web analytics

Majikan Bertanggungjawab Sepenuhnya – TPM

21 May 2010

KDN Sana Sini

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKKPA-PATI) telah memasuki siri ketiga sejak diwujudkan setahun yang lalu. Kali ini mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berlangsung pada 20 Mei 2010 turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Sumber Manusia YB Datuk Dr. S. Subramaniam.

“Kita juga jemput Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Kementerian (KSU KDN dan KSU KSM) . Jadi boleh dikatakan hampir sebahagian besar daripada ketua-ketua jabatan terlibat disebabkan beberapa isu utama yang ingin kita selesaikan pada hari ini. Mesyuarat hari ini memberi fokus kepada pembentangan dapatan ataupun dipanggil recommendation daripada Makmal Pengurusan Warga Asing yang telah pun berlangsung selama sebulan daripada 23 Mac 2010 hingga 24 April 2010,” katanya.

Menurut Tan Sri Muhyiddin mesyuarat telah membincangkan 3 perkara utama iaitu aspek Penerimaan dan Penawaran (Demand and Supply), aspek Sistem dan Proses Pengambilan Pekerja-pekerja Asing (System and Process) dan aspek Perundangan dan Penguatkuasaan (Legislative and Enforcement). Makmal yang bersidang selama sebulan itu turut mengemukakan 50 cadangan inisiatif untuk menangani isu warga asing. 11 inisiatif dari segi soal Penawaran dan Permintaan, 14 inisiatif dalam soal Sistem dan Proses dan 25 inisiatif dalam soal Perundangan dan Penguatkuasaan.

“Melalui 3 aspek yang saya sebutkan tadi, ada 6 Key Performance Indicators (KPI) atau petunjuk utama prestasi diwujudkan. Antaranya ialah pengurangan jumlah pekerja asing di negara ini dari segi jangka panjang. Keduanya ialah pengurangan pendatang asing tanpa izin, ketiga ialah peningkatan jumlah majikan yang dikenakan tindakan undang-undang, keempat ialah peningkatan jumlah pendapatan Jabatan Imigresen, kelima ialah pengurangan kos jabatan yang ditanggung kerajaan dan keenam ialah pengurangan jumlah kes jenayah yang melibatkan warga asing,” katanya.

Tambah beliau lagi dari segi jangka panjang dasar Kerajaan Malaysia ialah untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing. Ianya akan dilakukan secara berperingkat. Bagaimanapun tidak ada had khusus dalam menentukan jumlah pekerja asing yang diperlukan memandangkan kepada kepesatan ekonomi Malaysia yang mempamerkan peningkatan memberangsangakan kebelakangan ini.

“Dengan model ekonomi baru, kita jangka kita perlu tenaga-tenaga mahir dalam negara kita dan pasti dari sudut ini, bermakna kita memerlukan jumlah pekerja yang semakin ramai. Kita juga membincangkan perkara pokok iaitu bagaimana untuk kita menguruskan pekerja-pekerja asing ini. Kita akan mengizinkan kemasukan pekerja asing di mana ada keperluan terutama sekali sumber manusia itu tidak dapat dipenuhi oleh warga Malaysia. Kita pastinya tidak mahu ekonomi kita terbantut. Jadi persoalannya sekarang ialah pengurusan pekerja asing. Mesti ada pihak yang bertanggungjawab dan dalam hal ini ialah majikan,” katanya.

Sehubungan dengan itu satu sistem pengumpulan data dan maklumat yang bersepadu yang boleh diakses oleh agensi berkenaann dengan warga asing dan juga pekerja asing perlu diwujudkan. Undang-undang yang sedia ada ataupun pengenalan pada peraturan baru akan diberi kajian begitu juga dengan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

“Apa yang telah diputuskan hari ini ialah majikan adalah mereka yang akan memikul tanggungjawab ini. Hanya syarikat yang dilantik sahaja boleh membawa masuk pekerja asing sebagai outsourcing company. Selepas itu, syarikat akan menyerahkan kepada majikan. Maka yang akan bertanggungjawab sepenuhnya selepas itu ialah majikan-majikan,” katanya.

Beliau juga mengatakan bon jaminan oleh majikan sedang diteliti. Ia adalah sebagai satu cara untuk majikan bertanggungjawab kepada pekerja asing mereka. Ini bermakna jika pekerja itu lari atau berhenti, maka majikan yang berkenaan akan bertanggungjawab.

Bond itu sebagai jaminan. Itu belum kita putuskan tetapi kita minta agar ia diteliti lagi. Adakah ianya wajar? Kita bersedia untuk menerima input daripada pihak persatuan, majikan dan sebagainya. Konsep security bond ini telah banyak dilaksanakan di negara-negara yang membawa masuk pekerja asing contohnya seperti Singapura,” katanya.

–team berita ikdn