, tengah hari turun pangkat, petang naik pangkat balik ataupun pakai uniform tapi rambut panjang. Ikut suka sahaja. Rasa nak buka uniform tanggal begitu sahaja. Kita tidak mahu produksi kita macam tu kerna realitinya dunia polis di Malaysia tidak begitu. Kerana itu kita adakah peraturan.
S2 : Berapa banyak PDRM menerima permohonan rumah produksi untuk mengadakan atau menerbitkan drama kepolisan ini?
RR: Banyak. Cukup-cukup banyak dan tidak pernah berkurang. Bulan lepas sahaja (Januari 2010) yang menghantar permohonan untuk buat kisah polis hampir 10 produksi. Kita kena tengok sinopsis dulu. Tengok cerita itu sesuai atau tidak sesuai. Tengok relavan atau tidak. Contohnya nak buat cerita berkaitan kes mahkamah, kita dapatkan kelulusan Pengarah Pengurusan dan Ketua Pengarah sama ada boleh atau tidak. Kalau dibiar mereka terbit begitu sahaja, mungkin kes itu boleh mengganggu perjalanan mahkamah. Itu kita tak benarkan.
Hanya Gerak Khas drama yang berkisar kepada kepolisan yang mampu bertahan selama 10 tahun. Sehingga kini tidak ada lagi drama polis lain yang tahan selama itu. Tetapi Gerak Khas boleh. Ini kerana kita pantau dari segi skrip dan peraturan yang perlu dipatuhi. Selain Gerak Khas kita ada drama seperti Akademi Polis, Roda-Roda Kuala Lumpur dan yang terbaru yang tengah shooting sekarang iaitu Marin Polis. Kita harapkan drama-drama macam ini akan membantu untuk meningkatkan imej polis kita. Kita tak menghalang apa-apa cuma kita mahu mereka ikut panduan kita. Contohnya drama Marin Polis pakaiannya lain. Cara nak menangkap penjenayah ada caranya. Kalau penjenayah 3 orang, takkan you nak pergi 2 orang. Mesti ada seorang pegawai. Dia adaptasi daripada cerita sebenar kepada drama.
Kita tak halang kreativiti penerbit drama-drama Gerak Khas, Akademi Polis, Roda-Roda Kuala Lumpur dan lain-lain lagi. Kreativiti pengarah, penerbit kita tiada halangan. Nak ‘Hindustan’kan drama itu terpulang. Asalkan tidak lari dari matlamat asal. Polis ada peraturan dan imej. Maknanya boleh ‘Hindustan’kan untuk menarik minat penonton. Takkan la manusia tidak ada perasaan untuk bercinta, polis juga manusia biasa. Polis juga menghadapi masalah rumah tangga, polis ada masalah kekeluargaan, polis juga ada masalah kemanusiaan. Jadi realiti kehidupan perlu dimasukkan dalam drama.
S3 : Kenyataan polis sebagai manusia biasa amat menarik. Tetapi dalam kes realiti suami orang bercinta dengan gadis adalah perkara biasa tetapi apabila merujuk kepada watak Norman dalam drama Gerak Khas, mengapa perkara itu tidak pula dibenarkan berlaku?
RR: Kita ikut selera penonton juga. Penonton kata Norman ini macam menganiaya kaum wanita. Kita akur dengan kehendak orang ramai. Sampaikan mereka telefon marah-marah kepada produser. Kalu itu kehendak penonton kita kena ikut lah.
S4 : Masyarakat kita bukan tidak memerlukan drama-drama kepolisan ini. Produksi kita ramai yang berminat untuk terbitkan cerita polis tetapi garis panduan dilihat ada yang lari dari realiti. Produksi kata PDRM hanya mahu yang baik-baik sahaja sedangkan di alam sebenar ada juga polis yang memberi masalah. Apa komen tuan tentang rungutan production ini?
RR: Kita biasanya akan duduk berbincang. Selalunya production yang tidak biasa sahaja yang komen tentang perkara ini. Sesuatu content yang dihantar kepada kita, kita akan panggil untuk mesyuarat dengan team production itu seperti pengarah, penerbit, penulis skrip untuk duduk bersama-sama dan berbincang. Ada yang sesuai yang boleh dibawa. Contoh kes polis rasuah. Ada tak cari lain untuk mengatakan polis rasuah. Boleh tukar watak atau tidak. Kalau tak boleh, kita tengok pula sudut lain yang boleh diberi pertimbangan. Apa yang kita maksudkan ialah kita tidak mahu ianya sampai menjatuhkan maruah dan imej polis secara keseluruhan. Selagi tidak menjatuhkan imej polis kita tak ada halangan. Tapi kalau dari awal cerita sehingga akhir cerita menunjukkan polis jahat itu tidak berubah, itu tidak boleh lah. Kita akan mintak mereka untuk pinda skrip.
