Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Makmal Khas Pengurusan Warga Asing Sabah
Putrajaya, 18 Ogos 2010
Saya ingin memaklumkan bahawa Makmal Khas Pengurusan Warga Asing Sabah yang dilaksanakan selama empat minggu pada bulan Mei lalu telah mengemukakan 20 syor bagi menangani serta menambah baik pengurusan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Makmal Khas Pengurusan Warga Asing Sabah ini dianggotai oleh 27 orang pegawai dari pelbagai agensi persekutuan dan negeri. Manakala Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri pula bertindak sebagai pemudah cara (fasilitator).
20 syor yang dikemukakan Makmal Khas Pengurusan Warga Asing Sabah ini adalah tambahan kepada 48 inisiatif yang telah dikemukakan oleh Makmal Pengurusan Warga Asing peringkat nasional. Antara cadangan yang dikemukakan ialah untuk mengubah dasar berhubung Pas tanggungan (isteri dan anak-anak) warga asing khususnya warga Indonesia di Sabah. Sebelum ini, Pas tanggungan dikeluarkan ketika program pemutihan yang membenarkan pekerja asing tinggal bersama isteri dan anak-anak. Justeru, jika cadangan ini dilaksanakan, pekerja asing tidak lagi dibenarkan membawa tanggungan, sebaliknya perlu menghantar isteri dan anak mereka pulang ke negara asal. Serentak itu, Pas tanggungan ini juga tidak akan diperbaharui atau dikeluarkan lagi.
Syor yang dikemukakan makmal ini telah dibentangkan kepada Kabinet Negeri Sabah pada 7 Julai lalu. Pada masa yang sama, syor-syor ini juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) akan datang yang dipengerusikan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, syor-syor Makmal Khas Pengurusan Warga Asing Sabah ini juga akan dimaklumkan kepada Menteri-Menteri Kabinet dari Sabah melalui Mesyuarat Khas Berhubung Dengan Stategi Pelaksanaan Inisiatif Makmal Pengurusan Warga Asing yang saya pengerusikan bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.
Bagi memastikan pengurusan pekerja asing dan PATI di Sabah dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, kerajaan Negeri Sabah akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri yang akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan dianggotai oleh wakil-wakil jabatan negeri dan persekutuan. Jawatankuasa ini bertanggungjawab kepada YAB Ketua Menteri Sabah dan JKKPA-PATI.
Dalam pada itu, saya juga ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Encik Mohamad bin Mentek yang telah dilantik sebagai Pengarah Imigresen Negeri Sabah yang baru berkuatkuasa 14 Ogos lalu bagi menggantikan Dato’ Bahron bin Talib yang telah bersara wajib. Beliau merupakan anak kelahiran Sabah yang pertama dilantik untuk menyandang jawatan tersebut.
Sebagai anak jati Sabah, saya yakin beliau amat memahami isu-isu berkaitan pekerja asing dan PATI di Sabah sekali gus dapat membantu pihak kerajaan dalam menguruskan isu tersebut dengan cara yang paling berhemah dan berkesan. Tambahan pula, beliau sememangnya seorang pentadbir yang layak berkat 19 tahun pengalamannya dalam perkhidmatan awam di pelbagai Jabatan dan Kementerian sebelum ini.
=tamat=

















18 August 2010
Teks Ucapan MDN & TMDN