Kenyataan Media
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Produk 1Malaysia Kementerian Dalam Negeri
Putrajaya, 11 Julai 2010
Bertepatan dengan konsep “1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” seperti yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak setahun lalu telah mengenal pasti strategi-strategi untuk melonjak kecemerlangan dan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan melalui peluasan perkhidmatan kaunter, penubuhan unit bergerak, pembangunan dan peningkatan keupayaan sistem perkomputeran.
Semua misi yang telah digariskan ini adalah untuk memastikan rakyat iaitu pihak yang menjadi kumpulan sasar akan menikmati hasil dan merasai perubahan yang diinginkan. Kenyataan Perdana Menteri bahawa Konsep 1Malaysia kini memasuki fasa baru dengan memperkenal dan mengenal pasti lebih banyak produk dan perkhidmatan 1Malaysia yang menjurus kepentingan rakyat adalah bukti keazaman beliau untuk menerajui sebuah Kerajaan yang mengutamakan rakyat.
Pengertian yang mendalam terhadap konsep berkenaan yang tidak hanya terhad kepada soal perpaduan semata-mata tetapi juga menggambarkan bahawa agenda ini diyakini mampu membawa perubahan dan mewujudkan perkhidmatan yang lebih baik untuk semua pihak tanpa mengira peringkat atau kelompok masyarakat, kaum dan kedudukan.
Dalam konteks ini, seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Jabatan Imigresen telah berjaya mengeluarkan pasport antarabangsa dalam masa sejam di 26 cawangan jabatan tersebut di seluruh negara. Pencapaian ini akan kita tingkatkan dan pada masa yang sama Produk 1Malaysia di bawah KDN ini akan kita berikan imej yang lebih baik agar ia akan lebih dikenali dan lebih dekat di hati rakyat. Usaha yang dimulakan di bawah konsep 1Malaysia ini juga sudah mula mendapat perhatian pelbagai pihak, malah saya dapati orang ramai telah mula tampil untuk menyatakan sokongan mereka terhadap usaha-usaha ini menerusi surat-surat kepada akhbar pelbagai bahasa, email dan sebagainya. Mereka memberi pandangan ikhlas kerana mereka dapat merasai perubahan, iaitu daripada suatu ketika dahulu mereka perlu menunggu berhari-hari untuk mendapatkan pasport kepada hanya sejam sahaja ketika ini. Produk-produk 1Malaysia sebegini diyakini mampu memberi suntikan semangat perpaduan dan persaudaraan rakyat kerana ia adalah produk yang dapat dinikmati bersama.
KDN juga telah mengenal pasti produk-produk 1Malaysia yang lain seperti satu hari satu pengeluaran gantian MyKad di JPN Putrajaya dan satu minit pemeriksaan (clearance) daftar masuk dan keluar satu penumpang untuk kawalan keluar masuk di pintu-pintu masuk Imigresen bagi memberi nilai tambah kepada produk 1Malaysia yang dapat ditawarkan oleh KDN. Produk-produk ini akan turut ditawarkan oleh KDN dalam tempoh terdekat.
Bagi memastikan pelaksanaan produk-produk lain di bawah Konsep 1Malaysia ini dapat disebarluaskan kepada masyarakat umum, KDN telah berbincang dengan pihak Celcom bagi membantu untuk memantapkan imej dan penyampaian perkidmatan iaitu menerusi pemasangan papan tanda mengenai kawasan rondaan polis serta menyebarluas maklumat dan memperkemas ruang perkhidmatan terutamanya di kaunter-kaunter Jabatan Imigresen di lapangan-lapangan terbang utama. Segala langkah ini akan dilaksanakan dengan menggabungkan elemen-elemen serta paparan imej 1Malaysia yang lebih jelas dengan memaparkan unsur-unsur pembaharuan yang kita laksanakan.
=tamat=


















12 July 2010
Teks Ucapan MDN & TMDN