YB. Dato’ Seri Hishammuddin Hussein
Menteri Dalam Negeri

Majlis Pelancaran dan Anugerah Jadual Liga Balai (Balai League Table)
Tempat : Dewan Plenari, Putrajaya International Convention Centre
(PICC)
Tarikh : 14 Julai 2010 (Rabu)
Masa : 11.30 Pagi
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia.
Yang dihormati saudara pengacara majlis
YBhg. Dato’ Sri Mahmood bin Adam
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
Yang Dihormati Inspektor Jeneral Polis Tan Sri Musa bin Tan Sri Hj Hassan
Ketua Polis Negara
YBhg Pengarah-Pengarah Jabatan Ibu Pejabat Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis, Ketua-Ketua Polis Negeri, Ketua-Ketua Polis Daerah, Ketua-Ketua Balai seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT; di atas inayah dan redha untuk mempertemukan kita pada hari ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa penganjur serta mereka yang terlibat dalam menjayakan majlis perasmian Jadual Liga Balai atau Balai League Table pada petang yang berbahagia ini. Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan juga kepada Tan Sri Ketua Polis Negara (IGP) dan Pengurusan Tertinggi PDRM yang bersungguh-sungguh menjayakan program ini yang merupakan salah satu program teras dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah yang diinginkan direalisasikan oleh Kerajaan.
2. Bagi saya, hari ini merupakan detik yang amat bersejarah kerana inilah buat kali pertama saya berkesempatan berjumpa dengan semua anggota dan pegawai di peringkat balai dari seluruh negara dalam satu majlis yang cukup meriah dan harmoni. Hari ini, saya dapat lihat sendiri semangat, kesungguhan dan iltizam setiap anggota dari balai-balai seluruh negara yang sentiasa bersedia berkorban jiwa raga demi memastikan rakyat dan negara terus berada dalam keadaan selamat dan terpelihara. Pengorbanan yang telah tuan-tuan dan puan-puan lakukan inilah yang telah menyebabkan masyarakat yang berada di luar sana, termasuk yang begitu kuat menghentam dan mengkritik pasukan polis serta menggelar pasukan polis dengan pelbagai gelaran, dapat berkerja dengan tenang di siang hari dan tidur lena di waktu malam, tanpa perlu merasa risau akan anggota keluarga, keselamatan rumah, harta benda dan kedaulatan negara terancam dari sebarang bahaya.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
3. Seperti yang kita semua ketahui, setahun yang lepas, Perdana Menteri yang kita kasihi, Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Pelan Tranformasi Kerajaan (GTP) yang berteraskan gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menggerakkan perubahan besar-besaran dalam pentadbiran kerajaan bagi memastikan matlamat Wawasan 2020 dapat dicapai tanpa mengenepikan asas-asas kenegaraan yang telah dibina selama ini melalui Perlembagaan Persekutuan, pelbagai polisi dan undang-undang, prinsip-prinsip Rukun Negara dan Misi Nasional. Antara yang terkandung di dalam fasa pertama pelan transformasi ini adalah enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Menteri (MKPI). KDN telah diberi tanggung jawab untuk mengetuai NKRA Pengurangan Jenayah dan sasaran kita adalah untuk mengurangkan kadar Jenayah Indeks sebanyak lima peratus dan mengurangkan kadar Jenayah Jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir tahun 2010
4. Itu merupakan sasaran kita yang telah kita tetapkan berdasarkan pengalaman negara-negara lain dalam memerangi jenayah dan selepas mengambil kira keupayaan dan realiti di dalam negara kita. Namun begitu, alhamdulillah, berkat usaha dan kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan semua, dibantu dan disokong pula oleh agensi-agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi semangat 1KDN, kita dapati kadar pengurangan jenayah kadar pengurangan jenayah jalanan bagi empat (5) bulan pertama tahun 2010 berkurangan 36.89 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Kadar jenayah keseluruhan juga didapati turun 13.9 peratus bagi tempoh antara Januari dan Mei tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun 2009. Walaupun masih banyak yang perlu dilaksanakan, namun pencapaian ini adalah suatu pencapaian yang memberangsangkan. Ia bukan sahaja mengejutkan kita, tetapi juga pakar-pakar kepolisian dan jenayah dari negara luar.
