
Secara umumnya, perjudian haram atas talian atau online gambling banyak dijalankan terutamanya menjelang Piala Dunia yang akan bermula 3 hari lagi. Terdapat dua (2) bentuk perjudian on-line iaitu on-line casino dan on-line sports betting. Sindiket perjudian ini berpusat di luar negara dan ejen-ejen dalam negara ini beroperasi tanpa lesen. Sindiket ini mengenakan caj yang tinggi untuk mengaut keuntungan beratus juta ringgit.
Justeru, Kementerian Dalam Negeri memandang serius dan tegas dalam memerangi perjudian haram ini. Kementerian memberikan amaran keras kepada masyarakat supaya tidak menyertai sebarang aktiviti perjudian.
Untuk makluman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas (Task Force) untuk memantau dan mengambil tindakan pembanterasan terhadap kegiatan perjudian haram ini. Pihak polis akan menambah operasi serbuan di premis perjudian dan membuat tangkapan serta rampasan.
Di peringkat antarabangsa pula, PDRM telah bekerjasama dengan INTERPOL dalam membanteras sindiket antarabangsa yang terlibat dengan perjudian di negara-negara ASEAN.
Pada tahun 2009, pihak berkuasa PDRM telah berjaya menumpaskan lima (5) sindiket perjudian loteri awam haram tempatan di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Sabah. Sebanyak tiga belas (13) serbuan telah dijalankan dan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM191,934.00 termasuk komputer, telefon bimbit, wang tunai dan cek. Anggaran pertaruhan adalah sebanyak RM870,00.00 sehari atau RM10.44 juta sebulan atau RM125.28 juta setahun.
Bagi sindiket perjudian atas talian (online gambling) pula, PDRM telah berjaya:
Mengadakan sebanyak 21,985 serbuan sejak tahun 2008 sehingga April 2010;
Membuat 15,106 tangkapan sejak tahun 2008 sehingga April 2010; dan
Merampas 112,276 komputer sejak tahun 2008 sehingga April 2010.
Kementerian Dalam Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang serius terhadap sindiket-sindiket perjudian dan orang perseorangan yang didapati bersalah di bawah:
Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289);
Akta Pertaruhan 1953;
Akta Jenayah komputer 1977;
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998;
Hukuman yang boleh diambil di bawah akta-akta yang dinyatakan termasuklah hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda maksimum RM200,000.00 terhadap penjudi dan penganjur mesin perjudian.
Selain itu, tindakan keras di bawah undang-undang pencegahan iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Ordinan Darurat 1959 dan Akta Pengubah Wang Haram (Pembiayaan Keganasan) 2007 juga boleh dikenakan dengan arahan perintah sekatan ataupun perintah tahanan terhadap penjudi dan penganjur mesin perjudian.
Kementerian Dalam Negeri akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan perundangan dalam membanteras perjudian haram ini dengan kerjasama semua Jabatan/Agensi/Kementerian. Kementerian sentiasa berusaha untuk memelihara hak asasi masyarakat dan pada masa yang sama membantu mengekalkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Kementerian juga mengalu-alukan orang ramai untuk memberikan maklumat berkenaan sindiket perjudian dengan menghubungi Rakan Cop di talian 03-2115 9999 dan Bilik Kawalan MCC Bukit Aman di talian 03-22663333/ 3444).
Terima Kasih.
Dato’ Lee Chee Leong
Timbalan Menteri Dalam Negeri
Kementerian Dalam Negeri


















9 June 2010
Teks Ucapan MDN & TMDN