web analytics

KENYATAAN AKHBAR MDN: Penambahbaikan Kaedah Pertimbangan Permohonan Permit Masuk dan Taraf Penduduk Tetap (PR) Malaysia

29 July 2010

Teks Ucapan MDN & TMDN

Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Penambahbaikan Kaedah Pertimbangan Permohonan Permit Masuk dan Taraf Penduduk Tetap (PR) Malaysia
Tumpat, 29 Julai 2010

Pada tahun ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan pada tahun 2009. Langkah meneruskan dan menambah nilai KPI 2009 ini antara lain bertujuan untuk memastikan rakyat berbilang kaum di Malaysia mendapat akses yang terbaik melalui perkhidmatan yang disediakan oleh KDN. Selain itu, ia juga memenuhi tuntutan untuk memantapkan sistem pengurusan dan penyampaian kerajaan serta mengurangkan karenah birokrasi. Usaha ini sejajar dengan hasrat yang digariskan dalam gagasan 1Malaysia ’Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dan agenda kerajaan melalui Program Tansformasi Kerajaan (GTP) serta Model Ekonomi Baru (MEB).

Antara tambah nilai yang akan dilaksanakan KDN terhadap KPI 2009 dan sekali gus akan menjadi fokus dan matlamat Kementerian untuk tahun 2010 ialah menginstitusikan sistem pengurusan dan penyampaian yang efektif berhubung permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran; meningkatkan fungsi dan ciri-ciri keselamatan dokumen-dokumen berkaitan pengenalan diri dan imigresen; dan membantu mempermudahkan kemasukan ke dalam negara golongan berpendapatan tinggi (high net worth) dan pekerja berpengetahuan tinggi (knowledge workers).

Bagi nilai tambah yang pertama iaitu menginstitusikan sistem pengurusan dan penyampaian yang efektif berhubung permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran; KDN sedang dalam proses untuk melaksanakan pelbagai bentuk inisiatif untuk menangani masalah rakyat berhubung cara mendapatkan taraf dan dokumen pengenalan diri. Antara masalah utama yang dikenal pasti adalah ketidak fahaman sesetengah rakyat terhadap kepentingan mempunyai dokumen pengenalan diri, cara-cara dan syarat-syarat untuk memiliki dokumen dan faktor geografi bagi bagi penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Melalui inisiatif-inisiatif yang sedang dirangka dan sebahagiannya telah dilaksanakan, kita mahu masalah-masalah rakyat ini diselesaikan. Antara inisiatif yang sedang berjalan ialah penyerahan MyKad yang tidak dituntut, pelaksanaan program outreach bagi memberi penjelasan dan mempermudahkan urusan permohonan daftar lewat kelahiran dan penubuhan Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berhubung Permit Masuk yang merupakan salah satu daripada KPI Menteri Dalam Negeri, Kerajaan telah membuat keputusan untuk menambahbaik kaedah pertimbangan bagi permohonan Permit Masuk dan seterusnya mendapatkan Taraf Penduduk Tetap (PR) Malaysia. Sehubungan itu, sebagai nilai tambah (value added) kepada KPI Menteri Dalam Negeri, maka Kerajaan telah memutuskan:

i) untuk memansuhkan amalan pentadbiran bagi pengkelasan kategori permohonan di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (KP JIM) dan Menteri Dalam Negeri. Dengan kaedah baru ini, KP JIM akan diberikan kuasa untuk mempertimbangkan semua jenis permohonan Permit Masuk. Hanya sekiranya ditolak, rayuan perlu dibuat di Kementerian Dalam Negeri untuk pertimbangan Menteri Dalam Negeri. Ini berbeza dengan amalan dahulu di mana sungguhpun kesemua permohonan perlu dibuat di JIM, namun KP JIM hanya akan membuat pertimbangan untuk dua kategori permohonan iaitu isteri kepada warganegara dan anak kepada warganegara yang berumur enam tahun ke bawah. Permohonan bagi kategori lain akan terus ditolak dan pemohon perlu membuat rayuan. Ini bermakna sebelum ini sesetengah pihak tetap perlu membuat permohonan sungguhpun keputusannya sudah pasti akan ditolak dan hanya boleh dipertimbang di peringkat rayuan. Amalan ini telah menimbulkan persepsi ‘memohon untuk ditolak’.

