web analytics

Majikan Wajar Lebih Berhati-hati- Abu Seman

30 July 2010

KDN Sana Sini

Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen akan memperhebatkan tindakan penguatkuasaan terhadap majikan agar mereka tidak menyalahi peraturan penggajian pekerja asing. Datuk Wira Abu Seman b. Yusop berkata demikian di sidang akhbar yang diadakan pada 29h. Julai 2010 yang diadakan di KDN.

Sidang akhbar ini adalah susulan dari kenyataan akhbar Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 27hb. Julai setelah mempengerusikan mesyuarat Strategi Pelaksanaan Inisiatif Makmal Pengurusan Warga Asing dan Pakej Penyelesaian Menyeluruh Warga Asing.

”Mulai hari ini semua majikan wajar mengambil tindakan berhati-hati agar mereka tidak menggaji ataupun menyimpan pekerja asing tanpa permit yang sah. Ingatan ini juga untuk majikan yang menyalahgunakan permit kerja,” katanya.

MDN terdahulu telah memberi amaran mana-mana majikan yang disabitkan dengan kesalahan akan disenaraihitamkan oleh Kerajaan di masa depan.

”Terdapat tiga sekysen dalam Akta Imigresen 1959 yang akan menjadi teras tindakan oleh pihak penguatkuasaan iaitu Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d),” katanya.

Menurut beliau ketiga-tiga seksyen berkenaan mencangkupi tindakan untuk kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah, menggaji pekerja asing yang memilik pas untuk tujuan lain dan menggaji pekerja asing yang tiada dokumen perjalanan yang sah, kesalahan membenarkan imigran haram untuk masuk atau tinggal di premis dan kesalahan memberikan perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahuinya telah melanggar peruntukan Akta Imigresen.

”Kesunggguhan KDN adalah terbukti dengan tangkapan sebanyak 413 orang majikan di bawah Seksyen 55B, 46 orang di bawah Seksyen 55E dan 56(1)(d) seramai 188 orang dalam tempoh enam bulan pertama 2010,” katanya.

Beliau menambah enam buah syarikat outsourcing juga telah disenaraihitamkan manakala 21 buah syarikat outsourcing telah dimasukkan dalam Senarai Pemerhatian (Watchlist). Implikasi senarai hitam ini ialah mereka tidak boleh lagi berurusan untuk semua urusan pekerja asing manakala kesan senarai pemerhatian ialah larangan bagi mengambil pekerja asing baru.

”Kita berharap majikan akan lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja asing kerana KDN sememangnya serius akan hal ini dan selepas ini tidak akan ada majikan yang akan terlepas dari tindakan undang-undang sekiranya melanggar peraturan ini”, tegasnya.

–team berita ikdn