web analytics

Kita Bawa Ke Parlimen

29 June 2010

KDN Sana Sini

Tindakan KDN memanggil dan meminta Suara Keadilan memberikan surat tunjuk sebab disifatkan sebagai suatu tindakan terbaru untuk menakutkan media.  Wakil parti Keadilan yang turut berada di sidang akhbar yang diberikan oleh saudara Zulkarnain Taib editor Suara Keadilan berkata tindakan meminta surat tunjuk sebab ini tentunya berkait dengan penyiaran artikel Felda Bankrap yang disiarkan di muka depan akhbar itu untuk tempoh edaran 22 Jun – 29 Jun 2010.

“Kita kemukakan (artikel Felda Bankrap) adalah isu yang berkaitan dengan fakta dan juga asas. Ada usaha daripada BN untuk menyaman,  kita persilakan. Tetapi menggunakan kaedah dengan cara menggugut, surat tunjuk sebab dan sebagainya, ini adalah merupakan satu tindakan pada saya mengekang kebebasan media,” kata wakil berkenaan.

Beliau juga memaklumkan akan mengemukakan satu laporan yang lengkap kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan harapan dapat dijadikan usul tergempar sementara sesi Parlimen masih lagi bersidang dan diwujudkan satu ‘parliamentary select committee’ bagi membincangkan kebebasan media ini.

“Kita melihat ianya seolah-olah semakin parah (kebebasan media)  ketakutan mereka (KDN) sehingga terpaksa menggunakan kaedah-kaedah seperti ini.  Saya khuatir kemungkinan ini adalah suatu usaha untuk membatalkan permit Suara Keadilan. Jadi kita akan menggunakan suara undang-undang dan juga suara politik untuk lawan isu ini agar akhbar ini akan terus menjadi medan mengenengahkan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat,” katanya.

KDN pada 28 Jun 2010 telah mengadakan pertemuan dengan editor Suara Keadilan berkait penyiaran sebuah artikel mereka bertajuk Felda Bankrap.  Pertemuan ini adalah panggilan kedua yang dibuat oleh KDN setelah editor berkenaan telah gagal hadir pada panggilan pertama yang dibuat pada 25 Jun 2010 yang lalu.

*Laporan oleh Team Berita ikdn.