web analytics

Perhimpunan Bulanan & Perasmian Bulan Kemerdekaan Peringkat KDN

25 August 2010

KDN Sana Sini

PERHIMPUNAN BULANAN DAN PERASMIAN
BULAN KEMERDEKAAN PERINGKAT KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan satu Perhimpunan Bulanan dan Perasmian Bulan Kemerdekaan peringkat KDN pada 24 Ogos 2010 bertempat di Auditorium, Aras 5, D8, dihadiri warga KDN dan Jabatan serta Agensi dibawahnya. Majlis dimulakan selepas ketibaan Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Lee Chee Leong diiring masuk oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Mahmood bin Adam.

Bacaan doa dan persembahan dari kumpulan koir KDN menjadi pembuka tirai majlis. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan Y.B. Dato’ Lee Chee Leong.

“Tidak sampai seminggu lagi, kita semua akan meraikan salah satu hari penting Malaysia. 31 Ogos ini genaplah 53 tahun negara kita merdeka. Jika dibandingkan dengan 499 tahun negara kita berada di bawah cengkaman penjajahan, 53 tahun ini masih belum berbaloi menebus maruah negara semasa dijajah oleh kuasa asing,” kata Dato’ Lee Chee Leong.

Tambah beliau lagi, anak muda hari ini seperti tidak kisah lagi dengan semangat kemerdekaaan kerana peristiwa penting negara tidak dilalui oleh mereka. Tambahan pula kehidupan hari ini yang serba moden membuatkan kisah-kisah kesengsaraan dan kesedihan negara sebelum 53 tahun ini kurang difahami oleh anak-anak muda kita. Itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh KDN dalam memastikan kemerdekaan ini dinikmati dengan aman, tenteram dan selamat.

Dalam menentukan keamanan, negara memerlukan pasukan penguatkuasa keselamatan seperti pihak Polis. PDRM kini telah pun berusia melebihi dua abad dan menjadi salah satu tiang penting untuk sesebuah organisasi bernama Kementerian Dalam Negeri. Walaupun isu-isu berkait PDRM menjadi bahan politik, beliau berharap warga PDRM tetap terus bekerja dengan penuh dedikasi dan intergriti.

Sejurus selepas ucapan Dato’ Lee Chee Leong, hadirin yang hadir pada majlis tersebut juga dihidangkan dengan tayangan video sempena perasmian bulan kemerdekaan peringkat KDN.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah TKSU-TKSU, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, SUB-SUB, Pegawai-pegawai kanan dan seluruh kakitangan KDN serta jabatan dan agensi dibawahnya.

–team berita ikdn