web analytics

Pertemuan Dengan Setiausaha Agung ICDO dan International Organisation of Migration (IOM) di Geneva, Switzerland

Kenyataan Akhbar

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Pertemuan Dengan Setiausaha Agung ICDO dan International Organisation of Migration (IOM) di Geneva, Switzerland
Geneva, Switzerland, 09 Mei 2010

Saya telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung ICDO, Nawaf Al-Sleibi, di Geneva, Switzerland bagi menandatangani dokumen keanggotaan tetap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa atau International Civil Defence Organisation (ICDO).

Keanggotaan JPAM dalam ICDO ini merupakan batu loncatan yang penting bagi JPAM menerima pakai deklarasi dan ketetapan yang diputuskan oleh ICDO dalam mencorak aktiviti pertahanan awam yang seimbang dan bersifat universal di negara ini. Saya berharap, penyertaan dalam ICDO ini bukan sahaja berupaya mampu memperkasakan JPAM tetapi juga membuka ruang kerjasama dengan pelbagai organisasi lain dalam dan luar negara sekali gus menonjolkan peranan dan perkhidmatan JPAM yang seragam serta bermanafaat kepada rakyat.

Untuk makluman, ICDO adalah badan antara kerajaan yang ditubuhkan dengan objektif untuk menyumbang kepada pembangunan struktur sesebuah negara anggota bagi memastikan perlindungan dan bantuan kepada rakyat serta melindungi harta benda dan persekitaran daripada bencana semulajadi atau bencana buatan manusia. Struktur ini biasanya dikenali sebagai Pertahanan Awam atau Perlindungan Awam atau Keselamatan Awam atau Pengurusan Kecemasan (Civil Defence / Civil Protection / Civil Safety / Emergency Management)

Penyertaan Malaysia ke dalam keanggotaan ICDO akan melayakkan negara kita untuk mendapat;

  1. Hak untuk mengundi dan memegang jawatan dalam Majlis Eksekutif dalam Persidangan Tahunan ICDO;
  2. Menerima pakai hak dan keistimewaan yang diputuskan dalam resolusi atau deklarasi yang digubal oleh ICDO mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pertahanan Awam;
  3. Mendapat keistimewaan untuk menerima latihan, kursus dan kemahiran yang ditawarkan oleh mana-mana institusi pertahanan awam negara anggota;
  4. Menyertai aktiviti operasi bantuan bencana dan aktiviti program pertahanan awam yang dianjurkan oleh ICDO atau negara anggota yang menghadapi situasi bencana;
  5. Mendapat khidmat kepakaran teknikal atau spesifikasi teknikal khususnya mengenai sistem perlindungan awam (public shelter), sistem amaran awam (public warning system) dan lain-lain pembangunan strategik Pertahanan Awam;
  6. Membuka dan meneroka jalinan kerjasama (networking) antara JPAM dengan negara anggota dan pertubuhan profesional yang bernaung di dalam ICDO;
  7. Mengangkat imej dan membina kekuatan JPAM untuk melaksanakan fungsi bertaraf universal Pertahanan Awam di Malaysia; dan
  8. JPAM diberi perlindungan berdasarkan International Humanitarian Law di bawah Artikel 51 dan Artikel 52 Protokol 1 Konvensyen Geneva 1949 daripada diserang atau dimusnahkan semasa menjalankan tugas pertahanan awam dalam masa peperangan.

Langkah ‘mengantarabangsakan’ identiti JPAM telah bermula pada 13 September tahun lalu apabila saya menyempurnakan majlis pelancaran pakaian seragam baru yang berwarna biru cerah, selaras dengan warna uniform ICDO mengikut piawaian Pertahanan Awam yang turut digunakan di Singapura, Ireland, United Kingdom dan New Zealand.

Anjakan ini perlu seiring dengan tuntutan fungsi antarabangsa yang memerlukan JPAM meneroka dimensi baru bagi memperkemas dan memperkasa khidmat yang digariskan dalam perundangan yang diguna pakainya.

Selain daripada penglibatan dalam ICDO, JPAM juga telah menjalin kerjasama dengan Asian Network for Major Cities 21 atau ANMC21 yang berpusat di Tokyo, Jepun danAsian Disaster Preparedness Center (ADPC) yang berpusat di Bangkok, Thailand yang memberi platform berguna kepada JPAM untuk menimba pengetahuan dalam bidang perancangan dan teknologi pengurusan bencana. Kerjasama ini bertujuan membolehkan JPAM mengorak langkah membina kekuatan dalaman yang secara langsung mampu meningkatkan imej JPAM dan KDN melalui perkhidmatan profesional warga JPAM kepada rakyat dan negara.

Untuk makluman juga, ketika berada di Geneva, saya telah menghadiri taklimat oleh International Organisation for Migration (IOM) di ibu pejabat badan antarabangsa tersebut. Pertemuan dengan badan ini adalah susulan kepada lawatan IOM pada 9 Mac lalu ke Malaysia. Perbincangan berkenaan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam mendapat gambaran lebih lanjut mengenai kerjasama dua hala, terutama dalam soal-soal yang menyentuh soal migrasi.

=tamat=