web analytics

DVD Haram di Hulu Perak

11 June 2010

KDN Sana Sini

Pada pukul 9.30 malam, 10 Jun 2010, sepasukan Penguatkuasa Bahagian Kawalan Filem, Cawangan Perak yang diketuai oleh PPP Noor Fazlin binti Afandi telah melakukan satu serbuan ke atas premis jualan DVD yang beralamat di Pusat Ekonomi Sri Impian, No. 4, Jalan Iskandar, 33100 Pengkalan Hulu, Perak. Pemerhatian selama lebih kurang 20 minit telah dilakukan sebelum serbuan itu dijalankan.

Sehubungan dengan serbuan tersebut, pihak penguatkuasa telah berjaya menjumpai dan merampas sebanyak 246 keping filem DVD pelbagai tajuk yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapis yang berada di atas meja pameran di premis tersebut. Seorang lelaki yang mengaku sebagai empunya premis perniagaan tersebut juga telah ditangkap dan ditahan bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 berkenaan dengan belum mendapat kelulusan oleh Lembaga Penapis Filem. Pihak penguatkuasa juga akan menjalankan siasatan lanjut berhubung tangkapan tersebut.

Menurut Ketua Penguatkuasa Cawangan Perak, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan DVD yang menyalahi Akta Penapisan Filem 2002, Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Megeri, diminta menghubungi Bahagian Kawalan Filem, Cawangan Perak melalui talian 05-5279002 atau emel kepada ngeh@moha.gov.my untuk membantu penguatkuasaan.