WARGA ASING SEBAGAI PENGAWAL KESELAMATAN TELAH MENARIK PERHATIAN PROGRAM 999 UNTUK SLOT SIARAN DI TV3 PADA JAM 9.00 MALAM 22 JULAI 2010. KETUA SETIAUSAHA KDN DATO’ SRI MAHMOOD B. ADAM (KSU) TELAH DITEMURAMAH OLEH PENERBIT 999 Sdr. Shahnum Hanif.
1. Siapa layak menjadi pengawal keselamatan di Malaysia seperti yang ditetapkan oleh KDN?
KSU: Mengikut Akta Agensi Persendirian 1971 dan surat pekeliling yang kita hantar kepada setiap agensi persendirian bilangan 1/2006, kita menjelaskan kepada syarikat-syarikat swasta dan orang ramai, siapa yang boleh menjadi pengawal keselamatan swasta. Pertama pengawal keselamatan berkenaan mesti warganegara Malaysia. Kedua, mereka mesti melalui tapisan keselamatan agar mereka tidak mempunyai rekod jenayah. Ketiga, mereka yang berumur 60 tahun ke atas, tidak dibenarkan sama sekali menjadi pengawal keselamatan dan mereka yang berumur di antara 50-60 tahun perlu mendapatkan surat pengesahan daripada doktor sama ada mereka mampu atau tidak untuk menjadi pengawal keselamatan.
2. Bagaimana dengan statistic pengawal keselamatan warga asing yang bertugas di Malaysia?
KSU: Ada satu pengecualian yang mana kita membenarkan warganegara Nepal yang merupakan bekas tentera untuk berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sini. Warganegara asing yang lain tidak dibenarkan sama sekali untuk menjadi pengawal keselamatan. Jumlah sehingga Julai 2010, sebanyak 5318 orang warganegara Nepal yang diluluskan menjadi pengawal keselamatan dan mereka ini memang mendapat permintaan yang tinggi dari pengendali syarikat keselamatan.
3. Bagaimana Dato’ melihat tindakan ‘tangkap muat’ sebilangan syarikat pembekal pengawal keselamatan dilaporkan mengambil pekerja warga asing tanpa memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh KDN?
KSU: Kita telah membuat perjumpaan, telah memanggil semua wakil syarikat keselamatan di Malaysia bagi membuat penjelasan mengenai perkara ini. KDN sentiasa mengingatkan syarikat-syarikat keselamatan ini untuk memainkan peranan mereka bagi mengelakkan berlakunya tindakan menggaji pekerja asing yang bukan warganegara Nepal sebagai pengawal keselamatan. Satu garis panduan telah dikeluarkan berdasarkan kepada perjumpaan KDN dengan wakil syarikat keselamatan ini. KDN menawarkan satu MOU dengan mereka dan kita telah dapat meminda perlembagaan persatuan. Mana-mana syarikat keselamatan yang berdaftar secara automatik menjadi ahli persatuan. Syarikat keselamatan mengambil pekerja yang tidak mengikut ketetapan hanya mementingkan keuntungan kerana mereka tidak peduli siapa yang mereka ambil itu.
Ada juga syarikat kawalan keselamatan ini yang didapati tidak membayar gaji pekerja, tidak membayar socso dan juga tidak menjaga kebajikan pekerja. Pemeriksaan telah dilakukan kepada semua syarikat dan kita panggil mereka untuk menjelaskan kesalahan yang mereka lakukan. Alasan yang sering mereka berikan ialah sukar untuk mendapatkan rakyat tempatan bekerja sebagai pengawal keselamatan. Ia dapat diatasi sekiranya gaji yang diberikan setimpal dan berpatutan. Pastinya jika tawaran gaji itu menarik ini akan dapat menarik minat warga tempatan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Bagi saya persatuan patut memainkan peranan dengan meletakkan harga minima gaji pengawal keselamatan ini berdasarkan kepada kesesuaian tempat. Dengan perlaksanaan semula gaji ini pastinya mampu untuk menarik minat warga tempatan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dan masalah ‘tangkap muat’ ini pastinya tidak akan berlaku.
