Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Anugerah Balai League Table
Putrajaya, 14 Julai 2010
Hari ini, saya telah melancarkan Balai League Table iaitu sebuah program khusus yang dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah. Inisiatif pelaksanaan program ini telah dikenal pasti melalui Makmal NKRA Mengurangkan Jenayah yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada penghujung tahun lalu.
Program Balai League Table ini bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan prestasi dan pencapaian cemerlang dalam tugasan masing-masing. Ia juga bertujuan menilai prestasi balai-balai polis dalam keberkesanan membanteras jenayah dan penyampaian perkhidmatan kepada orang awam seperti mana yang disasarkan di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah.
Saya berharap, dengan pelaksanaan program ini, prestasi dan pencapaian balai-balai polis di seluruh negara akan dapat ditingkatkan ke tahap yang terbaik sekali gus mampu memenuhi kehendak dan harapan seluruh anggota masyarakat di negara ini. Rakyat perlu merasai nikmat dan kebaikan di sebalik pelaksanaan program ini khususnya dalam memastikan persekitaran mereka sentiasa aman dan selamat.
Dalam pada itu, saya juga berharap program ini dapat memberi ruang kepada kita untuk mengenal pasti tahap prestasi dan pencapaian balai polis di seluruh negara. Bukan hanya mengenal pasti balai-balai polis yang cemerlang semata-mata, sebaliknya balai-balai polis yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan akan turut dibantu dan diberi galakan agar turut sama berusaha menepati sasaran dan standard perkhidmatan serta pengurusan yang telah ditetapkan.
Melalui program ini, setiap balai polis di seluruh negara akan digred serta dinilai di bawah satu sistem bagi mengukur tahap prestasi dan pencapaian perkhidmatan yang diberikan kepada setiap anggota masyarakat. Tempoh penilaian dan pemilihan balai dijalankan setiap 4 bulan sekali dan ia berasaskan dua kriteria iaitu tahap purata jenayah indeks; dan penambahbaikan yang dilakukan dalam menurunkan jenayah. Jika terdapat skor yang sama di antara beberapa Balai, maka kriteria tambahan yang dipertimbangkan ialah nisbah kekuatan polis kepada penduduk bagi balai tersebut; dan purata jenayah indeks bagi 4 bulan penilaian.
Tempoh Kajian Penilaian Ranking Balai League Table adalah berasaskan purata statistik jenayah indeks [Reported Index Crime (RIC)] per 10,000 populasi bagi setiap balai bagi tiga bulan pertama. Perbandingan dibuat di antara purata pencapaian RIC tiga bulan tersebut dengan peratus penambah baikan yang dibuat dalam menurunkan kadar jenayah berbanding dengan RIC bulan seterusnya iaitu bulan ke empat. Tujuan Ranking ini adalah supaya semua pelaksana-pelaksana mengambil maklum mengenai kedudukan masing-masing dari aspek ranking dalam kategori masing-masing dan berusaha untuk mengatasi kelemahan-kelemahan dan memperbaiki kedudukan.
Balai-balai polis yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diberikan penghargaan dan pengiktirafan, manakala anggota serta pegawainya akan diberikan insentif. Insentif ini adalah sebagai rangsangan untuk memupuk budaya kerja cemerlang dan persaingan sihat di kalangan anggota dan pegawai yang sedang berkhidmat di balai berkenaan.
Keseluruhannya sebanyak 753 buah balai polis seluruh negara akan terlibat dalam pelaksanaan Balai League Table. Kesemua balai-balai tersebut akan dibahagikan kepada 5 kategori yang sedia ada iaitu Balai Kategori A, B, C, D dan E. Balai-balai terlibat akan bertanding dalam kategori masing-masing. Tiga pemenang, iaitu Balai Juara, Balai Naib Juara dan Balai Tempat Ketiga akan dipilih daripada setiap kategori. Pecahan kategori balai-balai yang akan terlibat di dalam Balai League Table mengikut kategori ialah Kategori A (63 Balai); Kategori B (89 Balai); Kategori C (116 Balai); Kategori D (261 Balai); dan Kategori E (224 Balai).
Kategori A ialah Balai di bandar yang mempunyai kekuatan anggota berjumlah 140 orang melibatkan 137 anggota beruniform dan 3 orang kakitangan awam; Kategori B ialah Balai di bandar yang mempunyai kekuatan anggota berjumlah 120 orang melibatkan 118 anggota beruniform dan 2 orang kakitangan awam; Kategori C ialah Balai di separa bandar yang mempunyai kekuatan anggota berjumlah 85 orang melibatkan 83 anggota beruniform dan 2 orang kakitangan awam; Kategori D ialah Balai di luar bandar yang mempunyai kekuatan anggota berjumlah 55 orang melibatkan 54 anggota beruniform dan 1 orang kakitangan awam; Kategori E ialah Balai di luar bandar yang mempunyai kekuatan anggota berjumlah 30 orang yang kesemuanya merupakan anggota beruniform (tiada kakitangan awam).
Hadiah dalam bentuk wang akan diberi kepada setiap anggota dan pegawai yang bertugas di Balai-balai yang berjaya dalam Kategori masing-masing. Bagi Balai Juara, anggota dan pegawai di balai tersebut akan diberi ganjaran sebanyak RM500 seorang; Balai Naib Juara RM300 seorang; dan Balai Tempat Ketiga RM200 seorang. Keseluruhannya, sebanyak RM252,900 diperuntukkan untuk hadiah wang tunai kepada balai-balai ini (senarai pemenang Balai mengikut kategori dilampirkan- Lampiran 1).
