Ruj. Kami:
JPN.PT:163/2/3/1 Klt.18 (40)
Ruj. Tuan :
Tarikh : 29 Julai 2010
SEGERA MELALUI FAKS
Ketua Pengarang,
Utusan Malaysia
Tuan,
Maklumbalas Akhbar Utusan Malaysia Ruangan Forum oleh Mot Koboi Bertarikh 27 Julai 2010, Selasa – M.S.12
Dengan segala hormatnya, saya diarah merujuk kepada aduan mengenai perkara di atas.
2. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ingin memaklumkan bahawa bagi pemilik Mykad yang menghadapi masalah kerosakan cip atau cip Mykad tidak boleh dibaca boleh memohon untuk mendapatkan gantian Mykad di mana – mana cawangan yang berhampiran dengan tempat tinggal masing masing dengan bayaran proses sebanyak RM10.00.
3. Jabatan ini menyedari bahawa terdapat Mykad yang rosak dari aspek fizikal kad dan juga cip. Usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti dan ketahanan Mykad sentiasa dilaksanakan dengan kerjasama agensi lain seperti SIRIM dalam usaha untuk menjalankan ujian kualiti dan ketahanan Mykad. Ini bagi memastikan kad memenuhi spesifikasi antarabangsa sebagaimana yang digariskan oleh ISO. Mulai tahun 2009 JPN telah menggunakan PC atau “Polycarbonate” sepenuhnya untuk bahan Mykad yang lebih tahan berbanding bahan sebelum ini iaitu PVC + PC atau “Polyvinylcarbonate + Polycarbonate”.
4. Untuk makluman orang ramai Mykad memerlukan penjagaan rapi yang menjamin jangka hayat kad yang maksimum. Cip perlu diberi perhatian khusus dan dilindungi dari faktor – faktor yang boleh menyebabkan kerosakan supaya Mykad dapat digunakan tanpa sebarang masalah. Antara tip – tip bagi penjagaan Mykad yang betul adalah :
a) Elakkan Mykad daripada terdedah kepada suhu yang terlampau tinggi,
b) Elakkan daripada aktiviti yang boleh merosakkan cip,
c) Elakkan Mykad daripada terdedah kepada air, bahan kimia dan asid yang boleh menjejaskan ketahanan Mykad,
d) Elakkan daripada merosakkan permukaan Mykad,
e) Elakkan daripada risiko yang boleh mengakibatkan kad bengkok.
5. Walaubagaimanapun, Jabatan ini kesal dengan masalah yang Mot Koboi hadapi disebabkan oleh masalah cip Mykad yang rosak. Jabatan ini akan sentiasa berusaha untuk memastikan kualiti Mykad berada di tahap yang memuaskan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai sentiasa terjamin.
Sekian,terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menurut perintah,
(JAINISAH BINTI MOHD NOOR)
Pegawai Perhubungan Awam,
b.p Ketua Pengarah,
Jabatan Pendaftaran Negara,
Malaysia.
: 03-88807077
: 03-88808288
: pro@jpn.gov.my
s.k.: 1. Y. Bhg. Dato’ KPPN
2. Y. Brs. Tuan TKPPN (P)
3. Y. Brs. Tuan TKPPN (O)


















29 July 2010
Surat Kepada Pengarang