Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Kunjungan Hormat Duta Anti Keganasan Australia Bill Paterson
Putrajaya, 28 April 2010
Pada hari ini, saya telah menerima kunjungan daripada Bill Paterson, Duta Anti Keganasan Australia bagi membincangkan pelbagai perkara khususnya mengenai usaha Malaysia dan Australia dalam memerangi keganasan serta pendekatan untuk menangani aktiviti penyeludupan manusia di rantau Asia.
Dalam pertemuan ini juga, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Berhubung Anti Keganasan Malaysia-Australia sebagai satu tindakan serius bagi menangani isu-isu berkaitan keganasan di antara kedua-dua negara dan juga di rantau ini.
Jawatankuasa Kerja Berhubung Anti Keganasan Malaysia-Australia ini akan mengguna pakai model dan mekanisme yang digunakan oleh Jawatankuasa Kerja Penyeludupan Manusia Malaysia-Australia yang telah dilihat kejayaan dan keupayaannya dalam mendepani isu-isu berkaitan dengan penyeludupan manusia.
Keputusan penubuhan Jawatankuasa Kerja Berhubung Anti Keganasan Malaysia-Australia ini juga didasari berlakunya beberapa aktiviti penyeludupan manusia baru-baru ini yang dilihat turut membuka ruang kepada para pengganas untuk menyelinap masuk ke dalam sesebuah negara. Justeru, penubuhan Jawatankuasa Kerja ini amat penting sebagai langkah segera bagi memastikan aktiviti penyeludupan manusia yang berkait dengan penyelinapan pengganas ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi. Saya juga berharap, penubuhan Jawatankuasa Kerja Berhubung Anti Keganasan Malaysia-Australia ini akan saling melengkapi bersama Jawatankuasa Kerja Penyeludupan Manusia Malaysia-Australia yang telah ditubuhkan sebelum ini.
Sebagai contoh, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan beberapa pemimpin utama Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) yang cuba memasuki dan bersembunyi di negara ini termasuk pemimpin nombor dua LTTE, ketua logistik dan kewangan, ketua penyeludupan manusia dan dua koordinator militan Sri Lanka sepanjang Ogos 2009 hingga Mac 2010 baru-baru ini. Contoh ini menunjukkan betapa aktiviti penyeludupan manusia juga berkait dengan kegiatan militan dan pengganas.
Dalam pada itu, pertemuan ini juga berfokus kepada usaha-usaha dan pendekatan baru dengan negara-negara berkepentingan bagi menangani isu-isu yang berkait dengan keganasan. Selain itu, kedua-dua belah pihak juga telah berbincang mengenai kerjasama dua hala antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Persekutuan Australia bagi memerangi isu ini.
Pertemuan ini berlangsung dalam suasana yang konstruktif di mana kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk menambah baik sekali gus meningkatkan kerjasama yang sudah terjalin sejak sekian lama. Selain itu, perbincangan turut menjurus kepada soal perkongsian maklumat anti keganasan, penyeludupan dadah, penyeludupan senjata api, jenayah komersial dan pemerdagangan orang di rantau ini.
Semasa pertemuan ini juga, saya telah dimaklumkan bahawa kerajaan Australia telah menubuhkan Multi-National Operational Support Team (MNOST) bagi membenteras keganasan. Pada masa ini pasukan polis dari Australia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura telah menyertai MNOST secara rasmi manakala PDRM masih belum lagi menyertai usaha sama tersebut. Ini disebabkan PDRM perlu memberikan sepenuh komitmen kepada ASEANAPOL dan perkara ini telah disampaikan kepada pihak MNOST melalui Kementerian Luar Negeri.
=tamat=


















29 April 2010
Teks Ucapan MDN & TMDN