web analytics

Menjadikan Penjara Institusi Koreksional Bertaraf Dunia

16 June 2010

KDN Sana Sini

Visi Jabatan Penjara adalah untuk menjadi sebuah institusi koreksional bertaraf dunia menjelang tahun 2020. Manakala outcome Jabatan Penjara ialah untuk memastikan banduan yang dibebaskan itu telah benar-benar insaf, pulih, berkemahiran, dapat berdikari dan tidak kembali melakukan kesalahan. Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien berkata demikian di ucapan Majlis Perasmian Kompleks Penjara Pokok Sena yang telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah Al Sultan AlMu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 13 Jun 2010 yang lalu.

“Sasaran Jabatan Penjara adalah untuk memastikan jumlah residivis atau banduan yang berulang kali masuk ke penjara, tidak melebihi 17% dari jumlah kemasukan setahun,” katanya yang turut memberi penghargaan kepada Jabatan Penjara kerana berjaya mengekalkan kadar residivis di bawah paras 17 peratus (16.8 %).

Beliau turut menambah beberapa pendekatan baru dan penambahbaikan diperkenalkan oleh Jabatan Penjara secara pro-aktif sebagai langkah kepada penyelesaian koreksional yang lebih holistik. Misalnya, di bawah NKRA Mengurangkan Kadar Jenayah, Jabatan Penjara Malaysia telah diminta untuk melaksanakan Penilaian Semula dan juga Penambahbaikan Program Pemulihan di penjara.

“Antara langkah penting yang telah dimulakan ialah dengan menambah baik program pengasingan banduan dan mengasingkan mereka mengikut umur, selepas pengasingan mengikut tahap dan jenis kesalahan,” katanya.   Begitu juga dengan pengkategorian semula penjara-penjara. Misalnya, Zon Tengah diletakkan sebagai ‘pilot project’ di mana ianya melibatkan Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang, Penjara Sungai Buloh, Penjara Seremban dan juga IPD Jelebu. Penjara Sungai Buloh pula dikategorikan semula bagi banduan reman dan penempatan sebahagian banduan sabitan kategori jenayah kolar putih atau ‘white collar crime’.

“Manakala penempatan banduan sabitan yang terlibat dengan kesalahan dadah ditempatkan di Penjara Seremban, khusus bagi kategori kemasukan 3 kali ke atas atau tegar.  Bagi meningkatkan keberkesanan program pemulihan dan pada waktu yang sama mengatasi kesesakan penjara, Jabatan Penjara sedang dan akan melaksanakan beberapa pendekatan seperti Sistem Parol, Program Pemasyarakatan, Rumah Perantaraan (Half Way House) dan Pusat Kehadiran Wajib (Compulsary Attendance Center),” katanya.

Menurut Dato’ Seri Hishamuddin lagi, matlamatnya adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada tahanan sebelum mereka dibebaskan untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada mereka untuk berkhidmat dan bekerja dengan masyarakat di samping memupuk nilai dan sikap yang baik terhadap tahanan, agar mereka dapat membiasakan diri melakukan kerja yang berfaedah di luar penjara. Dan akhirnya ini akan membantu mengurangan kes perlakuan jenayah yang berulang.

“Situasi di peringkat antarabangsa termasuk di negara ini pada ketika ini adalah cabaran dalam melaksanakan sistem keadilan dan hukuman berikutan pertambahan bilangan kes-kes yang disabitkan. Keadaan ini membawa kepada  kesesakan di dalam penjara-penjara dan sekaligus memberi kesan terhadap keberkesanan program pemulihan. Ini mengakibatkan banduan sering terperangkap dalam `vicious circle’, dan kembali melalukan jenayah seterusnya menghuni semula tempat-tempat ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, keadaan ini membawa kesan dan bebanan besar terhadap perbelanjaan negara, bukan sahaja dari segi infrastruktur tambahan dan pegawai penjara, tetapi melibatkan makanan dan juga soal penjagaan kesihatan penghuni penjara. Di Malaysia, daripada 31 buah penjara, sembilan dikenal pasti sebagai penjara yang sesak. Kos utiliti seorang penghuni penjara secara purata adalah pada kadar RM 35 seorang dan kos tanggungan makanan adalah kira-kira RM 55.5 juta setahun.

–team berita ikdn

,