web analytics

KEMTA Terima Tetamu dari Media Sabah & Sarawak

17 August 2010

KDN Sana Sini

Pada 8hb Ogos 2010, KEMTA telah menerima lawatan media dari Sabah dan Sarawak. Turut menyertai lawatan sulung media Malaysia Timur ini ialah rakan-rakan media dari Kuala Lumpur. Tempat Tahanan Perlindungan (TTP) atau lebih dikenali sebagai Kem Tahanan Kamunting (KEMTA) yang menempatkan tahanan ISA dan kemudian kategori banduan lain telah dibuka pada 1 November 1973. Lawatan media ini adalah yang kedua kalinya setelah lawatan pertama pada 20hb Ogos 2009.

Seramai 38 orang termasuk Urus Setia menyertai kunjungan ini. Seawal di dalam bas lagi peserta lawatan telah dimaklumkan mengenai peraturan-peraturan yang ditetapkan kepada pelawat KEMTA. Peraturan ini dilaksana tanpa pilih kasih kerana kawasan penjara adalah kawasan yang diwartakan. Para peserta akur dengan meninggalkan segala peralatan elektronik mahupun dompet dan hanya membawa buku nota serta sebatang pen untuk mencatat pengamatan yang diperolehi dalam lawatan ini.

Lawatan ke KEMTA ini merupakan salah satu acara dalam Lawatan Media Sabah dan Sarawak ke Kementerian Dalam Negeri yang bermula pada 7hb sehingga 9hb Ogos 2010. Tujuan utama lawatan ini ialah memberi gamabran sebenar kepada warga media mengenai Kem Perlindungan ini yang sering kali dikaitkan dengan ISA.

Peserta lawatan berkumpul di pintu masuk utama tempat tahanan untuk pemeriksaan badan kali terakhir. Lawatan dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh PPK Supri bin Hashim, Timbalan Pengarah Keselamatan, Jabatan Penjara Malaysia.

Selesai taklimat, peserta dibawa melawat ke Bilik Perjumpaan Keluarga. Rombongan media ini juga dibawa melawat perpustakaan. Tahanan dibenarkan meminjam buku yang dihadkan kepada tiga buah setiap kali peminjaman buku dibuat. Dapur tempat menyediakan makanan orang kena tahan menjadi tumpuan selanjutnya. Di sini peserta ditunjukkan peralatan dan jadual makan.

Tidak ketinggalah ialah media juga dibawa melihat tempat tahanan tinggal. Katil, tilam, selimut, bantal, sabun mandi, berus gigi dan ubat gigi serata barangan lain yang biasa digunakan oleh orang kena tahan dipamerkan. Tidak terkecuali televisyen dan tandas.

Lawatan berakhir di klinik KEMTA di mana di sinilah para tahanan diberi rawatan dan hanya pesakit yang memerlukan pembedahan akan dibawa ke Hospital Taiping. Lawatan ini mungkin singkat namun jelas sekali warga media telah memahami apa sebenarnya yang berlaku.

–team berita ikdn