web analytics

Tiada Siapa Yang Terkecuali – KDN

30 June 2010

KDN Sana Sini

Bahagian Penerbitan dan Teks Al Quran Kementerian Dalam Negeri telah membuat sidang akhbar pada 30 Jun 2010 dengan memberi notis pendek berikutan KDN telah dihubungi oleh beberapa pihak akhbar yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut status mengenai surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh bahagian itu kepada akhbar Suara Keadilan.

Setiausaha Bahagiannya Dato’ Zaitun Ab Samad berkata KDN telah menerima jawapan kepada Surat Tunjuk Sebab bertarikh 28 Jun 2010 yang telah dikemukakan kepada Suara Keadilan dan Kementerian sedang meneliti jawapan yang diberikan.

“Mengenai status permit Suara Keadilan yang akan tamat pada hari ini, Kementerian akan memprosesnya.  Setiap permohonan permit penerbitan akan diproses, dibentang dan diteliti di dalam Mesyuarat Panel 13 yang bersidang dua kali seminggu dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Menurut beliau Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) dan SUB Bahagian Penerbitan dan Teks Al- Quran adalah merupakan ahli kepada jawatankuasa tersebut. Setiap permohonan untuk mendapatkan permit, untuk pembaharuan permit dan sebagainya kita bincang di dalam Mesyuarat Panel 13. Setelah diteliti barulah  diangkat untuk pertimbangan dan keputusan Menteri Dalam Negeri.

“Di dalam mengendalikan permit, Kementerian membahagikan akhbar kepada tiga kategori iaitu akhbar harian/ mingguan, tabloid dan surat berita parti politik. Suara Keadilan adalah termasuk di dalam kategori surat berita parti politik.  Kementerian mengamalkan dasar sama rata dan saksama bagi semua jenis dan bentuk penerbitan. Peruntukan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, syarat-syarat penerbitan serta garis panduan yang dikeluarkan adalah berkuatkuasa bagi semua jenis penerbitan samada akhbar, tabloid atau surat berita parti politik,” katanya.

Beliau menambah perbezaan bagi surat berita parti politik, tambahan syarat dikenakan iaitu mestilah diedarkan di kalangan ahli parti sahaja dan pengedarannya adalah terhad di Pejabat Pengarah Urusan atau markas parti sahaja.

“Seperti yang telah dikeluarkan di dalam kenyataan semalam, tindakan diambil terhadap semua akhbar, tabloid atau surat berita parti politik yang telah melanggari syarat, garis panduan atau akta. Jadi, kita tidak menjurus kepada Suara Keadilan sahaja. Dari tahun 2009 sehingga Mei 2010, sebanyak 53 teguran telah dikeluarkan kepada akhbar, sembilan teguran kepada tabloid manakala enam teguran kepada surat berita parti politik. Ini adalah sebahagian daripada proses yang kita buat,” katanya.

Menurutnya lagi KDN mengambil berat berkenaan dengan ketidakpatuhan kepada garis panduan media.  Mana-mana penerbitan yang dirasakan telah melanggari syarat, sudah pasti akan mendedahkan diri mereka kepada tindakan.  KDN akan mengambil tindakan waima akhbar, tabloid atau surat berita parti politik, tidak ada yang terkecuali.

–team berita ikdn