web analytics

Malam Jasamu Dikenang

3 August 2010

KDN Sana Sini

Kata orang yang patah tumbuh berganti. Begitulah resam kehidupan. Meraikan penjawat awam dari Pengurusan Tertinggi sehingga kepada kumpulan sokongan, Bahagian Sumber Manusia KDN telah menganjurkan majlis Jasa Mu Dikenang pada 2hb. Ogos 2010.

Seramai 12 orang diraikan dalam majlis makan malam yang ringkas. Ucapan penghargaan dari Ketua Setiausaha Dato’ Sri Mahmood b. Adam menjadi pembuka majlis. Beliau merakamkan ucapan terima kasih dan pastinya ucapan itu tidak dapat setanding dengan jasa-jasa yang dicurahkan.

Dato’ Sri Mahmood juga berkata detik-detik persaraan adalah perkara wajib yang pasti ditempuhi oleh setiap warga perkhidmatan awam. Bahkan usik beliau ada yang sudah tidak sabar menanti detik itu.

Datuk Ahmad Fuad b. Abd. Aziz yang bersara wajib pada 5 Ogos 2010 mewakili kumpulan pesara KDN 2010 melahirkan rasa terharu kerana mereka diraikan. Khidmat yang dicurahkan tidak pernah diharap dikenang sebegini rupa kerana mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Selain plak dan sijil, para bakal pesara menerima ‘hadiah misteri’ berupa sumbangan nyanyian dari rakan-rakan dan kakitangan yang sebelum ini sibuk mengurusi fail-fail kerja sahaja.

Terima Kasih atas khidmat bakti yang diberikan dan selamat menikmati masa bersama keluarga tersayang.

–team berita ikdn