web analytics

Pameran dan Jualan Bahan Bacaan KDN 2010

8 June 2010

KDN Sana Sini

Pengurusan Perpustakaan KDN telah menjalankan satu aktiviti menarik dengan menganjurkan pameran dan jualan bahan bacaan 2010.  Bertempat di Dewan Gemilang, program itu telah menarik perhatian warga KDN yang ulat buku.  Aktiviti yang diadakan selama dua hari ini pada 25 Mei dan 26 Jun 2010 adalah salah satu usaha untuk memupuk sikap suka membaca.

Selalunya perpustakaan digambarkan sebagai sebuah tempat menyimpan buku-buku dan bahan bacaan.  Justeru ia dilihat tidak menonjol dan menerima kunjungan yang sedikit.  Usaha mengadakan pameran dan jualan bahan bacaan adalah salah satu alternatif pengurusan perpustakaan KDN agar persepsi kepada peranan perpustakaan diubah.


Tidak lain dan tidak bukan idea penganjuran program ini datang dari KSU KDN Dato’ Sri Mahmood b. Adam.  Saranan ini selaras dengan strategi Dasar Negara bagi Perpustakaan dan Perkhidmatan iaitu untuk menanam dan menggalakkan minat membaca. Ia juga sebagai sokongan kepada matlamat Wawasan 2020 iaitu untuk melahirkan masyarakat yang kaya ilmu dan bermaklumat berasaskan budaya sains dan teknologi.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah dijemput untuk menyertai program bagi memberi peluang kepada warga KDN mendaftar sebagai ahli PNM dan mendapatkan maklumbalas mengenai perkhidmatan yang disediakan di PNM. Program Pameran dan Jualan Bahan Bacaan merupakan julung kali di KDN. Program Pameran dan Jualan Bahan Bacaan memberi peluang kepada kumpulan sasaran untuk membeli bahan bacaan pada harga yang istimewa.

Program turut disertai oleh syarikat pembekal dan penerbit termasuklah Alaf 21, Ashe Enterprise, Berita Publishing, Creative Enterprise, Dewan Bahasa & Pustaka, Golden Books, INTAN, Karangkraf, MDC Publishers, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Rentak Inovatif Sdn. Bhd, Saba Islamic Media, Utusan Publication & Distributors.  Tidak terkecuali Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks Al-Quran.


Jenis buku yang dijual pada program pameran & jualan bahan bacaan tersebut adalah buku pengetahuan am, peperiksaan, kamus, akta, majalah, jurnal, dan sebagainya. Program merangkumi proses pameran dan jualan oleh pihak pembekal dan penerbit kepada pengunjung yang hadir. Matlamat yang hendak dicapai termasuklah mendapatkan senarai bahan bacaan terkini  dan cadangan dari individu yang hadir ke program ini.

– team berita ikdn

,