SIKAP PERKAUMAN ITU PENTING TETAPI PERBEZAAN KAUM BUKAN HALANGAN UNTUK PERHUBUNGAN YANG HARMONIS. ”SAYA BELAJAR TULISAN JAWI DAN SAYA JUGA BELAJAR SOLAT. BAHKAN SEHINGGA KE HARI INI SAYA MENGAMBIL NOTA DALAM TULISAN JAWI.” TEMUBUAL SINGKAT BERSAMA SETIAUSAHA BAHAGIAN, BAHAGIAN KAWALAN FILEM, KEMENTERIAN DALAM NEGERI, ENCIK TANASENGRAN A/L SINNATHAMBI (SUB KF) BANYAK MENDEDAHKAN SISI MENARIK TENTANG DIRI BELIAU YANG MERUPAKAN BUKAN MELAYU PERTAMA DILANTIK SEBAGAI SETIAUSAHA BAHAGIAN DI BAHAGIAN KAWALAN FILEM, KEMENTERIAN DALAM NEGERI.
S1: SILA TUAN BERKONGSI MAKLUMAT UMUM TENTANG DIRI TUAN.
SUB KF: Saya memiliki Sarjana Muda Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada tahun 1979, saya telah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan di Amerika Syarikat (US) pada tahun 1997. Saya telah dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dengan jawatan Penolong Setiausaha Bahagian Perancang dan Pembangunan di Kementerian Kesihatan. Setelah setahun menjawat jawatan tersebut, saya ditempatkan di Cawangan Belanjawan, Bahagian Kewangan di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kemudian pada tahun 1988, saya selaku Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pentadbiran dan Perhubungan Awam ‘A’, Bahagian Pentadbiran dan Perhubungan Awam, Kementerian Pertahanan Awam memangku PTD Tingkatan Kanan. Pada tahun 1990, saya menjadi Ketua Penolong Setiausaha, Cawangan Naziran Perjawatan, di Bahagian Perjawatan dan Perkhidmatan, Kementerian Pertahanan. Pada tahun yang sama juga, saya dipindahkan ke Bahagian Perkhidmatan dan Perjawatan, Kementerian Penerangan juga sebagai Ketua Penolong Setiausaha.
Selepas dua tahun berkhidmat, saya telah ditukarkan ke cawangan Perjawatan Latihan dan Peperiksaan, Bahagian Perkhidmatan dan Perjawatan di Kementerian Penerangan memangku PTD Gred M2. Selepas 6 tahun, saya dinaikkan pangkat ke PTD Gred M2. Pada tahun 1998, saya ditempatkan di Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri sebagai Pengarah Pengurusan. Pada tahun 2007, saya memegang jawtaan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) dan akhirnya pada bulan Februari 2010, saya telah menjadi Setiausaha Bahagian (SUB) Kawalan Filem (KF) di Kementerian Dalam Negeri. Begitulah latar kerjaya saya sepanjang bergelar kakitangan awam.
S2: JIKA TIDAK SEBAGAI PENJAWAT AWAM, APAKAH CITA-CITA LAIN TUAN?
SUB KF: Kalau tidak….banyak. Sebelum menjadi Pengawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ini, dahulunya mahu menjadi seorang doktor, tetapi tidak jadi kerana tidak ada jurusan ”science stream” di kampung. Kemudian saya mengambil kursus di Institusi Bahasa, Kebudayaan, dan Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Selepas itu niat mahu menjadi seorang pensyarah, tetapi disebabkan masalah kewangan saya tidak dapat menyambung sehingga ke peringkat Master dan PHD. Saya bekerja sementara sebelum memohon untuk menjadi PTD dan sehingga kini saya merupakan seorang PTD.
S3: APAKAH PENDAPAT TUAN DENGAN PANDANGAN BUKAN MELAYU YANG DIKATAKAN KURANG BERMINAT UNTUK MENJAWAT JAWATAN DALAM SEKTOR AWAM?
SUB KF: Hendak kata mereka tidak berminat untuk bekerja di sektor awam, tidak juga. Tetapi mungkin dari segi asalnya, dari segi gaji dan sejarah sejak dari dulu atau mungkin mereka ini tidak didedahkan tentang cara bagaimana untuk memohon kerja di sektor awam. Mungkin juga cara penyampaian dari pihak kerajaan yang tidak jelas tentang bagaimana hendak memohon kerja di sektor awam. Latar belakang seseorang itu juga, memainkan peranan. Seperti mana yang kita tahu, dahulu kaum India di tempatkan di estet-estet sebagai pekerja buruh, kaum Cina di pekan-pekan sebagai peniaga dan kaum Melayu di kampung-kampung sebagai pekerja awam. Ini telah menjadi satu kebiasaan dan membentuk keperibadian dan minat mereka.

