web analytics

Jawapan Sinar Harian Terengganu

30 July 2010

Surat Kepada Pengarang

SEGERA MELALUI FAKS
Ruj. Kami : JPN.PT.163/2/3 /1Klt.18 ( 41 )
Tarikh : 30 Julai 2010

Ketua Pengarang,
Sinar Harian

Tuan,

MAKLUM BALAS ADUAN AKHBAR SINAR HARIAN TERENGGANU BERTAJUK “SAYA INGIN KE SEKOLAH SEMULA” BERTARIKH 27 JULAI 2010, SELASA, M.S: T18 (SETIU)

Dengan segala hormatnya, saya diarah merujuk kepada perkara di atas.

2. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ingin menjelaskan isu berkaitan Siti Nurulsuhada Amran, berusia 16 tahun yang gagal menyambung persekolahan kerana ketiadaan MyKad. Beliau mendakwa pernah beberapa kali membuat rayuan dan memohon kepada Jabatan ini bagi membantunya memperolehi Mykad.

3. Untuk makluman, pihak JPN Kuala Terengganu telah pergi menemui pengadu di Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu pada 28hb Julai 2010 bagi menyiasat dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai permasalahan beliau. Berdasarkan temubual bersama penjaga dan pengadu, pihak JPN mendapati beliau lahir di Kampung Tok Dor, Besut. Bapa beliau adalah seorang warganegara Indonesia manakala ibunya warganegara Thailand. Namun kedua-dua ibu bapanya sehingga kini tidak dapat dikesan.

4. Pihak JPN telah dimaklumkan bahawa Siti NurulSuhada telah dijaga oleh keluarga Encik Riduan Awang dan ini telah diperakui oleh Pengerusi JKKK kampung tersebut. Oleh itu, Pihak JPN menyarankan supaya Encik Riduan mengemukakan permohonan anak angkat berdasarkan Undang-undang dan Peraturan sedia ada di JPN Besut, Terengganu.

5. Merujuk kepada kes ini, ingin ditegaskan bahawa semua kelahiran yang berlaku di Malaysia mesti didaftarkan dan dikeluarkan Sijil Kelahiran Malaysia berdasarkan Seksyen 7, Akta Pendaftaran Kelahiran & Kematian 1957 (Akta 299). Walaubagaimana pun lahir di Malaysia dan memiliki Sijil Kelahiran bukanlah bermakna seseorang itu akan mendapat kewarganegaraan Malaysia secara automatik. Penentuan status kewarganegaraan seseorang individu yang lahir di malaysia adalah berdasarkan kepada status ibu atau bapanya sewaktu kelahiran tersebut berlaku. Oleh sebab itu, Siti Nurulsuhada bukan berstatus warganegara Malaysia kerana kedua-dua ibu bapanya bukan berstatus warganegara Malaysia atau Pemastautin Tetap Malaysia.

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,

(JAINISAH BT. MOHD. NOOR)
Pegawai Perhubungan Awam.
b.p Ketua Pengarah,
Jabatan Pendaftaran Negara,
Malaysia.

No. Tel : 03-88807077
No. faks : 03-88808288
Email : pro@jpn.gov.my

s.k.: 1. Y. Bhg. Dato’ KPPN
2. Y. Brs. Tuan TKPPN (P)
3. Y. Brs. Tuan TKPPN (O)