HARAKAH BERSUA KDN
Harakah pada 6 Julai 2010 telah dipanggil bersua dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Pertemuan yang bermula pada jam 1.30 tengahari itu dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Dato’ Abd. Rahim Mohd Radzi. Turut hadir ialah Dato’ Zaitun Ab Samad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Penerbitan dan Teks Al Quran.
Jemputan untuk bersua diterima baik oleh Harakah dengan menghantar Pengarangnya iaitu En. Taufik bin Yahya. Niat pertemuan ialah hasrat KDN agar Harakah mematuhi perkara-perkara yang tertakluk dalam garis panduan pemberian permit. Antaranya seperti pihak percetakan sewajibnya memberikan KDN 8 naskhah suratkhabar mereka sebaik selesai dicetak.

Harakah juga dimaklumkan kesulitan berkaitan dengannya dapat dielakkan jika sekiranya garispanduan itu dipatuhi. Juga bukan niat KDN untuk memberi kesusahan tetapi sebagai entiti kerajaan yang bertanggung jawab maka KDN akan bertindak jika garispanduan itu diengkari.
Tiada perbincangan mengenai artikel-artikel yang terkandung di dalam Harakah kerana motif sebenar perjumpaan ini diadakan adalah untuk memperingatkan peranan dan tanggungjawab penerbit akhbar kepada KDN.
Bagi pihak akhbar itu En. Taufik mengatakan bahawa Harakah menghormati fungsi KDN dalam memastikan setiap akhbar di Malaysia yang mempunyai permit penerbitan mematuhi apa sahaja perkara yang terkandung di dalam akta. Bahkan beliau juga gembira dengan inisiatif KDN untuk mengadakan perjumpaan seperti ini kerana pastinya banyak perkara yang sebelum ini sering menjadi perbalahan diharapkan akan dapat diselesaikan dengan segera.
Perjumpaan berakhir kira-kira jam 2 petang.
–team berita ikdn


















6 July 2010
KDN Sana Sini