Sesi temubual TV3 bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman bin Yusof telah berlangsung hampir satu jam bertempat di pejabat beliau. Temubual itu memfokuskan kepada isu pemerdagangan orang ini dikendalikan oleh Cik Nik Suraini Megat Deraman, wartawan TV3 pada 19 Ogos 2010.
“Pemerdagangan Orang adalah jenayah. Ia mengeksplotasi manusia yang lain serta menafikan hak asasi manusia sejagat. Isu ini telah menarik perhatian ramai sejak satu demi satu kisah kesengsaraan mangsa didedahkan oleh media,” kata Datuk Wira Abu Seman.
Menurut beliau orang ramai sering terkeliru antara definisi pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Di bawah Akta 670 Akta Anti Pemerdagangan Orang jenayah itu bermaksud perekrutan, pengangkutan, pemindahan, perlindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi. Jenayah ini kebiasaannya melibatkan elemen rentas sempadan dan boleh juga berlaku di peringkat domestic.

Tambah beliau, “Seksyen 13 dalam Akta 670 menyebut tentang kesalahan memperdagangan orang yang bukan merupakan seorang kanak-kanak, bagi maksud eksploitasi iaitu ancaman, penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan, pemelarian, fraud, perdayaan, penyalahgunaan kuasa serta penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah diperdaya.”
Di bawah Jawatankuasa Penguatkuasaan MAPO, terdapat 4 agensi penguatkuasaan iaitu, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, yang bertanggungjawab menjalankan segala tugas penguatkuasaan yang dinyatakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
“Dengan meletakkan keempat-empat agensi ini di bawah satu penguatkuasaan yang diketuai oleh PDRM, segala perlaksanaan tindakan membanteras jenayah dapat dijalankan dengan lebih bersepadu,” katanya.
Dari segi perlindungan dan pemulihan mangsa, MAPO melalui Jawatankuasa Perlindungan dan Pemulihan telah mengambil inisiatif penting ke arah memastikan keselamatan dan hak asasi mangsa-mangsa terjamin.
Sehingga kini terdapat 9 buah permis telah diwartakan sebagai pusat perlindungan di seluruh negara. 5 permis telah mula beroperasi dan sebuah lagi rumah perlindungan telah dibuka di Melaka pada 15 Ogos lalu. Pegawai-pegawai pelindung juga turut dilatih agar dapat mengendalikan rumah-rumah perlindungan dengan berkesan serta memenuhi standard yang telah ditetapkan oleh badan antarabangsa.
–team berita ikdn


















20 August 2010
KDN Sana Sini