Lawatan kerja MDN ke Pulau Langkawi tidak terhenti di LISRAM sahaja, malah diteruskan ke Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Pulau Langkawi. Tujuan lawatan ini adalah sama iaitu bagi mengenalpasti masalah dan keperluan pasukan keselamatan ini bagi menambahbaik perkhidmatan mengawal keselamatan dan ketenteraman negara.

Dalam sesi lawatan kerja tersebut, Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein turut meluangkan masa menonton persembahan demonstrasi operasi menyelamat pasukan gerakan marin yang melibatkan lebih 15 orang anggota Unit Tempur Gerakan Marin, dua buah jet ski dan sebuah aset baru milik Pasukan Gerakan Marin iaitu kapal yang mempunyai spesifikasi canggih termasuk boleh membelok 360 darjah dan merapati ke pantai tanpa sebarang masalah.

Selesai demonstrasi, MDN sempat berkenalan, memberikan kata-kata semangat dan bergambar dengan anggota-anggota terlibat. Nasihat beliau antara lain ialah anggota polis marin memberi tumpuan kepada tugas serta sentiasa menjaga maruah negara, bangsa dan pasukan.

Pasukan Gerakan Marin PDRM mula ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1947 dengan jumlah keanggotaan seramai 90 anggota dan 19 buah bot laju. Dari dua buah pangkalan semasa ditubuhkan, kini cawangan ini mempunyai lima pangkalan utama, 11 pangkalan kecil dan 24 pangkalan hadapan.

–team berita ikdn


















13 August 2010
KDN Sana Sini