Kita nak watak yang akhirnya ada keinsafan pada seorang polis yang mengamalkan rasuah. Kita tidak ada masalah untuk Yusof Haslam walaupun lebih 10 tahun. Kenapa mereka tidak ada masalah dengan polis? Sebab mereka ikut peraturan. Kita mintak Dato’ Yusof untuk hantar skrip sebab kita nak nilai skrip, dia ikut 100% peraturan kita. Dia tidak pernah tidak mengikut peraturan. Sebab tu kita senang dengan dia. Kita bincang dengan dia. Kalau perlu kena bayaran untuk menggunakan peralatan-peralatan tertentu, dia bayar duit minyak dan sewa semua supaya bila dia guna harta kerajaan bukan suka hati sahaja. Dia kena bayar mengikut resolution yang kita ada.
S5: Kalau produksi Dato’ Yusof Haslam berjaya bermakna rumah produksi yang lain juga tidak seharusnya mempunyai masalah?
RR: Ya, tidak ada masalah. Malah kita bagi latihan lagi. Kalau ada production contohnya sebelum ini Rosyam Noor pernah buat drama bersiri CID. Sebelum CID itu dibuat shooting, kita akan ingatkan tentang peraturan. Tahu atau tidak kaedah menangkap penjenayah agar cara tangkapan itu tidak menimbulkan implikasi. Kalau tidak tahu kita bersedia mengajar. Kita panggil fasilitator beberapa jam untuk mengajar. Katakan sebuah drama tiba-tiba seorang lelaki menangkap seorang perempuan dalam keadaan yang begitu kasar. Ia tidak boleh dibuat secara kasar. Kalau ada shooting drama polis selalunya kita akan bersama mereka sampai habis drama itu.
S6 : Drama polis Hong Kong, Korea dan lain-lain, rating mereka tetap tinggi walaupun ada unsur-unsur yang tidak sepatutnya. Tetapi dalam kes kita, perkara ini menjadi begitu sensitif?
RR: Sensitif kita kerana menjaga imej. Kedua, sensitif kita bergantung pada masyarakat/ orang ramai. Penonton di Malaysia tidak seperti penonton di luar negara. Mereka tidak membuat aduan. Tetapi di Malaysia lain. Mereka telefon kita atau membuat aduan dalam surat khabar. Kita tengok dalam surat khabar ada watak polis tak sesuai dalam surat khabar, DSP tak betul. Semua ada tulis dalam surat khabar. Kita tidak menghalang kreativiti. Mereka boleh ‘dramatized’ watak polis itu contohnya kes penyamun. Ada juga filem yang betul-betul ikut panduan tetapi filem itu tidak laku di panggung. Bajet berjuta-juta tapi pulangan beberapa ribu sahaja. Memang mencabar nak buat filem polis ini. Kalau orang tidak biasa memang payah. Cuba Tanya Rosyam Noor susahnya nak buat filem polis. Tetapi kenapa Dato’ Yusof Haslam boleh buat? Yusof Kelana boleh buat? Kenapa orang lain tak boleh buat? Walhal caranya sama sahaja. Kita tengok skrip dan kita bantu. Kalau tidak sesuai kita akan cakap tidak sesuai. Kita boleh bincang kesesuaiannya. Malah kita dan pegawai kita akan turun ke lokasi untuk tunjuk caranya. Tidak ada halangan langsung. Sekarang kita fikir kalau nak bentuk jiwa remaja, masalah remaja sekarang ini, remaja kita ini nak jadi apa? Nak jadi pengikut zaman atau peneraju zaman? Kita kena bentuk remaja menjadi peneraju. Jadi melalui filem atau drama adalah salah satu yang terbaik untuk kita.
S7 : Filem dan drama boleh menjadi medium komunikasi untuk memberi imej/ input baik kepada polis tetapi jika garis panduan itu terlalu artificial tentu produksi akan rugi. Tidakkah tuan merasakan garis panduan itu terlalu tegas?