Tapi sekarang semua itu sudah tidak praktikal lagi untuk dijadikan pegangan. Pendidikan juga dikesan memainkan peranan dalam membentuk keperibadian seseorang di mana dahulu ada pelbagai aliran di sekolah. Sekolah aliran Cina, aliran Tamil dan aliran Melayu. Jadi terdapat ketidaksamaan dalam pemikiran dan pendedahan yang diterapkan dalam pendidikan tetapi sekarang semuanya sudah selari. Walaupun masih lagi terdapat aliran Cina dan India, tetapi sudah ramai bukan Melayu yang bersekolah di sekolah kebangsaan dan pendedahan yang baik telah diberikan. Maklumat tentang peluang pekerjaan tidak sampai secara meluas dan ketakutan dengan kegagalan dalam menjawat jawatan di sektor awam memungkinkan mereka tidak mahu memohon. Sedangkan sekarang sudah tidak ada lagi perbandingan antara kaum untuk menjawat jawatan di sektor awam.
S4: TUAN ADALAH BUKAN MELAYU YANG PERTAMA DILANTIK SEBAGAI SETIAUSAHA BAHAGIAN KAWALAN FILEM. APAKAH PERASAAN TUAN DENGAN PELANTIKAN INI?
SUB KF: Saya tidak rasa apa-apa pun. Bagi saya, kita ini berkhidmat untuk kerajaan. Semuanya sama sahaja. Kita bekerja untuk masyarakat. Saya tidak pernah merasa saya ini bukan Melayu. Saya mempunyai kefahaman dari kecil lagi bahawa kita ini sama sahaja. Dari kecil saya tinggal di kampung, dikelilingi oleh perkampungan orang Melayu dan kami semua belajar di sekolah kebangsaan. Saya rapat dengan semua orang Melayu di kawasan saya dan saya diajar cara hidup orang Melayu dan saya belajar tulisan jawi dan belajar solat. Bahkan sehingga ke hari ini saya mengambil nota dalam tulisan jawi. Kami memang rapat. Kami masih rapat bagai sebuah keluarga. Saya tidak pernah rasa yang saya bukan Melayu.
Seperti di Agensi Anti Dadah Kebangsaan, kami bekerja bertungkus lumus secara bersama. Saya tidak pernah dianggap bukan Melayu dan kami bekerja seperti kami bersaudara. Perkara sama juga berlaku ketika saya di Kementerian Pertahanan. Latar belakang kehidupan kita, pendidikan yang kita dapat dan pendekatan keharmonian bermasyarakat yang menentukan apa yang kita akan jadi nanti satu hari kelak. Macam di Kedah dan Kelantan, susah untuk kita kenal pasti sama ada mereka Melayu atau bukan Melayu kerana mereka menggunakan bahasa yang sama dengan slanga yang sama, hidup dalam satu rumpun tanpa mengira bangsa dan saling bantu membantu.
Apa yang penting, pertamanya kita kena fikirkan tentang sifat kekitaan, disusuli dengan keagamaan dan bangsa. Sifat perkauman memang sangat penting, itu saya tidak nafikan. Tetapi pendekatan yang diambil dan digunapakai untuk mereliasasikannya itu menjadi penanda aras yang akan menentukan sama ada kita ini mampu untuk hidup dalam negara yang berbilang bangsa dan agama sebagai satu Malaysia. Kepercayaan pada agama akan membentuk satu bangsa yang berpegang kuat dengan pegangannya dan membentuk satu masyarakat yang utuh. Saya tidak kisah pandangan orang pada saya asalkan saya tahu apa yang saya buat. Rezeki adalah pemberian Tuhan, saya takkan salahkan orang lain sekiranya saya tidak mendapat apa yang sepatutnya memang ditakdirkan bukan rezeki saya. Orang lain juga sepatutnya begitu. Saya dididik sebegitu sejak dari kecil.

