web analytics

Hidangan Sihat di Mesyuarat dan Majlis Rasmi

23 June 2010

KDN Sana Sini

Hidangan atau makanan yang sihat menjamin kesihatan seseorang untuk menyumbang kepada kerja yang berkualiti.  Kementerian Dalam Negeri telah mengambil inisiatif dengan  mengadakan taklimat kepada semua pembekal-pembekal  makanan yang berdaftar untuk memastikan semua pembekal tersebut mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

Ketua Setiausaha, Dato’ Sri Mahmood Adam berkata, objektif taklimat ini diadakan adalah untuk menerangkan peranan penyelia bahagian di KDN dan jabatan / agensi di bawahnya mengenai penilaian dan pemantauan pembekal-pembekal makanan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menerangkan kepada pembekal-pembekal makanan tentang penyediaan makanan yang sihat dan selamat selaras dengan panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Taklimat yang berlangsung selama satu hari ini juga turut mengundang penceramah dari Pejabat Kesihatan Putrajaya En. Rozaimi Abd. Rahman yang menerangkan berkenaan tajuk ‘Pengenalan Penyakit Bawaan Makanan serta Air; dan Katerer Bersih, Makanan Selamat, Pengguna Sihat’ serta Puan Azlinda Hamid, Pakar Zat Makanan yang menerangkan tentang ‘Menu Semasa Mesyuarat’.

Taklimat ini banyak memberi manfaat kepada pembekal makanan dan penyelia-penyelia penyediaan makanan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai hidangan sihat dari aspek keselamatan penyediaan makanan dan cara pengendalian makanan yang betul.

Turut hadir pada taklimat ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Dato’ Md Nor Hashim dan Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan dan Aset En. Marzuki Zainudin.

–team berita ikdn