RR: Tidak. Kalau skrip tidak diluluskan mereka boleh datang balik kepada kita. Kita akan berbincang dan memberi nasihat sewajarnya.
S8 : Adakah setiap permohonan akan diberi panduan?
RR: Ya. Kita akan beri panduan walaupun berkali-kali mereka membuat permohonan.
S9 : Masalah yang dikenalpasti adakah kerana produksi tidak faham garis panduan atau produksi hanya memikirkan keuntungan semata-mata?
RR: Pertama, jangan dengar cakap orang lain. Tanya kita dan kita akan bantu. Yang menjadi masalah mereka mahu menerbitkan cerita bertemakan keburukan dan kejahatan polis. Mendengar cakap orang akan memberi masalah. Pada saya kalau produksi itu datang terus kepada kita, tidak akan ada masalah langsung. Beritahu sahaja macam mana nak buat, kita akan bantu.
S10 : Apakah tips tuan kepada produser-produser drama/filem yang nak menggunakan tema kepolisan dalam karya mereka?
RR : Di Unit Perhubungan Awaqm Bukit Aman ini kita ada Unit khas yang menjaga drama/filem/produksi. Kalau tidak direct kepada saya, boleh telefon unit berkenaan. Jadi tidak ada masalah. Kemudian boleh hantar draft dulu buat membuat perbincangan sebelum mengadakan projek. Hantar kertas projek kemudian kita bincang. Tak payah buat skrip lagi. Ini tidak buat skrip dulu baru datang sedangkan skrip itu tidak betul. Bawa sinopsis kemudian kita bincang baru la fikir mengenai skrip. Selepas lulus shooting, kita nak tengok end product dalam bentuk CD. Kita preview dulu. Jika dah ok tidak ada masalah. Saya nak bagi contoh, dalam skrip lain, bila dah jalankan shooting, lain jadinya. Dalam lokap ada kambing. Cerita jenaka tetapi polis. Mana orang boleh terima. Tidak ada logik dan nilai. Cuma merendahkan martabat manusia sahaja.
S11 : Adakah watak jenaka tidak sesuai untuk polis?
RR: Boleh tetapi jangan melanggar peraturan sahaja. Saya kata polis adalah manusia biasa, boleh melawak, boleh bercinta, boleh berkahwin. Gerak Khas pun ada unsur jenaka juga. Contohnya AC Mizal dan masyarakat boleh terima. Walaupun polis tegas di tempat kerja, tak bermakna di rumah anak isteri kena ikut peraturan yang sama. Zaman sekarang polis juga moden. Semasa bekerja kita bekerja macam orang lain, masa di rumah juga macam orang lain menjadi ibu dan bapa.
S12 : Jadi tuan merasakan masalah dalam produksi timbul apabila produser/penerbit/ pengarh tidak faham, mereka mendengar cakap orang, tidak cukup research?
RR: Ya. Baru ini kita buat dokumentari Al-Ma’unah. Mengapa ia boleh ditayangkan di Astro dan mendapat sambutan yang baik. Saya berbincang dengan kumpulan produksi Al-Ma’unah itu sendiri selama 3 bulan. Kita berbincang dulu. Membuat dokumentari Al-Ma’unah itu susah sebab melibatkan dua organisasi. Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM. Dua-dua nak kena jaga. Dua-dua ada peraturan khas yang tidak boleh diubah. Polis ada peraturan. Produksi itu kena kuat dan perlu mampu jika tidak jangan buat dokumentari Al Maunah.
Polis nak jaga kredibilitinya dan ATM juga nak jaga maruahnya. Sebab cerita itu memang pada asalnya memang cerita ATM tetapi polis menjalankan siasatan. Jadi untuk menampakkan keseimbangan watak kita duduk dan berbincang.
S13 : Apakah kata-kata semangat Tuan kepada produksi-produksi?
RR: Kita sebenarnya akur kepada hakikat bahawa filem dan drama membantu pihak polis jadi produksi digalakkan menerbitkan filem. Polis dan PDRM akan sentiasa sedia membantu membantu bila-bila masa dan habis-habisan. Sebagai contoh kalau kita tidak cukup waktu pejabat, bila berbincang waktu di luar . Ada yang kita buat waktu petang, malam walaupun hari-hari bercuti. Tidak ada apa-apa masalah. Malah kita sangat berbesar hati.
-team berita ikdn


















20 March 2010
Eksklusif Dari KDN