web analytics

Kenyataan Akhbar Kementerian Dalam Negeri

30 June 2010

KDN Sana Sini

KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
29HB. JUN 2010

1.   Dalam meluluskan satu-satu permit penerbitan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyertakan garis panduan dan syarat-syarat permit. Di samping itu, pemegang permit juga adalah tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984. Adalah menjadi tanggungjawab pemegang permit untuk mematuhi dan mengeluarkan penerbitan berpandukan garispanduan, syarat dan Akta tersebut.

2.   KDN mendapati bahawa terdapat beberapa akhbar harian dan tabloid yang tidak mematuhi syarat permit, garispanduan penerbitan yang ditetapkan atau peruntukan yang terdapat di dalam AMCP 1984.

3.   Mengikut Seksyen 7 (1), AMCP 1984, apa-apa hasil penerbitan tidak boleh mengandungi perkara-perkara yang:

i.    memudaratkan ketenteraman awam
ii.   memudaratkan keselamatan
iii.  memudaratkan kemoralan
iv.  menggemparkan fikiran orang ramai
v.   berlawanan dengan mana-mana undang-undang
vi.  memudaratkan kepentingan awam
vii. memudaratkan kepentingan negara

4.   Apa-apa hasil penerbitan juga dilarang menyiarkankan berita tidak benar. Jika ini dilanggar maka ia akan bersalahan dengan Seksyen 8A AMCP 1984.

5.   Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, didapati beberapa penerbitan tabloid juga telah melanggar syarat-syarat permit khasnya bagi syarat-syarat berikut:

i.     Lapan (8) salinan tiap-tiap keluaran dan edisi akhbar hendaklah dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri sebaik sahaja ia dicetak.

ii.    Format akhbar hendaklah mematuhi contoh/“mockup” yang telah diserahkan bersama dengan permohonan bagi permit ini.

iii.   Akhbar itu hendaklah tidak menerbitkan apa-apa bahan, fotograf, artikel atau perkara lain yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, perhubungan dengan negara atau Kerajaan asing, atau yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.

iv.   Akhbar itu hendaklah tidak dengan apa-apa cara salah nyata fakta-fakta berhubungan dengan kejadian-kejadian ketenteraman awam dan  keselamatan yang berlaku di Malaysia.

6.   Bagi penerbitan surat berita parti politik, syarat-syarat berikut juga hendaklah dipatuhi:

i.      Pengedaran hendaklah dihadkan kepada ahli-ahli parti sahaja.

ii.    Pengedaran dan penjualan hanya dibenarkan kepada ahli-ahli parti di Pejabat Urusan dan Markas parti sahaja.

7.   KDN telah mengeluarkan sebanyak 43 Surat Teguran kepada akhbar harian pada tahun 2009 manakala 10 Surat Teguran telah dikeluarkan pada tahun 2010. Bagi akhbar tabloid pula, Kementerian ini telah mengeluarkan sebanyak 19 teguran pada tahun 2009 hingga bulan Mei 2010. Bagi tempoh yang sama, KDN telah mengeluarkan sebanyak 6 surat teguran dan satu surat tunjuk sebab kepada surat berita parti politik.

8.   Surat Tunjuk Sebab telah dikeluarkan kepada penerbitan Suara Keadilan pada 28 Jun 2010 kerana telah menyiarkan berita yang menggemparkan fikiran orang ramai dan ini telah melanggar Seksyen 7 (1), AMCP 1984.

Sekian Terima Kasih. Dikeluarkan kenyataan ini untuk tindakan siaran dan perhatian tuan selanjutnya.

Dato’ Zaitun Ab. Samad
Setiausaha Bahagian
Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran
Kementerian Dalam Negeri
29 Jun 2010

, , , , , , ,