Saya tidak pernah melihat perbezaan kaum menghalang perhubungan. Percakapan dan penggunaan bahasa juga penting. Itu antara perkara yang perlu kita fokus dalam membina bangsa yang harmoni. Penggunaan Bahasa Melayu tanpa menggunakan bahasa rojak akan mencetuskan satu perasaan yang kuat memupuk persefahaman dan toleransi yang lebih baik.
S5: BOLEH TUAN BERKONGSI DENGAN KAMI, APAKAH YANG AKAN TUAN LAKSANAKAN DEMI MEMPERTINGKATKAN LAGI SUMBANGAN/PERANAN BAHAGIAN KAWALAN FILEM, KEMENTERIAN DALAM NEGERI?
SUB KF: Bahagian kawalan filem ini seperti namanya merupakan satu bahagian yang melaksanakan kawalan filem sama ada filem yang diproduksikan di sini atau yang diimport berdasarkan akta yang telah termaktub seperti Akta Penapisan Filem 2002. Dalam akta itu sudah tersenarai apa yang perlu kita lakukan. Kita telah ada Lembaga Penapisan Filem dan penguatkuasaan. Akta telah diwujudkan jadi ianya memerlukan penguatkuasaan. Lembaga ini menguatkuasakan akta yang telah termaktub dengan cara membuat penapisan dan penguatkuasaan dilakukan dengan cara memeriksa sama ada apa yang telah ditapis itu dilaksanakan atau sebaliknya.
Sambil itu kita juga ada ‘Research and Development’ yang kita lakukan kerana setiap apa yang kita buat ini memerlukan satu bukti kukuh dan keberkesanan perlaksanaannya. Tujuan mengadakan akta penapisan ini adalah untuk mengawal benda-benda yang dilarang dan benda-benda yang tidak patut rakyat Malaysia tontoni yang mampu mencetuskan suasana porak peranda dan mengancam keselamatan negara dan sosial. Kita hidup dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan penapisan filem ini perlu lebih diberikan keutamaan. Sebab itu Bahagian Kawalan Filem ini diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri kerana ianya dilihat mampu menggugat keharmonian masyarakat dan seterusnya mampu menggugat keselamatan negara.
S6: APAKAH HALANGAN YANG TUAN RASAKAN PERLU DIBERIKAN PERHATIAN AGAR BAHAGIAN KAWALAN FILEM MENJADI SATU ENTITI YANG BERKESAN?
SUB KF: Bahagian Kawalan Filem ini perlu meluaskan skop perkhidmatannya kerana sekarang kita hanya merupakan sebuah Lembaga Penapisan Filem. Penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dan yang paling penting saya rasa adalah pendidikan tentang betapa anasir-anasir buruk ini mampu mencetuskan huru-hara dan akhirnya menggugat keselamatan negara. Kita perlu memperkasakan penguatkuasaan kita. Dan pendidikan tentang jenayah dan keselamatan perlu dipertingkatkan kerana jika hanya bergantung harap kepada penguatkuasaan semata-mata, ianya adalah terhad kerana kekurangan kakitangan untuk melaksanakan serbuan.

Kita memerlukan satu tindakan bersama dengan kementerian-kementerian lain seperti kerjasama yang pernah kita lakukan bersama-sama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Masyarakat sendiri terlibat dalam tindakan-tindakan penguatkuasaan undang-undang tetapi kesedaran sendiri pengguna dengan mengatakan tidak kepada cetak rompak lebih berkesan dan memberikan impak yang lebih daripada penguatkuasaan yang berterusan. Macam filem, kita boleh memuat turun sebarang filem dari internet tanpa kawalan, situasi ini amat membimbangkan.
Tetapi ia boleh dikawal jika ibu bapa memainkan peranan dalam membantu mengatasi masalah ini. Mereka perlu dididik kerana tahap pendidikan masyarakat kita masih lagi di tahap yang rendah jika dibandingkan dengan negara Amerika Syarikat sebagai contoh, walaupun ianya sebuah negara yang mengamalkan sikap terbuka, tetapi masih ada kawalan dari ibu bapa sehingga anak-anak mereka mencapai satu tahap umur yang membenarkan mereka untuk membuat pilihan hidup mereka sendiri. Tetapi jika belum sampai tahap umur itu, ibu bapa sentiasa memainkan peranan dalam mengawal aktiviti dan mengawal apa yang dilihat oleh anak-anak mereka.

