Program bermula dengan mesyuarat KSU bersama pemandu-pemandu KDN pada malam 5 Mei 2010. Namun tanpa apa-apa perancangan Dato’ Sri Mahmood mengarahkan kumpulan pemandu yang terdiri dari 38 orang itu bersiap sedia untuk satu ‘retreat‘. Semua tertanya-tanya namun mengikut sahaja. Retreat yang dimaksudkan ialah melawat Depot Tahanan Imigresen di KLIA. Lawatan tinjauan 30 minit ke Depot Tahanan membuka minda semua yang hadir melihat keadaan sebenar pada ketika itu.

“Selalu anda semua hanya diberi peluang menghantar pegawai-pegawai pergi ke sini (Depot Tahanan Imigresen KLIA) dan menunggu di luar. Tapi kali ini anda bertuah dapat masuk dalam kawasan depot. Bukan calang-calang orang dapat masuk waktu-waktu begini,” kata Dato’ Sri Mahmood berseloroh.
Ketibaan ‘delegasi berunifom biru’ yang diketuai sendiri oleh KSU disambut dengan kejutan oleh Komanden Depot KLIA, Tuan Hj. Mohd. Azmi b. Mohd Isa serta beberapa pegawai yang bertugas.

“Saya amat rasa berbesar hati apabila Dato’ Sri KSU ajak semua pemandu sama-sama pergi ke Depot Tahanan KLIA. Dapat juga tengok keadaan dalam tahanan bagaimana, tengah malam pula tu, kira macam eksklusif lah.” Kata Encik Abu Bakar bin N.Assanaru, ketua pemandu KDN berseloroh.
“Harapan saya di masa akan datang akan banyak lagi tempat-tempat lawatan dibawa, terbuka sikit minda pemandu-pemandu,” tambah beliau lagi.

Encin Kassim bin Yaakob, salah seorang pemandu yang turut serta lawatan pada malam tersebut turut memberi pandangannya. “Secara peribadi ingin saya katakan lawatan ini kurang best sebab saya sendiri tak dapat apa-apa info pun. Hanya sekadar jalan-jalan. Tapi saya terpikat dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh KSU KDN kepada pemandu seperti kami,” katanya.
Dalam perjalanan pulang kumpulan pemandu KDN mendapat durian runtuh dijamu sate oleh KSU. Terima kasih daun keladi Dato’ Sri.
-team berita ikdn


















27 May 2010
KDN Sana Sini