web analytics

Gerakan Bersepadu Dalam Laksana NKRA – MDN

20 June 2010

KDN Sana Sini

Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan perancangan melaksanakan inisiatif dalam NKRA khususnya usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah di Johor bukan sahaja telah bermula tetapi berada pada tahap jauh ke depan.  Beliau yang mengadakan lawatan kerja  ke Johor Bharu pada 17 Jun yang lalu berkata demikian di sidang akhbar setelah mendengar taklimat pembangunan keselamatan.

“Hari ini dengan pemimpin-pemimpin di peringkat negeri, Agensi dan juga Kementerian bersama-sama dengan Polis Bukit Aman dan Kontinjen Johor usaha kita ialah untuk cuba menyelaraskan apa yang telah kita telah lakukan sebelum ini.  Dengan peranan dan sumbagnan syarikat swasta, GLC, ia mencerminkan tindakan bersepadu.  Selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada minggu lepas, KDN sekarang ini telah pun berada dalam ‘mode’ pelaksanaan. Kaedah untuk kita ‘deliver’ apa yang telah kita janjikan,” katanya.

Menurut beliau lagi KDN bukan sahaja terlibat secara langsung dalam GTP (Pelan Transformasi Kerajaan) di bawah NKRA jenayah bahkan terlibat secara langsung juga dalam ETP (Pelan Transformasi Ekonomi) yang berhubung kait dengan pekerja dan suasana persekitaran buruh bersandarkan kepada gagasan 1 Malaysia rakyat dan pencapaian. Dan ianya hanya dapat dilaksanakan kalau sekiranya semua pihak berganding bahu untuk melaksanakannya.

“Apa yang saya tengok kami di Kementerian tidak mempunyai masalah langsung untuk menyelaraskan apa yang telah pun diusahakan oleh kepimpinan Y.B Menteri Besar di Johor.  Saya lihat bahawa kita berada di atas landasan yang baik sebab itulah kita tengok indeks jenayah di Johor telah pun menurun, kita tengok persepsi orang ramai telah pun mula berubah. Dan ini saya percaya hasil daripada kepimpinan Kerajaan Negeri dan usaha Kontinjen PDRM di Negeri Johor itu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berpandangan perkara ini mestilah dilaksanakan secara berterusan. Tidak kurang dari 1000 CCTV akan dipasang di wilayah  pembangunan ini yang disifatkan oleh Menteri Besar Johor akan meberi kesan yang lebih besar kepada pemantauan keselamatan.

–team berita ikdn

, ,