Pendidikan dan penglibatan masyarakat sangat penting dalam usaha untuk menangani masalah ini. Kita juga ada memanggil persatuan-persatuan, pengarah-pengarah filem, penerbit-penerbit filem yang bersama-sama memberi input dan idea untuk mengeluarkan satu garis panduan baru yang menetapkan tahap apa yang boleh dan apa tidak boleh mereka lakukan untuk menghasilkan sesuatu filem. Ini telah mendapat sambutan yang luar biasa kerana mereka sendiri telah memberikan kerjasama dan idea semasa penetapan garis panduan baru ini. Pemilihan Ahli Lembaga Penapisan Filem juga adalah daripada golongan orang-orang yang mempunyai pengalaman yang besar dalam industri perfileman bagi memastikan maksud dan impian kerajaan untuk mewujudkan satu masyarakat yang harmoni dapat dicapai.
S7: SESETENGAH PENGGIAT INDUSTRI PERFILEMAN MEMPERSOALKAN TENTANG ‘PANTANG LARANG’ TERTENTU YANG DIKELUARKAN OLEH KERAJAAN DENGAN MENGATAKAN PERATURAN TERTENTU AKAN MENYEKAT KREATIVITI KARYA SENI MEREKA.APA PENDAPAT TUAN MENGENAI KENYATAAN INI?
SUB KF: Seperti apa yang telah saya jawab pada soalan sebelum ini, kita perlu mengambil kira tentang kreativiti pengarah-pengarah di Malaysia. Sebab itu kita mengeluarkan satu garis panduan baru dan memanggil mereka yang terlibat dalam industri ini untuk bersama-sama menyumbang idea dalam menentukan garis panduan baru itu. Setelah berbincang sebanyak empat kali bersama dengan golongan karyawan, akhirnya garis panduan itu telah dikeluarkan.

Hasilnya garis panduan yang telah digunapakai sejak Mac 2010 yang lalu kita dapati tidak menerima banyak bantahan kerana penggiat industri turut sama menyumbangkan idea bersama-sama untuk mengeluarkan garis panduan tersebut. Kreativiti yang dimaksudkan ialah bagaimana mereka menyampaikan maksud dan tujuan sebenar mereka melalui filem tanpa membabitkan adegan-adegan yang mampu mencetuskan kekecohan. Seperti contoh, filem yang dihasilkan oleh Tan Sri P.Ramlee. Walaupun filem itu dihasilkan lama dahulu, filem itu tetap ditonton oleh anak-anak kecil di zaman sekarang dan saya sendiri pun walaupun sudah banyak kali menonton filem yang dihasilkan oleh beliau, masih lagi tertawa melihat lawak jenaka dan jalan cerita yang ingin disampaikan. Itulah yang dinamakan kreativiti.
S8: DILANTIK SEBAGAI SETIAUSAHA BAHAGIAN UNTUK BAHAGIAN KAWALAN FILEM YANG MENJAGA ‘URUSAN FILEM’ MEMERLUKAN SESEORANG YANG TAHU DAN PAKAR DALAM HAL EHWAL INDUSTRI PERFILEMAN. TUAN TENTUNYA BUKAN SEMBARANG ORANG DAN SUDAH PASTINYA TUAN SEORANG YANG ISTIMEWA.
SUB KF: Ini bukan istimewa atau tidak istimewa, kita sebagai penjawat awam perlu belajar dan terus belajar. Kemana pun kita ditukarkan satu hari nanti, kita perlu belajar kerana setiap hari, pasti akan ada benda baru yang kita perlu pelajari. Mana-mana pun kita pergi, pastinya perkara yang sama akan berulang. Semasa saya di Kementerian Kesihatan pun begitu, nak menyediakan bajet, perlu tahu semua benda pasal ubat-ubatan, peralatan pembedahan dan macam-macam lagi. Di Kementerian Pertahanan juga sama. I’ve to learn tentang tugas-tugas mereka bagi mewujudkan penjawatan baru dan kesesuaian berdasarkan keperluan. Tanggungjawab yang dipikul sentiasa memaksa saya memberikan yang terbaik agar apa yang dipertanggungjawabkan pada saya dapat dilaksanakan. Saya ini tiada keistimewaan, tetapi kita kena faham dengan siapa kita bekerja dan apa yang mereka mahukan untuk memberikan output yang terbaik dan pastikan ianya tidak melanggar undang-undang negara.
–team berita ikdn


















16 June 2010
KDN Sana Sini