Kesudian Malaysia menerima lawatan Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (Working Group on Arbitrary Detention, WGAD) mengenai Tahanan Arbitrari menjelaskan keterbukaan Malaysia untuk bersedia dinilai. Menteri Dalam Negeri Dato‘ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata demikian di sidang akhbar beliau yang diadakan di Bangunan Parlimen pada 7 Jun 2010.
Delegasi yang hadir diketuai oleh Mr. El Hadji Malick Sow bersama-sama tiga ahli iaitu Mr Roberto Garreton, Mr Miguel de la Lama dan Ms Claudia de la Fuente akan mengadakan lawatan ke seluruh penjara di negara ini selama 12 hari bermula 7 Jun sehingga 18 Jun ini.

Delegasi ini akan turut mengadakan lawatan ke pusat-pusat tahanan yang lain seperti depot imigresen dan pusat pemulihan dadah. Tidak terkecuali Pusat Tahanan Kamunting. Selain itu, mereka akan mengadakan lawatan ke Wad Psikiatrik bertujuan untuk menilai tahanan arbitrari yang berhadapan dengan masalah mental.
“Penerimaan lawatan ini menunjukkan keterbukaan Malaysia terhadap penilaian sistem dan prosedur tahanan arbitrari di negara ini dari aspek pematuhan terhadap hak asasi manusia selaras dengan amalan antarabangsa. Kita tidak mempunyai masalah untuk membenarkan mereka melawat ke penjara kita,“ katanya.
Kumpulan kerja ini telah diberikan mandat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB yang berpusat di Geneva, Switzerland untuk melihat sistem dan prosedur aspek pematuhan hak asasi manusia ke atas tahanan tanpa bicara. Bahkan beliau menyifatkan kunjungan dan pemerhatian pasukan PBB ini adalah tepat pada masanya dengan niat Kerajaan Malaysia untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

“Input dari mereka dapat membantu kita untuk menambahbaik akta-akta lain seperti Ordinan Darurat 1969, Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985, Akta Buang Negeri 1959, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Polis 1967. Ia dapat dipinda secara pakej,“ katanya.
Beliau menambah lawatan WGAD ini selaras dengan pendirian Kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan secara positif permintaan mana-mana Special Procedures untuk membuat lawatan kerja ke negara ini.
“Lawatan ini akan dimulakan dengan taklimat mengenai undang-undang pencegahan yang meliputi Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan beberapa akata pencegahan yang lain agar mereka mendapat gambaran secara menyeluruh mengenai pelaksanaan undang-undang pencegahan di negara ini,“ katanya.
Hak asasi di Malaysia sering kali menimbulkan perdebatan hangat dengan pelaksanaan beberapa undang-undang pencegahan seperti ISA. Malaysia baru-baru ini telah dilantik semula sebagai negara ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB bagi tempoh tiga tahun (2010 – 2013)
Turut hadir menyambut kunjungan ini ialah YB (Dato’) Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baru menggantikan Tuan Jelaing Anak Mersat.
–team berita ikdn


















8 June 2010
KDN Sana Sini