4. Pengawal keselamatan warga asing bertugas untuk menjaga keselamatan harta benda rakyat tempatan sedangkan mereka bekerja secara tidak sah dan menyalahgunakan permit kerja. Jadi komen Dato’?
KSU: KDN dan kerajaan memandang serius perkara ini kerana mereka menjaga harta rakyat sama ada harta syarikat ataupun harta persendirian. Menjadi masalah sekiranya jenayah berlaku dan mereka ini tidak sepatutnya menjadi pengawal keselamatan. Sekiranya KDN mengesan perkara tersebut, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Agensi Persendirian 1971, lesen syarikat kawalan keselamatan berkenaan boleh digantung atau dibatalkan. Kita menyeru kepada orang ramai, yang tahu tentang perkara ini untuk hubungi kami di 999 dan operator 999 akan menyambung terus kepada KDN.
5. Apakah antara faktor yang dikenal pasti mendorong syarikat pembekal pengawal keselamatan menggajikan pekerja tidak sah?
KSU: Kajian yang telah dilakukan oleh kementerian mendapati syarikat kawalan keselamatan ini berpandangan kelulusan KDN tidak diperlukan kerana mahukan keuntungan cepat. Mereka fikir yang mereka boleh membayar gaji yang rendah, pekerja akan terikat kepada syarikat berkenaan dan tidak perlu menjaga kebajikan pekerja. Sebab itu kita kata tadi, mereka perlu berfikir panjang kerana perniagaan kawalan keselamatan swasta ini di sektor kerajaan sahaja, perniagaan mereka ini bernilai hampir RM2 bilion setahun. Tetapi kita jangan lupa aset yang dijaga oleh pengawal keselamatan swasta ini, jika dijumlahkan semuanya bernilai mencecah trilion ringgit. Ekonomi, keselamatan dan kepentingan negara boleh terjejas sekiranya semua kawasan-kawasan kawalan ini terjejas.
6. Apakah antara usaha yang dilaksanakan KDN bagi membanteras lambakan pengawal keselamatan tidak sah di Malaysia?
KSU: Banyak langkah-langkah yang kita telah buat. Kita telah panggil wakil persatuan untuk mesyuarat berkala dua minggu sekali. Perjanjian dua hala dengan syarikat-syarikat keselamatan ini dengan menawarkan anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang tidak mempunyai kerja tetap untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ini dapat mengurangkan kebergantungan keperluan mereka terhadap warga negara Nepal ini kerana anggota RELA dan JPAM juga telah dilatih untuk menggunakan senjata. Ini dalam proses. Sepanjang bulan lepas lebih kurang 686 orang anggota RELA dan JPAM memberi perkhidmatan sebagai pengawal keselamatan. Ini adalah cadangan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan tentang bagaimana mengurangkan kebergantungan terhadap warga negara Nepal. Kita akan melakukan pemeriksaan sebanyak empat kali setahun untuk memastikan syarikat kawalan keselamatan ini mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
7. Peringatan Dato’ kepada pengendali syarikat kawalan keselamatan ini.
KSU: Kementerian Dalam Negeri amnya dan kerajaan khususnya memohon agar syarikat kawalan keselamatan mengikut peraturan. Jika ada sebarang masalah, gunakan persatuan sebagai medium penyampai ataupun datang terus ke KDN dan berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi. Dan pertimbangan masalah mereka ini akan dibuat agar dapat mencari penyelesaian masalah tersebut.
8. Apakah tanggungjawab dan peranan yang boleh dimainkan oleh orang ramai dalam membantu dan merealisasikan hasrat KDN?
KSU: Seperti yang saya sebutkan tadi, kerjasama orang ramai diharapkan. Jika mereka merasa syak dan ragu-ragu, mereka boleh menghubungi kementerian atau talian hotline 999 dan mereka akan memanjangkan perkara tersebut kepada KDN untuk kami melakukan pemeriksaan.
Kawalan keselamatan ini kita rasakan penting bukan sahaja kerana menjaga keselamatan harta benda kerajaan dan rakyat awam tetapi yang mempunyai nilai begitu tinggi tetapi kepentingan ekonomi dan keselamatan negara ada disitu. Sebab itu kami memandang serius perkara ini.
–team berita ikdn


















24 July 2010
KDN Sana Sini