web analytics

KENYATAAN MEDIA: JABATAN PENJARA MALAYSIA

10 August 2010

KDN Sana Sini

PENJELASAN BERKENAAN LAPORAN MEDIA
TAHANAN REMAN MENINGGAL DUNIA DI MAHKAMAH MAJISTRET KUANTAN

1. Jabatan Penjara Malaysia merujuk kepada laporan berita yang disiarkan oleh media massa pada tarikh 7 Ogos 2010 bertajuk “Lelaki tunggu bicara mati dalam mahkamah” dan “Tertuduh meninggal dunia di mahkamah”.

2. Jabatan ini mengesahkan bahawa Wan Khairul Azizi Wan Ali, ditahan reman di Penjara Penor, Kuantan mulai pada 20 Mei 2010. Beliau telah ditahan bagi tujuan menunggu perbicaraan di mahkamah bagi kes 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sehingga kini beliau telah ditahan di penjara sebanyak 4 kali untuk kes di bawah Akta Racun dan juga Akta Dadah.

3. Beliau telah 2 kali di bawa ke mahkamah iaitu pada 21 Julai 2010 bagi sebutan kes dan 6 Ogos 2010 (hari kematian) bagi tujuan perbicaraan.

4. Semasa ditahan reman mulai pada 21 Mei 2010, beliau telah diperiksa kesihatan dan ujian darah, tahap kesihatan beliau didapati stabil. Walau bagaimanapun pengesahan hasil ujian darah belum diperolehi dari hospital.

5. Sepanjang tempoh ditahan beliau hanya sekali mengadu kurang sihat (kurang makan, batuk dan sakit mulut) iaitu pada 4 Ogos 2010 dan telah diberikan rawatan oleh doktor panel penjara pada tarikh yang sama. Walau bagaimanapun, doktor panel yang merawatnya tidak mengesyorkan beliau di hantar ke hospital untuk rawatan lanjut sebaliknya hanya diberikan ubat yang diperlukan dan diet pemakanannya telah dipinda iaitu bubur. Di samping itu, beliau juga diberikan diet pemakanan tambahan iaitu roti dan susu.

6. Selepas dirawat pada 4 Ogos 2010, beliau tiada mengadu kurang sihat atau mengalami masalah kesihatan. Oleh itu, pada 6 Ogos 2010, jam 7.40 pagi beliau bersama-sama beberapa reman lain telah diserahkan kepada pihak polis untuk diiringi ke mahkamah bagi tujuan perbicaraan. Pada masa tersebut keadaan beliau adalah biasa sepertimana banduan lain dan boleh berjalan tanpa sebarang gangguan atau masalah.

7. Jika pada tarikh 5 atau 6 Ogos 2010 beliau mengadu tidak sihat, sudah tentu pemeriksaan dan rawatan kesihatan lanjut serta status kelayakannya untuk diiringi ke mahkamah akan dinilai. Sekiranya pihak pegawai perubatan mengesahkan bahawa status kesihatannya tidak memuaskan, pihak mahkamah akan dimaklumkan dan dipohon untuk menangguhkan kes perbicaraannya.

8. Sebagai makluman, dalam keadaan sakit biasa pihak Jabatan Penjara tidak akan memaklumkan kepada keluarga kecuali doktor yang merawat mengesyorkannya atau beliau didapati mengalami sakit yang serius. Jabatan ini ingin menegaskan, keperluan penjagaan kesihatan serta kebajikan semua banduan sentiasa diberi keutamaan.

9. Sehubungan itu, pihak kami ingin menjelaskan bahawa jabatan ini tiada cubaan untuk menyembunyikan masalah kesihatan setiap banduan atau mengabaikan keperluan rawatan mereka atau cuba menyembunyikan punca kematian yang berlaku. Usaha yang diambil oleh jabatan ini adalah selari dengan prosedur rawatan kesihatan serta kematian banduan iaitu jabatan ini akan melaporkan setiap kes kematian kepada pihak polis dan memastikan coroner inquest dilaksanakan. Seterusnya, jabatan ini juga sedang menjalankan siasatan berhubung kes kematian tersebut bagi tindakan selanjutnya.

Sekian, terima kasih.

(ZA’ABA BIN HJ. ABU BAKAR)
Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Penjara Malaysia
b.p. Ketua Pengarah Penjara Malaysia