5. Kita semua tahu bahawa tugas ini bukan mudah, memandangkan dari tahun 2006 sehingga 2009, kadar jenayah menunjukkan trend yang meningkat. Lebih sukar lagi apabila segala inisiatif yang hendak dilaksanakan perlu dilaksanakan menggunakan sumber kewangan yang terhad. Walaupun begitu, bagi tempoh lima bulan pertama, kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik dari sasaran yang ditetapkan. Tahniah!. Ini memberi gambaran bahawa kita telah mengenal pasti secara tepat tentang hot-spots jenayah; faktor-faktor yang boleh menyebabkan peningkatan jenayah dan menetapkan fokus yang betul melalui lima KPI Pengurangan Jenayah dan 55 inisiatif yang dirangka melalui Makmal Jenayah.
6. Sejumlah inisiatif yang telah kita laksanakan sepanjang tempoh ini adalah;
• Melibatkan seramai 14,222 orang polis dalam inisiatif NKRA di setiap negeri
• Kepolisian Berprofil Tinggi (High Profil Policing) dengan purata lawatan sebanyak 8,000 ke 9,000 lawatan sehari
• Melatih seramai 3,359 anggota RELA dan 1,041 anggota JPAM untuk menjadi Sukarelawan Simpanan Polis (RVR) dengan purata penempatan sebanyak 2,140 orang sehari.
• Penampatan Pasukan Gerak Am (PGA) ke kawasan-kawasan `hot spots’
• Mengaktifkan penglibatan seramai 358, 811 ahli Rakan COP di seluruh negara
• Menggerakkan penglibatan 4,708 Rukun Tetangga dan 2,030 Skim Rondaan Sukarelawan
• Penugasan semula 7,402 orang anggota Polis dari tugas-tugas pentadbiran untuk membantu mengatasi jenayah dan menggantikan mereka dengan 4,279 orang awam
• 90 unit Balai Polis Bergerak telah ditempatkan di seluruh negara
• Mengadakan sebanyak 408 buah motosikal tambahan
• Memasang 496 CCTV tambahan
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
7. Biarpun kadar jenayah telah berjaya kita kurang pada suatu kadar yang tidak kita jangkakan sebelum ini, namun, kita tidak mahu berasa selesa. Matlamat untuk mengurangkan jenayah tidak sempurna jika kita tidak berusaha menangani secara pro-aktif punca-punca yang boleh menyebabkan ia terjadi. Salah satu daripadanya adalah untuk – mendorong kecemerlangan operasi dalam sistem keadilan jenayah bagi membina keyakinan awam serta memperkuatkan lagi profesionalisme ke seluruh sistem, terutamanya bagi meningkatkan kepuasan awam terhadap sistem kepolisian dalam negara ini. Ini merupakan salah satu dari tiga sub-bidang keberhasilan yang telah kita tetapkan di dalam NKRA.
8. Bagi meningkatkan kepuasan awam terhadap polis, terdapat sembilan (9) inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Jenayah. Beberapa daripadanya telah kita laksanakan, termasuk dari segi mempercepatkan pengawaman pasukan polis. Sedikit sebanyak inisiatif ini telah memberikan sedikit kesan. Tinjauan yang dibuat sepanjang Januari sehingga Jun 2010, menunjukkan bahawa perasaan berpuas hati rakyat terhadap perkhidmatan polis sudah semakin meningkat, iaitu dari 36.1 peratus yang berpuas hati sebelum ini, kepada 42.1. Walaupun begitu kita tidak mahu berhenti setakat itu sahaja.
9. Hari ini, kita melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan pula Liga Jadual Balai atau Balai League Table. Matlamat PALING PENTING pengenalan Balai League Table ini adalah untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan polis agar pasukan ini dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat. Pada waktu yang sama, saya juga berharap melalui pengenalan program ini, kita akan mempunyai satu lagi kaedah untuk menilai dan memberi pengiktirafan serta dan penghargaan yang sewajarnya kepada anggota dan pegawai polis yang menunjukkan prestasi yang cemerlang.
