web analytics

KENYATAAN MEDIA TMDN: Maklumbalas Isu Kad Pengenalan Merah

28 August 2010

Teks Ucapan MDN & TMDN

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
27 HB OGOS 2010

MAKLUMBALAS ISU KAD PENGENALAN MERAH

1. Kenyataan akhbar ini sebagai merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek berkaitan kira-kira 25,751 pemegang Kad Pengenalan Merah yang masih belum menerima status warganegara. Hakikatnya masih ramai lagi pemegang kad pengenalan merah yang masih belum mengemukakan permohonan kewarganegaraan. Kementerian Dalam Negeri juga akan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh pihak MCA.

2. Untuk makluman, jumlah permohonan taraf kewarganegaraan yang tertunggak yang diterima oleh Kementerian Dalam Negeri dari tahun 1997 hingga 2006 bagi semua Perkara di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu di bawah:-

i. Perkara 15(1) iaitu permohonan bagi isteri kepada warganegara Malaysia;
ii. Perkara 15(2), permohonan bagi anak kepada warganegara Malaysia yang berumur kurang 21 tahun;
iii. Perkara 15A, permohonan dalam keadaan khas bagi kanak-kanak yang berumur kurang 21 tahun ,
iv. Perkara 16 iaitu permohonan bagi mereka yang lahir di Persekutuan sebelum Hari Merdeka; dan
v. Perkara 19(1) iaitu permohonan mereka yang berumur melebihi 21 tahun dan menetap sebagai Pemastautin Tetap Malaysia melebihi 12 tahun

… adalah berjumlah 32,927 dan semua permohonan tersebut telah selesai diproses dan telah dikeluarkan keputusannya pada tahun 2009. Pada masa ini, Kementerian sedang memproses permohonan taraf kewarganegaraan bagi tahun 2007, 2008 dan tahun 2009 yang berjumlah 29,677. Dari jumlah ini, sebanyak 16,302 keputusan telah dikeluarkan dan bakinya yang sedang diproses adalah sebanyak 13,375 di mana keputusannya akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2010.

3. Dari 1 Januari 2010 sehingga 19 Ogos 2010, jumlah permohonan taraf kewarganegaraan baru yang diterima adalah berjumlah 7,674. Semua permohonan ini akan diproses dan keputusannya akan dikeluarkan pada tahun 2011.

4. Setiap permohonan taraf kewarganegaraan bagi Perkara 15(1),16 dan 19(1) Perlembagaan Persekutuan perlu melalui proses tapisan keselamatan Polis DiRaja Malaysia sepertimana yang disyaratkan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi “bahawa dia berkelakuan baik” selaras dengan dasar keselamatan negara.

5. Mengenai cadangan agar pemohon berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai anak-anak berstatus warganegara Malaysia untuk mendapat kerakyatan automatik, KDN berpandangan bahawa perkara itu perlu dikaji secara menyeluruh memandangkan peraturan sedia ada telah ditetapkan berdasarkan sebab-sebab yang jelas.

6. Malah, bagi kes-kes berkaitan pemohon dari kalangan kelompok tersebut, saya ingin menjelaskan bahawa mulai 1 Mac 2010, Kementerian Dalam Negeri telah mempermudahkan permohonan bagi pemohon-pemohon yang berumur 50 tahun dan ke atas di mana mereka tidak lagi perlu menduduki ujian bertulis dalam Bahasa Melayu. Mereka hanya dikehendaki hadir sesi temuduga untuk memastikan pemohon-pemohon tersebut mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang memadai sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

7. Pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia adalah merupakan satu anugerah tertinggi kepada warga asing dan bukan merupakan satu hak yang boleh dituntut oleh mana-mana individu. Kementerian Dalam Negeri memandang serius dan sentiasa berhati-hati di dalam mempertimbangkan setiap permohonan taraf kewarganegaraan seseorang itu. Ini adalah penting bagi memastikan hanya mereka yang betul-betul memahami dan mendalami budaya masyarakat Malaysia serta berkelakuan baik sahaja yang dianugerahkan taraf kewarganegaraan. Selain itu, Kementerian juga perlu memastikan agar mereka memberi taat setia kepada negara, menghormati dan menjunjung asas Perlembagaan Negara serta prinsip-prinsip Rukun Negara.

8. Di dalam keadaan-keadaan tertentu, kepakaran dan sumbangan-sumbangan pemohon yang boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat negara ini akan diambilkira. Selain itu, kajian juga dijalankan oleh Kementerian ini untuk menentukan sama ada pemohon-pemohon mempunyai pertalian kekeluargaan atau akar umbi di negara ini sebelum sesuatu permohonan itu diputuskan.

YB. Dato Lee Chee Leong
Timbalan Menteri Dalam Negeri
27 Ogos 2010