PADA PETANG 28 JUN 2010, EDITOR SUARA KEADILAN, SAUDARA ZULKARNAIN TAIB TELAH DIPANGGIL OLEH KEMENTERIAN DALAM NEGERI BERKAIT PENYIARAN ARTIKEL BERTAJUK FELDA BANKRAP DI AKHBAR SUARA KEADILAN (22 JUN – 29 JUN 2010).
BERIKUT IALAH KENYATAAN AKHBAR YANG DIBUAT OLEH SAUDARA ZULKARNAIN.
“Saya sebagai editor telah mengadakan pertemuan selama dua jam bersama dengan Ketua Setiausaha KDN Dato’ Sri Mahmood Adam. Turut bersama dalam pertemuan itu juga adalah TKSU(K) iaitu Dato’ Ahmad Fuad Abdul Aziz dan juga Dato’ Zaiton pengarah baru bahagian penerbitan. Suara keadilan telah diberikan surat tunjuk sebab berhubung dengan tajuk Felda Bankrap dalam keluaran terbaru suara keadilan dan kami perlu menjawab surat tunjuk sebab itu dalam tempoh tujuh hari. Kami juga perlu menjawab tiga lagi surat tunjuk sebab yang telah dihantar lebih awal daripada itu berhubung dengan beberapa isu di keluaran yang lepas. Jadi saya perlu melihat apakah kandungan surat tersebut, isu dan kita perlu menjawab ketiga-tiga surat tunjuk sebab yang telah dihantar lebih awal itu pada menjelang pukul lima petang esok.”
“Sebab-sebab kami tidak menjawab surat-surat itu mungkin dari segi komunikasi kerana pejabat operasi Suara Keadilan ialah di Seksyen 13, Shah Alam. Surat tunjuk sebab tiga yang awal itu dihantar kepada Ibu Pejabat Parti iaitu di Merchant Square, Tropicana. Jadi mungkin ada masalah dari segi komunikasi. Saya perlu melihat surat itu dan kita akan patuh dan telah memberi jaminan kepada KDN untuk memberi sepenuh kerjasama kepada KDN dan kita akan menjawab kesemua surat itu pada tempoh yang telah diberikan.”
“Perlu diingatkan bahawa operasi Suara Keadilan di Shah Alam ialah di bawah pengurusan yang baru iaitu di bawah PKSB yang bermula dari Jun 2009. Jadi saya perlu merujuk fail-fail di ibu pejabat untuk melihat surat-surat tersebut. Kami akan menghantar surat itu secepat mungkin. Selain itu juga, Dato’ Sri Mahmood Adam mahukan kami menghantar surat tunjuk sebab yang terbaru pada 30 Jun ini kerana mereka pada masa yang sama sedang melihat dan mempertimbangkan permohonan kami untuk memperbaharui permit kami yang akan berakhir pada 30 Jun ini.”
“Itulah sebabnya mereka mahukan kami menjawab segera jika boleh. Jika tidak ianya tetap diberikan masa tujuh hari. Kita akan cuba untuk patuh. Kita juga telah menghantar permohonan pada tiga bulan yang lalu. Secara peribadinya saya akan menghantar surat-surat itu sendiri ke pejabat KSU. Tetapi saya telah memberitahu KSU bahawa saya memerlukan masa untuk mencari surat-surat berkenaan dan kami memerlukan masa untuk melihat kembali 3 artikel berkenaan. Tetapi, beliau tetap mendesak mahukan kami menjawab surat tersebut pada pukul 5 petang esok.”
“Beliau juga turut mengenengahkan tentang kami tidak memberi lapan salinan cetakan seperti yang ditetapkan dan kami telah berjanji untuk menghantar lapan salinan berkenaan kepada pejabat beliau. Dato’ Sri Mahmood juga telah memberitahu kenapa surat tunjuk sebab ini diberi. Kita menerima panggilan daripada pihak KDN pada hari Jumaat petang dan meminta kita dengan segera untuk menghadiri sesi minum petang. Tetapi pada ketika itu Suara Keadilan mengadakan mesyuarat perancangan editorialnya. Jadi tidak mungkin saya bergegas daripada Shah Alam ke Putrajaya, dan disebabkan kegagalan kita hadir pada sesi itu, maka KSU berkata, “Sepatutnya kita boleh selesai dengan cara baik tetapi sekarang ini sebab sudah lambat tidak dapat hadir jadi you miss the opportunity of the good will of KDN,” di mana saya rasa begitu aneh kerana sebab yang kita berikan itu adalah satu Administrative reason. Jika kita tidak adakan mesyuarat pada hari Jumaat itu maka keluaran terbaru Suara Keadilan ini mungkin tidak dapat diterbit.”
“Alasan ini seolah-olah tidak diterima dan sebab itu pada hari ini kita berjumpa terus diambil tindakan yang keras dengan mengeluarkan isu surat tunjuk sebab.”


















29 June 2010
KDN Sana Sini