Seramai 22 orang warga media telah diberi pangkat kehormat RELA yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha KDN Dato’ Sri Mahmood B. Adam. Penganugerahan yang berlangsung pada 24 Julai itu di Pusat Latihan RELA Sabah turut diberikan kepada barisan pengurusan tertinggi KDN yang terdiri dari 31 orang. Tidak terkecuali ialah pegawai-pegawai KDN dan individu dari sektor korporat.
Pemberian pangkat kehormat itu terdiri dari Mejar Jeneral (4 orang) Brig. Jeneral (4 orang) dan Kolonel (17 orang). Sementara itu 24 orang menerima pangkat kehormat Lt. Kolonel dan 11 orang berpangkat Mejar. Penerima pangkat Leftenan pula hanya seorang.
KSU KDN dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa pemberian pangkat itu adalah sebagai galakan kepada orang ramai untuk bergiat dalam entiti sukarela seperti RELA. Ia akan mendorong kepada pemegang pangkat kehormat itu untuk aktif mencari ahli baru dan seterusnya meningkatkan jumlah keahlian RELA di seluruh negara.
“Mengapa tidak? RELA bukan parti politik, ia digerakkan juga bukan atas dasar politik. RELA adalah benteng pertahanan ketiga negara ini. Setiap dari kita wajar terlibat dalam benteng pertahanan ketiga ini kerana kita akhirnya yang akan menentukan keselamatan kita sendiri,” katanya.
Penganugerahan ini bermula sejak tahun 2006 dan telah diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan dan Pemimpin-pemimpin masyarakat. Penganugerahan kepada media yang terdiri dari media Sabah, Sarawak dan Semenanjung itu adalah yang pertama kali dilaksanakan. Sehingga kini seramai 812 orang telah menerima pelbagai Pangkat Kehormat RELA itu.

–team berita ikdn


















27 July 2010
KDN Sana Sini