web analytics

Akademi Latihan LISRAM???

13 August 2010

KDN Sana Sini

Sejajar dengan amanat Perdana Menteri bagi memaksimumkan prestasi dengan menggunakan sumber dan aset sedia ada, Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein  mengumumkan kompleks Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (LISRAM) akan ditukar wajah kepada sebuah akademi latihan keselamatan bersepadu bagi memerangi jenayah merentasi sempadan.

Perkara tersebut diumumkan oleh MDN dalam sidang media selepas mesyuarat bersama pengurusan tertinggi KDN dan PDRM dalam lawatan kerja beliau ke Kompleks LISRAM, Langkawi pada 10 Ogos 2010.

“LISRAM akan menjadi sebuah pusat bagi membincangkan dasar, kajian, operasi, latihan dan semua aspek keselamatan yang tidak terhad kepada agensi di bawah KDN semata-mata malah melibatkan agensi-agensi keselamatan di bawah kementerian lain juga antarabangsa,” katanya.

MDN menjelaskan beliau akan mengemukakan perkara tersebut kepada jemaah menteri supaya LISRAM ditukar menjadi pusat latihan bersepadu dan penyelaras kepada semua agensi keselamatan dalam negara dalam usaha memerangi jenayah merentasi sempadan seperti pemerdagangan orang, senjata biologi, bahan letupan, penyeludupan dadah, jenayah siber, pengganas, dan isu penggubahan wang haram.

“Pertemuan dan perbincangan berterusan dengan semua agensi yang terlibat akan dijadualkan mulai hari ini dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN supaya pembangunan dasar, hala tuju dan kandungan bagi mencapai matlamat tersebut dapat dicapai. Ketika itu, saya berharap LISRAM dapat menjadi satu warisan berguna untuk generasi akan datang,” katanya.

Turut menyertai lawatan MDN tersebut ialah KSU KDN Dato’ Sri Mahmood bin Adam dan beberapa pegawai pengurusan tertinggi KDN.  Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar.

Dalam pada itu, MDN turut mengulas isu penahanan ulama Indonesia, Abu Bakar Baasyir yang didakwa terlibat dengan kumpulan Al-Qaeda yang mana menurut beliau Kementerian telah dimaklumkan lebih awal mengenai perkara tersebut.

“Meskipun keseriusannya tidak kritikal, berdasarkan prosedur dua hala dengan negara jiran, kita telah membuat perancangan tertentu dan mungkin memerlukan kita lebih peka dan prihatin dalam konteks terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan, “ jelas beliau.

Lawatan tersebut dimulakan dengan taklimat dan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi KDN dan PDRM dan disusuli dengan melawat kawasan lapang sasar dan pameran senjata dan persembahan oleh Komando 69 PDRM.

LISRAM adalah sebuah kompleks yang berkeluasan 523.3 hektar yang ditubuhkan sempena penganjuran Sukan Komanwel 1998 dijadikan tempat untuk acara menembak dalam kejohanan tersebut di mana antara keistimewaannya ialah prasarana lapang sasar menembak 1000 ela iaitu yang terpanjang di Asia Tenggara.

–team berita ikdn