web analytics

Kompleks Penjara Pokok Sena

16 June 2010

KDN Sana Sini

Kompleks Penjara Pokok Sena yang terletak kira-kira 24 km dari Bandaraya Alor Setar telah sempurna dirasmi oleh DYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah Al Sultan Al Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 13 Jun 2010 yang lalu.


Perasmian Penjara Pokok Sena ini adalah tepat pada waktunya selari dengan usaha Jabatan Penjara untuk meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Kewujudan Penjara Pokok Sena ini merupakan satu lagi manifestasi amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Kompleks ini menyediakan kemudahan yang lengkap untuk memastikan kelancaran sistem penghukuman dan pemulihan penghuni penjara di samping mengambil kira persekitaran kerja yang kondusif, efektif dan efisien untuk kepada warga Jabatan Penjara Malaysia.

Kewujudan kompleks penjara ini dijangka akan dapat mempertingkatkan lagi kecekapan perkhidmatan pemulihan dan koreksional di negeri ini khususnya dari aspek pengurusan, pentadbiran dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan program pemulihan dan rawatan kepada penghuninya.


Penjara Pokok Sena, dikategorikan sebagai penjara maksimum yang menempatkan pelbagai kategori banduan.  Dari sudut keselamatan penjara ini dilengkapi dengan teknologi yang canggih, menggunakan sistem keselamatan terkini iaitu Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu.  Ini menjadikannya sebagai antara penjara yang tercanggih di Asia Tenggara

Pembinaannya kompleks ini dilaksanakan di bawah konsep usahasama oleh Syarikat Isyoda dan KLK Kontrekbina Sendirian Berhad mulai pada 1 Ogos 1999 dan siap sepenuhnya pada 30 Mei 2003 dengan melibatkan kos hampir RM170 juta.  Kompleks penjara ini meliputi kawasan seluas 195 ekar manakala keluasan pembinaanya pula ialah 94 ekar.  Dari sudut kapasiti, penjara ini mampu menampung seramai 1,800 penghuni lelaki dan 200 penghuni wanita.

–team berita ikdn

,