Untuk makluman, program yang mirip seperti ini telah dipraktikkan di United Kingdom dan ianya terbukti berupaya meningkatkan kepuasan umum khususnya di kalangan anggota masyarakat selain dapat menambah baik pencapaian, prestasi dan perkhidmatan polis.
=tamat=
Lampiran 1
SENARAI PEMENANG
ANUGERAH BALAI LEAGUE TABLE MENGIKUT KATEGORI BALAI
PEMENANG KATEGORI A
Bil Balai Kekuatan Anggota Polis Kekuatan Kakitangan Awam. Jumlah Kos.
(RM)
1. Balai Polis Puchong Jaya,
IPD Subang Jaya,
Selangor 99 2 101 X RM 500.00 50,500.00
2. Balai Polis Petaling Jaya, Selangor 178 4 182 X RM 300.00 54,600.00
3. Balai Polis Kota Bharu, Kelantan 99 2 101 X RM 200.00 20,200.00
PEMENANG KATEGORI B
1. Balai Polis Sg. Senam, IPD Ipoh, Perak. 57 1 58 X RM 500.00 29,000.00
2 Balai Polis Pandamaran, IPD Klang, Selangor 57 0 57 X RM 300.00
17,100.00
3. Balai Polis CPS Sibu, IPD Sibu, Sarawak 84 3 87 X RM 200.00 17,400.00
PEMENANG KATEGORI C
1. Balai Polis Simpang Renggam, IPD Kluang, Johor 20 0 20 X RM 500.00 10,000.00
2. Balai Polis Senai, IPD Kulai, Johor 51 0 51 X RM 300.00 15,300.00
3. Balai Polis Gurun, IPD Kuala Muda, Kedah 27 1 28 X RM 200.00 5,600.00
PEMENANG KATEGORI D
1. Balai Polis Belaga, IPD Belaga, Sarawak 16 0 16 X RM 500.00 8,000.00
2. Balai Polis Asa Jaya, IPD Samarahan, Sarawak 19 1 20 X RM 300.00 6,000.00
3. Balai Polis Wakaf Baru, IPD Tumpat Kelantan 16 1 17 X RM 200.00 3,400.00
PEMENANG KATEGORI E
1. Balai Polis Air Hitam, IPD Kubang Pasu, Kedah 16 0 16 X RM 500.00 8,000.00
2. Balai Polis Simpang Empat, IPD Alor Gajah, Melaka. 17 1 18 X RM 300.00 5,400.00
3. Balai Polis Taman Pasir Putih, IPD Sri Alam, Johor 12 0 12 X RM 200.00 2,400.00
JUMLAH 252,900.00
BALAI LEAGUE TABLE
SENARAI NAMA KETUA BALAI
BIL. BALAI POLIS/ NOMBOR TELEFON KETUA POLIS BALAI
1. BALAI POLIS PUCHONG JAYA, SELANGOR TEL. : 03-80762222 C/INSP 14584 LOKMAN BIN AHMAD
2. BALAI POLIS SIMPANG RENGGAM, KLUANG JOHOR TEL. : 07-7557222 SM 84964 MD. TAMSIR BIN KOSNIN
3. BALAI POLIS GURUN, KEDAH TEL. : 04-4686221 C/INSP. I/13514ISMAIL BIN MOHAMAD
4. BALAI POLIS ASA JAYA TEL. : 082828102 SJN. 112915 NAFREE SAHARI
5. BALAI POLIS SG. SENAM, IPOH, PERAK TEL : 05-5477322 C/INSP I/13247 VISED A/L CHAI TONG
6. BALAI POLIS TAMAN PASIR PUTIH, SERI ALAM, JOHOR TEL. : 07-2524122 SJN 84112 MOHD SNIN BIN BUANG
7. BALAI POLIS SENAI, JOHOR TEL. : 07-5561222 INSP./P 19067 MAT NOOR BIN MAJID
8. BALAI POLIS PANDAMARAN, KLANG, SELANGOR TEL. : 03-31686284 C/INSP I14095 MOHD RUSHDAM BIN MOHD YUSOFF
9. BALAI POLIS BELAGA, SARAWAK TEL. : 086-461318 C/INSP. 15622 MIKI MOHAN SINGH RAMDAY
10. BALAI POLIS PETALING JAYA, SELANGOR TEL. : 03-79662256 C/INSP. 15033 AHMAD BIN AWANG ISHAK
11. BALAI POLIS AIR HITAM, KEDAH TEL. : 04-7940223 SM 59586 SAIDIN BIN IBRAHIM
12. BALAI POLIS WAKAF BARU, TUMPAT, KELANTAN TEL. : 09-7196222 SI 66531 NORDIN BIN YAACOB
13. BALAI POLIS CPS, SIBU, SARAWAK TEL. : 084-336144 ASP G13686 MORDANI B TAMIN
14. BALAI POLIS KOTA BHARU, KELANTAN TEL. : 09-7485522 C/INSP. I/15323 EDIANSHA BIN ENDAL
15. BALAI POLIS SIMPANG AMPAT, MELAKA TEL. : 06-5529240 SM 87654 ROSSALI BIN OSMAN


















14 July 2010
Teks Ucapan MDN & TMDN