Salah satu kaedah untuk mengawal kemasukan pekerja asing ialah pembayaran levi yang tinggi khususnya kepada pekerja asing yang tidak mempunyai kemahiran. Cadangan itu diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin kali yang ke-3 di Putrajaya pada 20 Mei 2010. Cadangan berkenaan adalah penemuan yang dikemukakan Makmal Pengurusan Pekerja Asing yang telah dijalankan pada 23 Mac sehingga 23 April yang lalu.
“Kita bercadang untuk mengenakan levi yang lebih besar. Bagi pekerja yang tiada kemahiran, maka lebih besar levi yang akan dikenakan. Pekerja yang ada kemahiran maka lebih rendahlah levinya. Dan mengikut tempoh masa yang tertentu, levi akan dinaikkan dari satu peringkat ke satu peringkat,” katanya.
Sehubungan itu semua kementerian dan agensi yang terlibat dengan sektor-sektor yang memerlukan pekerja asing digesa untuk meneliti cadangan makmal berkenaan secara mendalam dalam tempoh dua minggu. TPM menambah kadar levi yang dinaikkan itu adalah pada kadar munasabah dan penguatkuasaannya ialah pada awal 2011.
“Sektor pembuatan, sektor perkhidmatan, sektor pembinaan, sektor perladangan, sektor pertanian adalah sektor yang terlibat dengan kenaikan levi ini. Levi itu akan berbeza mengikut sektor-sektornya dan juga dari segi peratusan pekerja yang ada. Lebih tinggi bilangan pekerja, lebih besar levinya. Selain itu, berdasarkan kelayakan juga. Lebih tinggi kelayakannya, lebih besar levinya,” katanya.
–team berita ikdn


















21 May 2010
KDN Sana Sini