Kehadiran Timbalan Menteri Dalam Negeri (TMDN) Tuan Jelaing Anak Mersat menyertai team rondaan sukarela Rukun Tetangga Kampung Malaysia Raya menarik perhatian sebilangan besar penduduk kampung di situ. Mereka kelihatan teruja tatkala melihat kelibat TMDN untuk bersama-sama meronda pada malam itu.
TMDN tiba di Dewan Serbaguna Kampung Malaysia Raya sekitar jam 9.30 malam. Hujan yang turun dengan lebatnya selepas itu menyebabkan rondaan ditangguhkan seketika. Turut kelihatan hadir Encik Khairy Jamaluddin, wakil rakyat Rembau.
Disebabkan hujan lebat, lokasi majlis perasmian program Jom Ronda diadakan di dalam dewan. Dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Timbalan Ketua Polis Cheras Supt. Abd Rahim yang menerangkan kadar jenayah yang menurun di sekitar kawasan Cheras. Encik Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda UMNO pula dalam ucapan beliau melahirkan rasa gembira kerana pergerakan itu diberi peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan Rukun Tetangga Kampung Malaysia Raya dalam menjalankan SRS ini.
TMDN menyarankan agar kerjasama seperti ini lebih banyak diadakan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah seperti yang diamanatkan oleh Perdana Menteri. Lawatan beliau ini adalah kesinambungan lawatan yang dirintis oleh Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin sebelum ini di Pangsapuri Fasa 3 Bandar Baru Sentul.
Tuan Jelaing mengambil peluang untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan futsal empat penjuru antara penduduk Kampung Malaysia Raya anjuran Pergerakan Pemuda cawangan Cheras. Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada wakil Rukun Tetangga sekitar Kampung Malaysia Raya sebagai insentif menaikkan semangat mereka supaya SRS ini tetap akan diteruskan.

Penduduk Kampung Malaysia Raya memberikan reaksi yang positif dengan kehadiran TMDN di rumah mereka. Penduduk juga memenuhi di setiap pos kawalan bagi meraikan kedatangan TMDN ke kawasan mereka. Y.B Tuan Jelaing meluangkan masa hampir 2 jam dan singgah di beberapa buah rumah dan turut menerima buku laporan lengkap dari Rukun Tetangga Kampung Malaysia Raya dan akan diserahkan kepada MDN.
..team berita ikdn


















27 March 2010
KDN Sana Sini