ii) untuk memperkenalkan mekanisme bagi pertimbangan Permit Masuk melalui kaedah Sistem Pemarkahan (Point System) sebagaimana diamalkan di Australia, Kanada dan United Kingdom bagi permohonan warga asing yang tidak termasuk dalam kategori suami/isteri asing kepada warganegara, anak warganegara, golongan pakar/profesional berkemahiran tinggi dan pelabur (melabur lebih dari USD 2juta). Tiga kategori tersebut mempunyai kaedah pertimbangan khusus. Melalui point system ini, permohonan ditimbang berdasarkan pemberian markah mengikut kriteria umur, kelayakan akademik/profesional dan bidang pekerjaan, kemahiran Bahasa Melayu, tempoh tinggal di negara ini, ikatan kekeluargaan dengan warganegara dan PR Malaysia, nilai pelaburan dalam negara dan sumbangan kepada negara. Pemohon yang melepasi 65 markah dan ke atas adalah layak dipertimbangkan. Walau bagaimanapun, semua permohonan adalah tetap tertakluk kepada tapisan keselamatan Polis Diraja Malaysia.

Peraturan baru ini yang telah dilaksanakan mulai 15 Julai 2010 akan membolehkan permohonan Permit Masuk dan seterusnya PR Malaysia diproses lebih cepat dan telus selain menghapuskan peraturan dan birokrasi yang selama ini dianggap sebagai menyukarkan orang ramai.

Selain memastikan setiap permohonan dapat diproses pada kadar yang segera, adalah perlu untuk dipastikan rakyat dibantu untuk memahami asas dan ruang tuntutan yang mereka ada berdasarkan status, keadaan dan latar belakang mereka berpandukan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada. Begitu juga, sistem yang ada perlu dimantapkan dan diinstitusikan dengan fokus untuk membantu menyelesaikan pelbagai bentuk masalah rakyat berpandukan kepada peruntukan undang-undang.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah merujuk kepada usaha mempercepatkan proses pembuat keputusan dalam sesuatu permohonan untuk mengelakkan permohonan yang tertunggak tanpa sebarang keputusan untuk tempoh yang tidak munasabah. Kita melihat kepada aspek mempercepatkan proses dan ini tidak bermakna melonggarkan syarat-syarat sedia ada.

Dalam pada itu, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada 89 orang penerima yang berjaya dianugerahkan Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang rata-rata terdiri dari keturunan Siam di Tumpat Kelantan pada pagi ini. Penganugerahan ini diberi berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara-perkara seperti berikut:
• Perkara 15(1) – Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang diberi bagi isteri kepada warganegara secara daftaran;
• Perkara 16 – Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang diberi bagi orang-orang yang lahir di Persekutuan sebelum Hari Merdeka (sebelum tahun 1957);
• Perkara 19(1) – Taraf Kewarganegaraan yang diberi dengan cara masukan (naturalisasi) bagi yang telah berumur melebihi 21 tahun.

Dengan penganugerahan ini, mereka akan memperolehi manfaat dan kemudahan yang sama sepertimana yang diperolehi oleh warganegara Malaysia yang lain seperti kemudahan kesihatan, pelajaran, pekerjaan dan lain-lain.

Taraf kewarganegaraan adalah suatu keistimewaan (privilege) dan bukan suatu hak (right); keistimewaan yang hanya boleh dianugerahkan kepada seseorang individu yang menepati syarat dan kriteria yang telah digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai mempunyai kelayakan untuk bergelar dan diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

=Tamat=