Kata KSU KDN, Dato’ Sri Mahmood b. Adam suara yang bersatu lebih besar impaknya dari suara yang merata-rata. Suara yang bersatu lebih cepat didengari dan lebih mudah menarik perhatian. Beliau berkata demikian kepada lebih dari 200 pencetak dan penerbit syarikat-syarikat penerbitan yang berdaftar di Sabah. Pertemuan yang merupakan julung kalinya itu telah diadakan pada 12 Jun 2010 di Kota Kinabalu.

KSU KDN itu berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk datang sebegini jauh semata-mata untuk mendengar masalah tetapi suara yang tidak bersatu menyukarkan beliau untuk mengambil tindakan secara bersepadu. Di pertemuan itu beberapa hadirin telah mengambil peluang untuk mengemukakan masalah mereka. Antara isu yang dibangkitkan ialah permit cetakan yang diperbaharui secara tahunan dilihat sudah tidak praktikal lagi. Mereka memohon agar pembaharuan permit dibuat 5 tahun sekali.

Antara isu lain yang dibangkitkan juga ialah mengapa pejabat-pejabat kerajaan tidak menggunakan syarikat-syarikat cetakan yang ada di sekitar Kota Kinabalu. Sebaliknya mereka lebih suka menghantar dokumen-dokumen yang ingin dicetak ke Kuala Lumpur.
Untuk soalan pembaharuan permit, Dato’ Sri Mahmood bersetuju dengan pendapat mereka bahawa pembaharuan permit tidak sewajarnya terikat dengan pembaharuan secara tahunan. Justeru beliau telah memberi persetujuan agar permit syarikat cetakan dibolehkan dibuat 5 tahun sekali. Bagaimanapun jika sekiranya didapati syarikat-syarikat tidak mematuhi arahan dan peraturan sepatutnya maka ia tidak menjadil halangan kepada Kerajaan untuk bertindak pada bila-bila masa sahaja.

Berkenaan dengan cetakan dokumen yang masih dihantar ke Kuala Lumpur, KSU KDN berpandangan bahawa tidak ada pilih kasih antara pencetak di Sabah dengan pencetak di Semenanjung. Hal ini terjadi mungkin kerana kecanggihan peralatan cetakan lebih berada di Semenanjung. Justeru pencetak dan penerbit di negeri itu disarankan untuk mempertimbangkan menggunakan peralatan cetakan yang baru tetapi efektif kos.
–team berita ikdn


















20 June 2010
KDN Sana Sini