10. Melalui program ini, setiap balai polis di seluruh negara akan digred serta dinilai di bawah satu sistem bagi mengukur tahap prestasi dan pencapaian perkhidmatan yang diberikan kepada setiap anggota masyarakat. Balai-balai polis yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diberikan penghargaan dan pengiktirafan, manakala anggota serta pegawainya akan diberikan insentif. Insentif ini adalah sebagai rangsangan untuk memupuk budaya kerja cemerlang dan persaingan sihat di kalangan anggota dan pegawai yang sedang berkhidmat di balai berkenaan. Bagi balai-balai polis yang menunjukkan prestasi sederhana, KDN akan mengambil pendekatan untuk mengenal pasti kekangan yang ada dan mencari keadah untuk membantu balai-balai ini agar mereka dapat mencapai standard perkhidmatan dan pengurusan yang telah ditetapkan.
11. Saya bersetuju dengan pandangan Tan Sri IGP; bahawa pelaksanaan Balai League Table ini; menjurus kepada usaha mewujudkan ‘persaingan sihat’ di kalangan kita. Kebetulan pula agaknya; kita baru sahaja menamatkan kerancakan bulan ‘Piala Dunia’ – yang semuanya berdasarkan prestasi semasa; yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk kedudukan di dalam kumpulan yang sama. Ada pasukan kuat; yang kalah dan seri dengan pasukan yang diketahui lemah dan ‘underdog’; dan inilah sebahagian daripada ‘budaya kompetitif’ yang disemai dalam pertandingan seumpama ini. Begitu pun, Balai League Table ini perlu melangkaui batasan ‘niat persaingan’ semata mata. Kita mahukan impak yang menyeluruh. Kita menginginkan ‘multipliers effect’ yang lebih jelas di sebalik pelaksanaan ‘Balai League Table’. Ini bukannya pertandingan, ‘us against them’ – tidak. Saya lebih melihat ini sebagai kaedah kita menentukan tahap kecemerlangan yang lebih teruji dan kompetitif. Dalam banyak masa dan ketika; kita sebenarnya bertarung dengan keupayaan dan komitmen diri; dan keseluruhan unit pasukan kita sendiri. Akhirnya kita perlu kembali kepada semangat tulen inisiatif ini, iaitu untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan melaksanakan tugas teras atau core business pasukan polis, iaitu untuk memastikan keselamatan dalam negara dengan cemerlang. saya yakin jika kita melakukan sesuatu yang positif dan baik; meletakkan ‘penanda aras’ yang tinggi, menjiwai budaya kerja berprestasi tinggi; maka dengan sendirinya; prestasi kita sebagai satu pasukan akan bertambah baik, berlipat kali ganda.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
12. Tempoh Kajian Penilaian Ranking Balai League Table adalah berasaskan purata statistik jenayah indeks [Reported Index Crime (RIC)] per 10,000 populasi bagi setiap balai bagi tiga bulan pertama. Perbandingan dibuat di antara purata pencapaian RIC tiga bulan tersebut dengan peratus penambah baikan yang dibuat dalam menurunkan kadar jenayah berbanding dengan RIC bulan seterusnya iaitu bulan ke empat. Tujuan Ranking ini adalah supaya semua pelaksana-pelaksana mengambil maklum mengenai kedudukan masing-masing dari aspek ranking dalam kategori masing-masing dan berusaha untuk mengatasi kelemahan-kelemahan dan memperbaiki kedudukan.
13. Keseluruhannya sebanyak 753 buah balai seluruh Malaysia akan terlibat dalam pelaksanaan ‘Balai League Table’. Kesemua balai-balai tersebut akan dibahagikan kepada 5 kategori yang sedia ada iaitu Balai Kategori A, B, C, D dan E. Balai-balai terlibat akan bertanding dalam kategori masing-masing. Tiga pemenang, iaitu Balai Juara, Balai Naib Juara dan Balai Tempat Ketiga akan dipilih daripada setiap kategori. Pecahan kategori balai-balai yang akan terlibat di dalam BLT mengikut kategori ialah Kategori A (63 Balai); Kategori B (89 Balai); Kategori C (116 Balai); Kategori D (261 Balai); dan Kategori E (224 Balai).
