web analytics

Balai League Table Dilancarkan

14 July 2010

KDN Sana Sini

Ketibaan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri mendapat tepukan gemuruh lebih dari 3 ribu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir memeriahkan Majlis Pelancaran dan Anugerah jadual Liga Balai (Balai League Table).

“Bila saya masuk ke dewan, saya dapat rasa semangat warga PDRM. Hari ini saya dapat lihat sendiri semangat iltizam warga PDRM di peringkat balai dari seluruh negara yang sentiasa bersedia berkorban jiwa raga demi memastikan rakyat dan negara terus berada dalam keadaan selamat dan terpelihara”, katanya.

Program Balai League Table bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada anggota dan pegawai PDRM yang menunjukkan prestasi dan pencapaian cemerlang dalam tugasan masing-masing. Tujuan yang lain ialah untuk menilai prestasi balai-balai polis dalam keberkesanan membanteras jenayah dan penyampaian perkhidmatan kepada orang awam seperti mana yang disasarkan di bawah NKRA mengurangkan jenayah.

Melalui program ini, setiap balai polis di seluruh negara akan digred serta dinilai di bawah satu sistem, bagi mengukur tahap prestasi dan pencapaian perkhidmatan yang diberikan kepada setiap anggota masyarakat. Balai-balai polis yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diberikan penghargaan dan pengiktirafan manakala anggota serta pegawainya akan diberikan insentif.

“Hadiah dalam bentuk wang akan diberikan kepada setiap anggota dan pegawai yang bertugas di balai-balai yang berjaya”, katanya lagi.

Juara bagi Kategori A berjaya dirangkul oleh Balai Polis Puchong Jaya, Selangor dan membawa pulang RM 50,500.00 dan sijil penghargaan.

Pelaksanaan Balai League Table ini menjurus kepada usaha mewujudkan persaingan sihat di kalangan anggota PDRM khususnya dan menjadi penyumbang kepada kejayaan NKRA secara keseluruhannya.

Turut hadir dalam majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Putrajaya International Convention Centre (PICC) ialah Timbalan Menteri YB. Dato’ Lee Chee Leong, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Dato’ Sri Mahmood bin Adam dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

–team berita ikdn