web analytics

MDN Sertai PM di Long Banga

26 July 2010

KDN Sana Sini

Lawatan kerja sehari ini menjadi lawatan kerja yang istimewa sekali kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sebagaimana luahan hati beliau betapa beliau begitu terharu sekali disambut dengan penuh kemeriahan meskipun Long Banga sebuah kawasan pendalaman tetapi kaya dengan budi bahasa.

“Terima kasih di atas kemesraan ini. Saya terharu kerana saya tahu ada yang datang dari daerah dan kampung yang jauh semata-mata untuk menyambut kehadiran saya. Bahkan ada yang sanggup berjalan jauh berhari-hari lamanya untuk ke Long Banga ini kerana mendengar kehadiran saya di sini. Saya hargai dan saya berterima kasih,” katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh penduduk kampung yang telah memenuhi dewan seawal jam 7.00 pagi itu.

Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak ketinggalan menyertai deligasi PM ke Long Banga yang diadakan pada 22 Julai 2010. Long Banga adalah lokasi pendalaman Sarawak paling jauh yang berdekatan dengan sempadan Indonesia Kalimantan. Perjalanan ke sana mengambil masa antara 8 – 10 jam dengan pacuan empat roda.

Kehadiran MDN telah memberi peluang kepada ahli-ahli RELA yang datang dari Bario untuk bergambar kenangan. RELA Bario dianggotai oleh seramai 210 orang. Mereka juga memberikan persembahan sambutan istimewa kepada PM dengan mengalunkan muzik bambu dengan menggunakan hidung.

MDN adalah antara empat menteri Persekutuan lain yang hadir iaitu Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah), Y.B. Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan Datuk Douglas Uggah Embas (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia)

Hadirin memberikan tepukan gemuruh apabila nama-nama mereka ini dipanggil dan diperkenalkan oleh Dato’ Seri Najib.

Pemimpin yang hadir tidak melepaskan peluang untuk makan tengahari bersama dengan rakyat jelata. Makan Besar ini juga tidak dilepaskan oleh penduduk kampung yang terdiri dari suku Kenyah, Saban dan Penan.

–team berita ikdn