14. Dengan terwujudnya sistem ‘ranking’ ini; dengan sendirinya kita dapat mengkaji segala kemungkinan kelemahan yang ada; sekali gus memperbaikinya agar dapat menjadi penyumbang kepada kejayaan NKRA/NKPI secara keseluruhannya. Bagi memastikan ia berlaku, kita mestilah bersedia untuk melakukan ‘post mortem’; mencari kaedah dan strategi yang lebih baik untuk dilaksanakan di persekitaran pentadbiran kita sendiri. Saya pasti, usaha ini mestilah juga dihayati di peringkat Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai dan oleh anggota PDRM seluruhnya.
15. Hadiah dalam bentuk wang akan diberi kepada setiap anggota dan pegawai yang bertugas di balai-balai yang berjaya dalam Kategori masing-masing. Bagi balai yang menduduki tempat pertama, anggota dan pegawai di balai tersebut akan diberi ganjaran sebanyak RM500 seorang; manakala tempat kedua, sebanyak RM300 seorang; dan tempat ketiga, sebanyak RM200 seorang.
16. Saya berharap, setiap seorang daripada kita melihat ‘Balai League Table’ secara `big picture atau secara ‘perancangan yang menyeluruh’ terhadap strategi yang telahpun kita laksanakan. Penentuan hotspots, usaha pengawaman, peningkatan visibility, high profile policing, community policing – semuanya masih lagi menjadi usaha yang terkait, ‘integral’ kepada pencapaian NKRA/NKPI.
17. Dalam masa yang sama, di peringkat analisis akhir nanti, kita dapat mengenal pasti kaedah dan strategi yang lebih sesuai dilaksanakan di sesetengah tempat. Kaedah ini banyak dilaksanakan di Amerika Syarikat, Australia dan banyak negara maju lain. Correlation, atau perkaitan antara prestasi balai dan usaha pencegahan jenayah; diasaskan kepada apa yang dipanggil sebagai ‘problem oriented policing’. Di tempat tertentu; isu yang berat adalah – jenayah jalanan; di tempat lain mungkin dadah. Semuanya, mestilah bersifat ‘on the ground’; berasaskan realiti setempat.
18. Saya melihat potensi pelaksanaan ‘Balai League Table’ menyediakan kita dengan satu laporan prestasi yang bersifat hands-on dan real time. Ini penting; kerana hanya dengan nilaian prestasi yang menyeluruh – kita dapat mengkaji kejayaan dengan lebih baik dan berkesan. Tujuan asal, bukanlah untuk mencari kelemahan mana-mana pihak; tetapi lebih kepada ‘sharing of best practices’, perkongsian kejayaan di kalangan rakan-rakan di kontinjen negeri, daerah mahupun balai lain di seluruh negara. Tidak ada pendekatan ‘one size fits all’, namun ianya mestilah disusun berdasarkan kesesuaian ‘persekitaran’ kita sendiri.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
19. Saya suka mengingatkan tentang hakikat ‘empat nilai asas’ yang dianggap menjadi pendokong kepada teras RMK10. Empat ‘nilai asas’ yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri adalah; Pertama, membudayakan kreativiti dan inovasi; Kedua, mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan; Ketiga, nilai untuk wang (value for money); dan Keempat, nilai integriti.
