Susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun 2010, Jawatankuasa Pengukuhan Strategi Komunikasi Kerajaan telah ditubuhkan bagi merangka strategi komunikasi kerajaan serta bagi menangani berita-berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Selama ini kerajaan mengambil pertimbangan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang yang tegas. Bagaimanapun, kali ini kerajaan berpendapat jika pembohongan dan berita-berita palsu ini dibiarkan berterusan, pihak tidak bertanggungjawab ini akan menganggap tindakan mereka betul dan rakyat akan tertipu,” kata YB. Dato’ Seri Hisyammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri ketika sidang media petang tadi.
Jawatankuasa Pengukuhan Strategi Komunikasi Kerajaan ini dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB. Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri sendiri. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri ialah urus setia bagi Jawatankuasa ini.

Selain itu, pada mesyuarat pertama Jawatankuasa ini turut membincangkan beberapa perkara mencakupi cadangan pindaan peruntukan perundangan/Akhta; iaitu latihan yang berkualiti untuk pegawai penyiasat, layanan terhadap saksi dan definisi ‘berita palsu’ secara jelas.
“Dalam soal lain pula, ingin saya memaklumkan bahawa pada 14 Julai ini, saya akan menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Anugerah balai League Table di Putrajaya International Convention Centre (PICC).”
Balai League Table ini adalah merupakan salah satu usaha dan pendekatan KDN di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah. Ia dilaksanakan sebagai tanda terima kasih dan mengiktiraf pencapaian pihak PDRM di peringkat balai dalam usaha memerangi jenayah.
Tambah Dato’ Seri Hishammuddin, “melalui program ini, setiap balai polis di seluruh negara akan di gred serta dinilai di bawah satu sistem bagi mengukur tahap prestasi dan pencapaiaan perkhidmatan yang diberikan kepada setiap anggota masyarakat. Balai-balai polis yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diberikan penghargaan dan pengiktirafan manakala pegawainya akan diberikan insentif.” Program pelancaran ini akan dihadiri lebih kurang 3,000 pegawai dan anggota PDRM dari 757 balai di seluruh negara.
–team berita ikdn


















11 July 2010
KDN Sana Sini