KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
01HB JULAI 2010
STATUS PENERBITAN SUARA KEADILAN
1. Panel Penilaian Permohonan Permit Penerbitan dan Lesen Mesin Cetak, Kementerian Dalam Negeri (PANEL 13) telah bersidang pada 1.7.2010 dan telah membuat keputusan seperti berikut:
i. Tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh pihak penerbitan “Suara Keadilan” bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada jam 4.45 petang hari yang sama berkaitan dengan surat teguran Kementerian ini.
- Surat akan dihantar kepada pihak penerbitan “Suara Keadilan” untuk memaklumkan perkara ini. Maklumat mengenai perkara-perkara yang ditegur akan disertakan dan pihak penerbitan “Suara Keadilan” dikehendaki menjawab teguran-teguran berkenaan.
ii. Tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh Editor Penerbitan “Suara Keadilan”, Encik Dzulkarnain Taib melalui suratnya bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada 30.6.2010 jam 12.00 tengahari berkaitan artikel bertajuk “Felda Bankrap”.
- Surat akan dihantar kepada pihak Penerbitan “Suara Keadilan” untuk memberitahu bahawa Kementerian tidak berpuashati dengan penjelasan yang diberikan.
iii. Permohonan pembaharuan permit penerbitan “Suara Keadilan” yang tamat tempoh pada 30 Jun 2010 akan hanya dipertimbangkan apabila penjelasan yang memuaskan diterima daripada pihak penerbitan “Suara Keadilan”.
2. Bermula dari 1 Julai 2010, permit penerbitan bagi “Suara Keadilan” tidak lagi sah dan dengan demikian, penerbitan tersebut tidak boleh dicetak atau diterbitkan. Mengikut peruntukan di bawah Seksyen 5 (1), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, ‘ Tiada seorang pun boleh mencetak, mengimport, menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar atau menawar untuk menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar apa-apa akhbar yang dicetak di Malaysia atau di Singapura melainkan jika permit di bawah perengan (a) atau (b) subseksyen (1) seksyen 6 telah diberikan oleh Menteri berkenaan akhbar itu.’
3. Satu surat akan dikeluarkan kepada pencetak berkenaan untuk memaklumkan agar tidak mencetak penerbitan ini sehingga satu keputusan mengenai permohonan pembaharuan permit tersebut dikeluarkan oleh Kementerian ini.
SEKIAN. TERIMA KASIH.
Dato’ Zaitun Ab Samad
Setiausaha Bahagian
Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran
Kementerian Dalam Negeri
01 Julai 2010


















2 July 2010
KDN Sana Sini