web analytics

Kesungguhan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah

Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Dalam Negeri
Kesungguhan Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah

Putrajaya, 2 Julai 2010

Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini berada pada fasa pemantapan bagi menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah. Dalam fasa ini, KDN sedang di peringkat memperkemas dan memperkukuh segala inisiatif dan pendekatan yang sedang dan akan dilaksanakan di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah. Inisiatif dan pendekatan ini perlu diperkemas dan diperkukuhkan meskipun NKRA Mengurangkan Jenayah telah menunjukkan tanda kejayaan dengan pengurangan kadar indeks jenayah jalanan 36.89 peratus dan pengurangan kadar jenayah keseluruhan 13.9 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini (Januari hingga Mei) berbanding tempoh sama tahun lalu.

Untuk makluman, usaha NKRA Mengurangkan Jenayah ini bukan hanya melibatkan usaha pencegahan dan penguatkuasaan semata-mata, tetapi ia juga melibatkan usaha memperkukuh sistem keadilan dan kehakiman termasuk yang melibatkan elemen pendakwaan; hukuman di peringkat mahkamah dijalankan dengan cepat; serta usaha menjayakan inisiatif pemulihan dalam penjara.

Bagi fasa pencegahan dan penguatkuasaan, pihak KDN telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan pendekatan. Antaranya termasuklah meningkatkan kehadiran polis (omnipresence) di kawasan-kawasan panas yang kerap berlaku kejadian jenayah; meningkatkan penyertaan anggota dan pegawai polis dalam aktiviti rondaan melalui inisiatif mengawamkan (civilianisation) tugas-tugas pengkeranian dan pentadbiran yang dilaksanakan anggota dan pegawai polis ketika ini kepada kakitangan awam;  melatih ahli-ahli Angkatan Relawan Rakyat (Rela) dan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) sebagai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) untuk ditugaskan bersama pihak polis di kawasan panas; menambah bilangan balai polis bergerak dan motosikal di kawasan-kawasan panas; memperbanyakkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas; serta memperhebatkan penyertaan dan penglibatan anggota masyarakat dalam aktiviti mencegah jenayah melalui Rakan Cop, Community Policing, Skim Rondaan Sukarela (SRS), Program Bandar Selamat dan sebagainya.

Selain itu, pada April lalu, pihak KDN telah menandatangani komitmen kerjasama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), badan berkanun dan syarikat swasta sebagai simbolik kepada komitmen bagi menjayakan NKRA Mengurangkan Jenayah. Bentuk kerjasama dan sumbangan yang telah dipersetujui dan dikenal pasti antara KDN dan pihak-pihak ini melibatkan penajaan balai polis bergerak, penajaan  pondok polis, perluasan liputan CCTV, serta perluasan kawasan penugasan dan rondaan Polis Bantuan di luar premis masing-masing.

Malah, di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri, pelbagai program khusus telah dilaksanakan bagi meningkatkan rasa selamat di kalangan rakyat. Antara program tersebut ialah Kepolisan Berprofil Tinggi yang menuntut pegawai-pegawai kanan polis melakukan tinjauan mesra di kawasan-kawasan komersial, jalanan dan kawasan perumahan, sekurang-kurangnya 3 jam dalam seminggu; Berhenti dan Berbual (Stop and Talk) yang menuntut semua kenderaan peronda polis (MPV) dan Polis Masyarakat (POLMAS) berhenti untuk berbual bersama orang awam selama 10 hingga 15 minit bagi setiap jam ketika rondaan biasa; dan ‘Feet on Street’ yang menuntut anggota polis bersama Sukarelawan Simpanan Polis (SPP) di kalangan anggota RELA dan JPAM untuk meronda di kawasan panas.

Bagi fasa seterusnya iaitu usaha memperkukuh sistem keadilan dan kehakiman, pihak KDN bersama-sama dengan PDRM, Jabatan Peguam Negara, pihak Mahkamah, Jabatan Penjara, dan Majlis Peguam telah mengadakan Violent Crime Backlog Cases Lab pada 8 hingga 19 Mac lalu. Melalui makmal ini, sebanyak 28 inisiatif telah dicadangkan untuk dilaksanakan bagi menyelesaikan kes-kes jenayah jalanan/kekerasan yang tertunggak.

Di antara inisiatif tersebut ialah melaksanakan Mahkamah Malam dan J-Code khusus bagi membawa lebih ramai pesalah jenayah jalanan ke muka pengadilan. Untuk makluman, Mahkamah Malam merupakan strategi  untuk mempercepatkan proses perbicaraan dan memastikan suspek kes jenayah tidak mengulangi kesalahan mereka semasa menunggu perbicaraan. Ia dilaksanakan untuk sebutan kes sahaja dan bukannya perbicaraan menyeluruh dan adalah khusus untuk kes-kes yang melibatkan jenayah jalanan.

Melalui pendekatan ini, tertuduh yang ditangkap pada waktu siang akan terus dibawa ke Mahkamah Malam pada hari yang sama. Mahkamah Malam ini telah dilaksanakan bermula 1 Mac lalu di 4 bandar utama di negeri-negeri yang disenaraikan dalam kawasan panas iaitu di Georgetown, Johor Bahru, Shah Alam dan Kuala Lumpur. Manakala pada 5 April lalu, pelaksanaannya diperluaskan di Ipoh dan Alor Star. Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 5 kes telah dibicarakan di Mahkamah Malam.

Sementara itu, J-Code pula diwujudkan bagi mempercepatkan suspek-suspek di bawah kes-kes jenayah jalanan di bawa ke muka pengadilan dengan segera bagi mengelakkan trauma kepada masyarakat. Ia merupakan pendekatan khas yang dilaksanakan di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah.

Dalam pada itu, bagi usaha membawa lebih ramai pesalah jenayah kekerasan ke muka pengadilan, beberapa inisiatif lain telah dikenal pasti untuk dilaksanakan ialah antaranya mengurangkan nisbah pegawai-pegawai penyiasat kepada kertas-kertas siasatan kepada 1:5 sebulan; memajukan prosedur operasi standard bagi kes-kes jenayah kekerasan untuk memastikan pegawai penyiasat mengumpul segala keterangan yang perlu; menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang terdiri daripada para hakim dan majistret untuk dibawa ke kawasan-kawasan yang mempunyai banyak kes jenayah kekerasan yang belum diselesaikan.

Pada masa yang sama, saya juga ingin memaklumkan bahawa bagi menjayakan program-program NKRA Mengurangkan Jenayah, sebanyak RM54.373 juta telah diperuntukkan pada tahun ini kepada pihak-pihak berkaitan dengan perundangan dan kehakiman. Jumlah ini merangkumi RM21.973 juta untuk pengurusan Mahkamah, RM8.4 juta untuk pengurusan Jabatan Peguam Negara, dan RM24 juta untuk Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang bagi pelaksanaan Sistem CRT (Court Recording and Transcribing System).

Diharapkan, segala usaha, inisiatif dan pendekatan yang dilakukan oleh pihak KDN dan pihak-pihak yang berkenaan ini mampu menjayakan NKRA Mengurangkan Jenayah seperti mana yang disasarkan khususnya dalam memastikan rakyat di negara ini sentiasa berada dalam keadaan selamat sekali gus mencapai sasaran penurunan jenayah indeks sehingga 5 peratus dan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang penghujung tahun ini.

=tamat=