20. Adalah juga sesuatu yang wajar, untuk kita sebagai ‘frontliners’ – pemacu utama di dalam usaha mentadbir urus keselamatan dalam negera untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat; mengadaptasi dan menggunakan ‘empat nilai asas’ yang sama. Tidak semua daripada cadangan yang dikemukakan ‘Crime Lab’ memerlukan dana dan implikasi kewangan yang terlalu elaborate dan extensive. Adakalanya, ianya hanya memerlukan anjakan paradigma dan sikap kita terhadap rutin harian kita. Namun begitu, alhamdulillah, dalam perkara-perkara yang utama dan penting khususnya dalam pelaksanaan NKRA; kita akan ‘all out’ dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik. Itu jaminan saya selaku Menteri Dalam Negeri. Kita telahpun mengagihkan banyak peralatan dan perkakasan agar tidak ada gangguan kepada pencapaian NKRA; ini termasuklah 90 buah balai polis bergerak; hampir 400 motosikal bagi menggiatkan niat ‘omni present’ di empat buah negeri yang menjadi tumpuan hotspots.
21. Walaupun begitu, saya berharap semua pimpinan di KDN dan PDRM dapat melihat dengan teliti segala keperluan dan perancangan dalam RMK10 dalam konteks yang lebih luas. Apa yang perlu tuan-tuan dan puan-puan pastikan pada hari ini adalah agar setiap perancangan dan pelaksanaan yang dilaksanakan mestilah selari dengan hasrat yang ingin dicapai oleh Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), NKRA dan mKPI; Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan NKEA yang diinginkan oleh kerajaan. Dalam konteks ini, saya menyedari, apabila saya turun ke negeri-negeri dan daerah-daerah, terdapat sejumlah isu yang masih belum selesai dan memerlukan perhatian segera. IPD Jempol misalnya, tidak mempunyai peralatan dan perkakasan yang sewajarnya. Di Pekan misalnya, IPD yang lama telah dirobohkan, bagaimanapun sehingga sekarang, bangunan yang baru masih belum dibina. Soal-soal pokok seperti ini tentulah akan menjatuhkan semangat anggota-anggota polis di peringkat daerah dan akhirnya ini akan diterjemahkan kepada mutu perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat serta keberkesanan dalam menjaga keselamatan orang ramai dan negara dari pelbagai ancaman.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
22. Saya mohon seisi warga dewan ini, semua anggota daripada segenap balai di seluruh pelusuk tanah air yang ada ini – untuk kita memberikan sepenuh iltizam kepada usaha kita memerangi jenayah. Fokus dan tumpuan kita mesti terarah kepada niat ini. Bulatkan niat; satukan tekad – tampilkan kesungguhan; tetapkan iman dan integriti – mari kita sama-sama mengisi impian dan harapan rakyat. Perasmian BLT hari ini, seharusnya menjadi ‘manifestasi’ kesungguhan kita untuk menghargai kecemerlangan dalam erti kata yang selengkap mungkin. Sekali lagi, izinkan saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga PDRM di atas komitmen melaksanakan aspirasi Balai League Table pada hari ini. Kita perlu mara ke hadapan dengan langkah yang serba yakin; lenggang yang serba sempurna; dan tekad hati yang serba tulus – bagi meraikan kecemerlangan sesama kita. Moga pelaksanaan BLT; mencapai maksud, rasional dan objektif pengwujudannya – sekaligus mengangkat tahap PDRM ke tahap yang lebih tinggi.
23. Polis merupakan anggota utama dan kelompok teras di dalam usaha pencapaian NKRA mengurangkan jenayah yang telah diamanahkan kepada kita semua. Jelas kepada kita, amanah ini merupakan suatu amanah yang berat dan amat kompleks dalam lanskap politik hari ini. Dalam menunaikan amanah yang berat dan kompleks ini, tidak mungkin kita dapat dapat melaksanakannya dengan baik, jika kita bekerja secara bersendirian dan dalam keadaan yang terpisah-pisah. Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dan padu. Kita perlu merapatkan saf; menghargai sumbangan satu sama lain – dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat, seluruhnya berada di tahap yang sempurna.
Memang pahit buah peria
Makanan orang pergi menjala
Jikalau benar taat setia
Bersama kita pertahankan negara
Berhati-hati mencari tuan
Jangan sampai tergadai jiwa
Biar berkalang nyawa di badan
Kedaulatan negara kupertahankan jua
24. Dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran dan Anugerah Balai League Table pada hari ini.
Sekian.


















14 July 2010
KDN Sana Sini