web analytics

KENYATAAN MEDIA TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI: Isu berkait surau disimbah cat merah

24 August 2010

Teks Ucapan MDN & TMDN

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Kenyataan Akhbar Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Lee Chee Leong
berkait surau disimbah cat merah

24 OGOS 2010

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius tindakan menyimbah cat sebuah surau di Taman Pulau Impian, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan yang berlaku pada 23 Ogos 2010 dan berjanji akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Pihak Kementerian juga berjanji agar individu atau pihak yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang selama ini hidup di dalam suasana harmoni dan semangat perpaduan yang tinggi, saya berasa sangat kesal dengan kejadian ini. Saya amat memandang berat mengenai kes ini kerana isu ketenteraman dan keselamatan negara merupakan satu isu yang sangat penting. Oleh yang demikian, sepatutnya tidak ada pihak-pihak yang menyerang atau mengancam keharmonian yang telah ada sekian lama.

Tindakan menyimbah cat pada surau ini, walau tidak melibatkan sebarang ancaman nyawa, jelas boleh mencetuskan suasana yang tegang dan seterusnya mengancam kepada ketenteraman dan keselamatan negara. Justeru saya memohon agar apa jua riak yang boleh memberi impak negatif kepada negara ini diberhentikan sama sekali. Untuk makluman, setakat ini 4 orang telah ditahan untuk siasatan. Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi. Saya berharap agar perkara ini tidak diekploitasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan kerana ianya hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Terima Kasih

Dato’ Lee Chee Leong
Timbalan Menteri Dalam Negeri
Kementerian Dalam Negeri