KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
19 JULAI 2010
SURAT BERITA “THE ROCKET” JUMPA KDN

1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil pihak penerbitan ”The Rocket” pada 19 Julai 2010 jam 7.00 malam untuk bersua dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Dato’ Sri Mahmood b. Adam. Ia bertujuan untuk memohon keterangan dan penjelasan surat berita berkenaan berkait Surat-Surat Tunjuk Sebab yang telah dikeluarkan oleh KDN pada 13 Julai 2010.
2. Perjumpaan telah diadakan di pejabat Ketua Setiausaha KDN. Pihak penerbitan ”The Rocket” diwakili oleh Setiausaha DAP, Y.B. Teresa Kok; Ketua Pengarang ”The Rocket”, Y.B. Tony Pua dan Cik Wong May Ing.
3. Di dalam perjumpaan ini, pihak penerbitan ”The Rocket” telah dimaklumkan mengenai pelanggaran-pelanggaran syarat serta ketidakpatuhan yang telah dilakukan. Di antaranya ialah menerbitkan surat-surat berita ”The Rocket” dalam versi-versi Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris walaupun permit kedua-duanya telah tamat tempoh sahlaku, lewat mengemukakan permohonan pembaharuan yang lengkap serta gagal mengemukakan lapan salinan penerbitan sebaik sahaja ianya dicetak.
4. Pihak penerbitan ”The Rocket” berjanji akan mengemukakan jawapan dan penjelasan kepada Surat Tunjuk Sebab Kementerian serta ketidakpatuhan tersebut dalam tempoh 48 jam.
5. Perjumpaan ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Penasihat Undang-Undang dan pegawai-pegawai dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN.
DATO’ ABDUL RAHIM BIN MOHD. RADZI
TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
19 Julai 2010 (8.50 malam)


















19 July 2010
KDN Sana Sini