Warder Penjara Gred KX-17 dan Koperal Penjara Gred KX-20 Jabatan Penjara Malaysia berpeluang untuk menyambung pelajaran mereka ke peringkat diploma. Ia juga membuka peluang besar mereka kepada kenaikan pangkat sebagai Inspektor Penjara. Perkara ini akan menjadi realiti dengan termeterainya memorandum perjanjian antara Jabatan Penjara Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa pada 7 Julai 2010. Memorandum ini adalah untuk program Diploma Undang-undang dan Sains Koreksional (Diploma In Law and Correctional Science)
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman bin Yusop, hadir menyaksikan MOU itu . Beliau juga tidak ketinggalan menyempurnakan majlis tamat latihan Kursus Menengah Pengurusan Penjara Siri/1 2010 yang melibatkan peserta seramai 106 orang di Padang Kawad, Maktab Penjara Kajang, Selangor.
Mengambil peluang dari majlis itu ialah penganugerahan Pingat Bakti Setia Jabatan Penjara Malaysia kepada Datuk Ahmad Fuad bin Ab. Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Dato’ Zaitun bt Ab. Samad, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran(PQ) dan En. Abd. Aziz bin Md. Nor, Setiausaha Bahagian Bidang Keberhasilan Utama (NKRA). Penganugerahan itu sebagai menghargai sumbangan bakti terhadap Jabatan Penjara Malaysia.
–team berita ikdn/penjara


















9 July 2010
KDN Sana Sini